PAS, NGO Islam semakin bergeser
KHALID
SAMAD
Almarhum Usraz Fadzil
Noor sememangnya mempunyai pendekatan yang begitu terbuka dan inklusif dalam
usaha membawa perjuangan Islam. Dan ini adalah antara sebab almarhum akan
sentiasa dirindui ramai.
Pada minggu lalu saya
telah menceritakan pendekatan Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz
terhadap masyarakat umum dan parti pembangkang lain.
Pendekatan inklusif
atau terbuka yang membanyakkan interaksi atau saling berbincang dan berhubung
telah menghasilkan pembentukan Barisan Alternatif (BA) pada 1999. Melalui BA,
prestasi PAS melonjak sehingga memenangi 27 kerusi Parlimen dalam pilihan raya
tahun itu.
Prestasi ini dengan
sendirinya membuktikan keberkesanan dan kebijaksanaan pendekatan inklusif
Almarhum.
Sikap terbuka terhadap
NGO Islam
Pada hari ini saya
ingin menceritakan pula sikap keterbukaan Almarhum terhadap NGO Islam yang tidak
bersama PAS.
Hubungan NGO Islam
dengan PAS sebelum itu dipenuhi syak wasangka dan ketidak-kepercayaan antara
satu sama lain. Masing-masing mendakwa mereka berada di pihak yang betul dan
lebih menepati kehendak dan tuntutan perjuangan Islam.
Masing-masing mendakwa
yang pihak satu lagi telah tergelincir dengan tidak membawa mesej Islam dengan
sifat kesyumulannya. Di kalangan mahasiswa khususnya, persaingan untuk
mengukuhkan pengaruh menghasilkan suasana yang agak tegang.
Almarhum Ustaz Fadzil
Noor memanfaatkan peristiwa pemecatan dan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar
Ibrahim pada 1998 untuk mengenepikan segala perbalahan antara NGO Islam dan PAS
melalui pembentukan GERAK.
GERAK menyatupadukan
keseluruhan NGO Islam dan NGO bukan Islam dalam satu gelombang kebangkitan
rakyat menentang kezaliman Umno/BN.
Melalui GERAK, NGO
Islam seperti Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia
(Abim) dibawa bekerjasama dengan PAS dan persamaan diraikan dan perbezaan
diketepikan.
Dalam menghasilkan
gelombang kebangkitan ini, maka hubungan antara PAS dan NGO Islam menjadi
semakin rapat sehingga kebanyakan dari prejudis dan buruk sangka di antara satu
dengan lain dapat di atasi.
Pada masa yang sama,
melalui kerjasama ini, pimpinan NGO tersebut mula menyedari bahawa PAS tidak
sepertimana yang disangka mereka selama ini. PAS dilihat lebih terbuka dan
prihatin terhadap masalah semasa dari apa yang dianggap mereka sebelum
ini.
Persepsi NGO terhadap
PAS
Oleh itu beberapa
pimpinan dan ahli NGO Islam telah menyertai PAS. Ada dari mereka dilantik
sebagai pimpinan. Selepas beberapa tahun, prestasi dan pengorbanan mereka
disaksikan oleh ahli PAS sendiri dan mereka turut dipilih sebagai
pimpinan.
Walaupun keterlibatan
mereka dibantah oleh sebahagian pimpinan dan ahli PAS yang berjiwa sempit,
Almarhum terus dengan dasar terbukanya. Almarhum pernah menyebut kepada saya
bahawa persoalan kesatuan umat Islam perlu diusahakan melalui pendekatan yang
terbuka dan sifat tasaamuh (timbang rasa) antara kita.
Beliau menyoal: “Kalau
kita yang sama-sama bersetuju untuk menerima Al-Quran dan sunnah Rasulullah
(SAW) sebagai dasar perjuangan tidak boleh bersatu dan mengurus perbezaan
pandangan antara kita dengan baik, maka bagaimana kita boleh harapkan umat Islam
sendiri akan bersatu?”
Almarhum juga selalu
menyebut bahawa PAS sepatutnya bersikap sebagai “abang sulung” kepada NGO Islam
ini dan membimbing mereka ke arah yang lebih baik. Maka perlu kepada “abang
sulung” yang berjiwa besar, mengalah kepada adik dalam isu-isu sampingan demi
kebaikan bersama.
NGO yang bersama PAS
selepas itu memberi sumbangan tenaga, ilmu dan kepakaran masing-masing untuk
melonjakkan imej PAS sebagai parti politik yang bergerak atas dasar Islam di
kalangan masyarakat.
Mereka membawa bersama
mereka segala rangkaian atau hubungan kenalan mereka di institusi pengajian
tinggi, jabatan kerajaan, swasta dan semua kenalan yang lain untuk turut sama
berkempen memenangkan PAS. Ke arah itu mereka turut menggambarkan PAS dengan
imej positif dan baik.
Hasil dari usaha ini,
maka imej PAS sebagai parti kampung, tidak berkemampuan dan tertutup berjaya
dibasmikan di kalangan masyarakat tahun demi tahun. Ianya turut dibantu oleh NGO
lain seperti GMI (Gabungan Mansuh ISA), Bar Council, Suaram (Suara Rakyat
Malaysia) dan sebagainya.
Terlibat
bersungguh-sungguh
Semakin lama maka
semakin naik imej PAS sama ada di kalangan masyarakat Islam mahupun masyarakat
bukan Islam. Dan lebih penting, matlamat wehdatul fikr (fikrah kesatuan) di
kalangan parti dan NGO Islam semakin tercapai.
Usaha-usaha sebegini
diteruskan selepas pemergian Ustaz Fadzil Noor di mana Tuan Guru Nik Aziz terus
menyokong usaha-usaha ini serta menyemarakkan lagi keterlibatan PAS bersama NGO
Islam dan bukan Islam.
Kerjasama dengan IKRAM,
ABIM, Haluan, TERAS dan sebagainya diteruskan sambil keterlibatan PAS dengan
BERSIH, SUARAM dan sebagainya menjadi satu kebiasaan.
Malangnya sikap
keterbukaan yang ditunjukkan almarhum tidak mampu dibawa oleh golongan yang
berjiwa sempit. Ahli bawahan sering menimbulkan tuduhan mengenai rancangan besar
oleh pihak yang didakwa menyusup atau ingin mengambil alih kuasa.
Usaha besar dan baik
yang dilakukan oleh Ustaz Fadzil Noor seharusnya difahami dan diutamakan oleh
pimpinan dan ahli PAS. Jangan oleh kerana sebahagian yang berjiwa sempit
menyebabkan usaha almarhum dihentikan.
Dewasa ini sikap
berjiwa sempit kembali menguasai sebahagian pimpinan PAS, seperti sebelum zaman
Ustaz Fadzil Noor. Teori “penyusupan” kembali dipopularkan dan perasaan benci
dan sangsi terhadap kumpulan NGO Islam kembali mula ditanam.
Perjuangan Islam yang
sememangnya serba kekurangan dimundurkan lagi dengan sikap suka berbalah di
antara umat Islam.
Tuduhan liar yang tidak
berasas mula dilemparkan dengan sewenang-wenangnya sehingga saya melihat apa
yang pernah dibina oleh almarhum Ustaz Fadzil Noor mula dirobohkan satu per
satu.
Jiwa sempit anggota
PAS
Dengan sikap berjiwa
sempit itu, PAS tidak akan mungkin mencapai kedudukan sebagai pemimpin atau
penyatu keseluruhan gerakan Islam di Malaysia sepertimana diharapkan
almarhum.
Usaha almarhum Ustaz
Fadzil Noor perlu diteruskan dan diperhebatkan. Tetapi ia tidak akan mampu
dilakukan oleh mereka yang berjiwa sempit dan tidak sanggup menghormati
perbezaan pandangan antara kumpulan Islam di Malaysia.
Penyatuan dan
penyelarasan usaha semua pihak akan hanya mampu dilakukan oleh pimpinan yang
berkeyakinan diri dan kasih kepada kesatuan sambil menghormati perbezaan
pandangan.
Sekiranya PAS ingin
menjadi wadah yang memainkan peranan itu, maka sikap dan pendekatan yang
ditunjukkan dewasa ini perlu dirombak.
Malangnya berdasarkan
corak kempen menjelang muktamar ke-61, saya tidak melihat kemampuan ini di
kalangan saf pimpinan yang ada ini.
Saya turut yakin bahawa
ketegangan antara PAS dan NGO Islam lain akan semakin ditingkatkan sepertimana
juga antara parti-parti rakan dalam PR.
Kalau ini yang berlaku
maka PAS akan gagal dalam menunaikan tanggung-jawab dan amanahnya untuk membawa
perjuangan Islam ke arah kejayaan.
Sekiranya ini berlaku,
maka ia perlu diganti atau dibantu.
KHALID SAMAD ahli
parlimen PAS Shah Alam.
No comments:
Post a Comment