Wednesday, June 17, 2015

Antara PAS dan DAP, siapa perempuan?

 
Muktamar PAS ke-61 telah berakhir pada hari Sabtu 6 Jun 2015. Saff pimpinan baru yang dipilih menjanjikan satu perubahan dan perbezaan berbanding yang sebelumnya.

Ada yang menamakan perubahan saff kepimpinan sebagai kejayaan mengembalikan PAS kepada “landasan yang betul” –  kononnya berubah kembali seperti asalnya. Kata-kata ini seolah-olah menuduh pimpinan sebelum ini telah menyimpang dari landasan asal PAS.

Maka ahli menunggu-nunggu supaya pembaharuan dan perbezaan ini dizahirkan. Pada masa sama, mereka menunggu juga penjelasan berhubung penyimpangan yang telah dilakukan pimpinan lama.

Mereka ingin tahu sama ada pendekatan almarhum Tuan Guru Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz turut dianggap sebagai suatu penyimpangan dari landasan asal PAS.

Usul Dewan Ulama

Persoalan usul DUPP ini terus dipolemikkan oleh saf pimpinan baru. Seolah-olah ingin lari dari kenyataan. Ianya merupakan persoalan yang akan menentukan hidup mati Pakatan Rakyat tetapi malangnya satu kata putus masih tidak mampu diberikan oleh saf pimpinan baru.

Ketua Pemuda pula mula mengejek DAP dengan jolokan seolah-olah DAP adalah perempuan yang tak boleh melafazkan talak dan hanya mampu menunggu dicerai.

Tetapi mungkin dia lupa bahawa PAS sekarang ini yang dilihat terencat tindakan kerana membuat usul tetapi tidak berani melaksanakannya. Oleh itu, dikhuatiri jolokan yang sama lebih tepat diguna pakai terhadap PAS sendiri.
Lebih-lebih lagi apabila talak seolah-olah talak tetapi dianggap tidak tersabit. talak talak lelaki dan siapa perempuan? Akhirnya DAP menyebut cerai maka adakah ianya mengesahkan bahawa PAS adalah sebagai isteri dalam hubungan Pakatan talak ini?

Jolokan dan ejekan merupakan kegembiraan manusia berpemikiran kebudak-budakan. Yang berfikiran matang talak penyelesaian terhadap masalah, bukan jolokan dan ejekan.

Yang kebuntuan juga biasanya gemar dengan kata-kata ejekan dan jolokan ini. Mungkin mereka tidak tahu jalan penyelesaian atau sememangnya tidak inginkan suatu penyelesaian.

Bagi saya, usul Dewan Ulama telah muktamad. Ianya diluluskan oleh muktamar. Muktamar meliputi semua. Hadir di dalamnya sebagai perwakilan adalah anggota Majlis Syura Ulama (MSU), AJK PAS Pusat, kesemua Dewan dan pimpinan dari setiap kawasan.

Maka apa perlunya usul itu dibawa balik ke MSU dan AJK PAS Pusat? Sedangkan MSU dan AJK PAS Pusat hadir bersama dan telah meluluskannya bersama.

Adakah mereka meluluskan dalam muktamar tetapi menolaknya bila di luar? Atau masih ada yang tidak memahami istilah “lulus tanpa bahas”? Tanpa disedari, mereka turut meluluskannya.

Saya harap pimpinan segera melaksanakan usul yang telah diluluskan itu. Jangan sampai dikatakan mengenai PAS, “peraturan dan kehendak ahli parti sendiri pun tidak difahami dan dihormati, adakah mungkin dihormati peraturan dan ahli parti lain?”

Jangan berdolak-dalik lagi. DAP kononnya menghina Islam, PAS dan presiden PAS. Itu yang didakwa dan itu juga yang dipersetujui muktamar. Tidakkah PAS akan dituduh tiada maruah kalau terus ingin bersama dengan parti sedemikian rupa?

Sebelum saya meninggalkan tajuk muktamar ke-61, ada satu persoalan yang saya tidak mampu jawab:

“Sepanjang muktamar PAS ke-61 perwakilan zahirkan kemarahan kerana presiden kononnya dihina oleh parti DAP. Tetapi tidakkah PAS sedar bahawa PAS juga pernah menghina presiden parti PKR?”

Saya berdiam diri dan tidak mampu menjawab. Sudah pasti akan dituduh tidak membela presiden.

Jaga jawatan

Ada yang turut mempertikaikan keperluan meletak jawatan di Pulau Pinang. Mereka turut menuduh Mat Sabu gelojoh dan tidak mendengar arahan pimpinan.

Mereka berhujah, “kami dilantik atas kemenangan Pakatan maka tidak wajar kami dipaksa letak jawatan kecuali DUN Pulau Pinang dibubar”.

Saya sebenarnya turut merasa kasihan kepada golongan seperti mereka ini. Siang malam mengutuk DAP dan dengan itu secara tidak langsung Pakatan, tetapi berselindung di sebalik Pakatan demi mengekalkan jawatan mereka!

Tidakkah mereka sedar betapa janggalnya tindakan mereka itu? Sedangkan ini merupakan persoalan kerajaan Negeri dan bukan berhubung parti politik atau gabungan parti politik seperti Pakatan.

Struktur organisasi Pakatan dan kerajaan negeri perlu dibezakan. Dalam struktur kerajaan negeri, ketua menteri adalah ketuanya.

Apabila ketua menteri menasihati semua ahli PAS untuk meletak jawatan dari kerajaan negeri, kerana telah memutuskan hubungan dan kerjasama dengan DAP, ianya perlu diterima sebagai arahan ketua kerajaan negeri.

Ianya sama sahaja dengan tindakan Tan Sri Khalid Ibrahim memecat PKR dan DAP semasa krisis menteri mesar dulu atas alasan mereka tidak lagi menyokongnya.

Sepertimana tindakan Khalid diterima sebagai sesuatu yang dilakukan mengikut bidang kuasanya, maka begitu juga dengan tindakan ketua menteri Pulau Pinang. Beliau boleh memecat semua kalau diinginkannya tetapi memberi peluang untuk yang terlibat meletak jawatan. Itu lebih bermaruah.

Oleh itu, tindakan Mat Sabu dan Dr. Mujahid adalah tepat dan bermaruah. Saya harap semua ahli PAS yang terlibat akan mengikuti contoh mereka dan dengan itu menjaga nama baik dan maruah PAS.

Penolakan jawatan pimpinan PAS

Ada yang terkejut dengan tindakan Mazlan Aliman dan mantan pimpinan yang menolak jawatan apabila ianya ditawarkan. Sememangnya ini merupakan suatu tindakan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Tetapi suasana sekarang berbeza dengan sebelum ini. Maka tidak hairan sekiranya tindakan susulan juga berbeza.

Mereka yang tidak berada di dalam ‘chai’ DUPP pada hakikatnya tidak diingini oleh pasukan yang telah menang. Ini hakikatnya. Mereka satu geng dan tidak boleh geng dengan yang lain. Apabila bukan satu geng, maka berbagai perkara yang boleh dilakukan terhadap dirinya sekiranya hadir bersama dalam AJK PAS Pusat.

Sebagai contoh, sekiranya maklumat mesyuarat dibocorkan, maka yang tidak satu geng akan dituduh sebagai yang membocorkan walaupun tanpa bukti. Beliau akan dibicara dan dijatuhkan hukuman di alam maya. Ini semua dilakukan tanpa proses pengadilan yang telus dan adil.

Tanpa diberi peluang membela diri, beliau akan dipersalahkan. Pada ketika itu tiada siapa akan membelanya walaupun semua tahu bahawa tuduhan tersebut tidak dibuktikan. Ini adalah apa yang telah berlaku sebelum ini.

Kes Syed Azman berhubung Ijtima Antarabangsa di Rusila adalah contoh yang jelas. Beliau difitnah di alam maya dengan tuduhan mensabotaj ijtima tersebut. Ini adalah kerana beberapa pimpinan gerakan Islam telah kembali ke Kuala Lumpur sebelum ijtima itu bermula.

Dalam mesyuarat AJK PAS Pusat isu ini dijelaskan dan semua memahami bahawa pada hakikatnya Dr Syed Azman telah banyak membantu menjayakan ijtima tersebut.

Ini termasuklah kesanggupan beliau menunda tarikh program asal yang melibatkan pimpinan gerakan Islam ini kepada tarikh yang sesuai untuk ijtima diadakan.

Dan juga untuk ianya diadakan di Rusila. Permulangan awal beberapa pimpinan bukan salah Dr. Syed Azman tetapi atas sebab kehendak pimpinan berkenaan atas sebab-sebab tertentu.

Namun pimpinan PAS tidak membela Dr Syed dari terus dicemuh. Keenganan membela Dr Syed kemungkinan besar adalah atas sebab beliau bukan satu geng. Maka Dr Syed terus dicemuh hingga ke hari ini.

Pada masa yang sama, tidak dinafikan, pendekatan dan kaedah saf pimpinan baru agak berbeza. Ada yang mengelarkannya sebagai pendekatan “siku dan lutut” serta “mencakar”.

Oleh itu adalah dianggap lebih baik mereka dibenarkan melaksanakan perancangan mereka tanpa diganggu anggota geng lain yang tidak disenaraikan dalam chai tersebut.

Akhirnya, pencapaian paling cemerlang saf pimpinan baru buat masa ini adalah berakhirnya Pakatan Rakyat. Kejayaan yang memakan masa bertahun untuk dibina sememangnya boleh diruntuhkan dalam sekelip mata. Sama seperti bangunan yang indah memakan masa bertahun untuk dibina tetapi boleh dirobohkan dalam hanya sehari.

Bagi yang melihat Pakatan sebagai sesuatu yang menghalang kemaraan PAS, sudah pasti perkembangan mutakhir ini membanggakan.

Bagi yang melihat Pakatan sebagai gabungan yang mampu membantu PAS terus mara di mata rakyat, ianya perkembangan yang menyedihkan, dan saya turut bersedih bersama mereka.


KHALID SAMAD MP Shah Alam dan bekas AJK PAS Pusat.

No comments:

Post a Comment