Sunday, June 28, 2015

"Jangan ingat orang ramai bodoh semuanya Najib.." kata bekas Menteri



Tindakan Datuk Seri Najib Razak berkata wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disalurkan untuk pembinaan masjid seperti merendahkan pemikiran orang Melayu, kata bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.

Zainuddin yang juga bekas wartawan mengkritik perhitungan yang dibuat perdana menteri yang dianggapnya tidak logik, iaitu antaranya wang 1MDB digunakan untuk membina Masjid Jamek Kampung Baru.

"Saya lihat yang sedihnya Najib ini terlalu cerdik tapi kadang-kadang perhitungannya tidak logik.

"Seperti pergi cerita bagi wang 1MDB kepada masjid, bukankah itu merendahkan taraf pemikiran orang Melayu dan orang ramai?," kata Zainuddin kepada The Malaysian Insider.

Kritikan Zainuddin tersebut merujuk kepada kenyataan Najib pada Jumaat baru-baru ini mengatakan 1MDB banyak berjasa untuk pembangunan Islam.

Najib memberikan contoh pembangunan semula masjid itu, yang menelan belanja sebanyak RM20 juta adalah sebahagian daripada sumbangan syarikat itu melalui Yayasan 1MDB.

Zainuddin berkata, tindakan Najib itu dilihat seperti cuba menutup dosanya dalam syarikat bermasalah sarat hutang 1MDB.

"Kenapa kamu hendak tutup dosa sendiri dengan 1MDB itu dengan kata duit diberikan kepada masjid.

"Kamu hina orang ramai bila kata macam itu, kamu seolah-olah nak bersihkan dosa," katanya.

Katanya, perdana menteri jangan ingat rakyat semua bodoh dengan alasan yang diberinya semata-mata untuk membela syarikat tersebut.

"Jangan ingat orang ramai bodoh semua," katanya yang juga bekas ketua pengarang Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment