Tuesday, June 23, 2015

Dua sifat buruk Pas


Pas
PAS tidak sepatutnya mendedahkan hasrat mereka untuk meneruskan agenda melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan sehinggalah Umno ditumbangkan. Inilah sifat buruk Pas yang menyebabkan mereka diserang habis-habisan.

Sepatutnya, dari atas ke bawah Pas tak perlu cerita dan sentuh hal berkaitan dengan hudud ini sehingga matlamat menumbangkan Umno tercapai. Biarkan rakyat, terutamanya golongan bukan Islam percaya bahawa Pas sudah berubah.

Di depan mereka, Pas hanya perlu menekankan bahawa tugas menjatuhkan Umno lebih penting. Jika ditanya pasal hudud, Pas perlu menjawab sehingga mereka percaya Pas sudah meninggalkan cita-cita tersebut.

Gunakan sokongan mereka untuk tiba di Putrajaya bersama-sama dengan DAP dan PKR. Tipu dulu tak apa. Takkan Pas tak pernah dengar matlamat menghalalkan cara?

Selepas mendapat kuasa barulah Pas menunjukkan belang sebenar. Masa itu, Pas boleh mengejutkan semua pihak dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan dan memasukkan usul untuk mengubah Akta 355.

Sudah tentu mereka yang anti-hudud akan marah, tapi yang pasti, pada masa itu ia sudah terlambat. Dengan kuasa yang ada di tangan, bising-bising ini boleh disenyapkan dengan mudah.

Sepatutnya Pas meneruskan permainan ini. Biarkan golongan ini sedar hanya selepas mereka habis digunakan untuk sampai di Putrajaya bersama PKR dan DAP. Barangkali mereka akan berasa gembira pada waktu itu kerana ketika itu melenting pun tak guna.



Namun sekarang, segalanya sudah terlambat. Kerana ada di kalangan Pas yang tidak suka berpura-pura mengenai cita-cita Pas, maka rakyat, terutamanya golongan bukan Islam tersedar bahawa imej Pas yang dijual beberapa tahun sebelum PRU13 ini bukanlah imej sebenar Pas. Ia hanyalah imej yang ditanam untuk mengekalkan sokongan mereka. Sudah pasti, golongan ini berasa marah.

Namun begitu, apakah golongan ini patut marah pada mereka yang mendedahkan wajah sebenar Pas atau mereka yang memberikan gambaran tidak tepat mengenai Pas? Persoalan yang lebih tepat ialah di mana atau dari siapakah mereka mendapat gambaran ini?

Bagi mereka yang marah terhadap Pas sekarang kerana isu hudud, apakah mereka lebih suka Pas yang cuba berselindung hasrat mereka? Apakah mereka lebih suka pada para pemimpin Pas yang manis bercakap apa yang ingin didengar oleh mereka mengenai Pas?

Apakah mereka lebih suka untuk terus mempercayai bahawa Pas telah mengubah perjuangan Islam mengikut kehendak mereka, semata-mata ingin mengekalkan sokongan mereka?

Bukankah Pas yang jujur pada niatnya jauh lebih baik daripada Pas yang cuba menutup niat sebenarnya? Di zaman tidak rasional ini, persoalan yang mudah ini dipercayai juga akan menjadi rumit.

Kebelakangan ini, kedengaran ada desakan untuk menubuhkan parti Islam yang baru. Diharap parti Islam yang bakal ditubuhkan tidak akan mengulangi sifat buruk Pas yang disebut di atas. Jangan dedahkan niat hendak melaksanakan Islam secara keseluruhan sehinggalah Putrajaya ditawan.

Untuk mengekalkan sokongan rakyat, terutamanya sokongan bukan Islam, parti Islam yang baru ini perlu menekankan bahawa mereka hanya mementingkan masalah rakyat. Tekankan bahawa mereka tidak akan mencampuradukkan agama dengan politik. Tekankan bahawa mereka hanya akan mendukung undang-undang sekular tapi tidak undang-undang syariah kerana Malaysia belum bersedia dan perlembagaan tidak mengizinkannya.

Tekankan bahawa hak asasi manusia mengatasi segala kongkongan dalam agama. Penuhilah semua itu agar gelaran progresif terus diberi kepada parti Islam yang baru ini sehingga Putrajaya ditawan.

Selepas Putrajaya ditawan, barulah tunjuk belang atau lupakan belang yang ada kerana tiada yang lebih penting daripada mendapatkan kuasa. Itu langkah paling selamat.

Biarlah Pas yang asal ini terus istiqamah dengan perjuangan Islam mereka – di mana mereka mahu Islam turut sampai di Putrajaya. Jika Islam tidak sampai, mereka rela menunggu dan menyediakan pewaris-pewaris untuk terus menyambung perjuangan ini.

Inilah sifat buruk Pas yang kedua yang amat dibenci musuh-musuhnya – sikap degil untuk tidak berputus asa meskipun dicemuh, dihina dan dipandang serong oleh lawan, kawan mahupun bekas pemimpin sendiri.

No comments:

Post a Comment