Thursday, June 11, 2015

Muktamar PAS membangkitkan krisis Perlembagaan



 Sejarah krisis Perlembagaan di Selangor pada tahun 2014 yang menyaksikan isu penukaran Menteri Besar daripada Tan Sri Khalid Ibrahim kepada Azmin Ali berlarutan beberapa bulan setelah PAS gagal memberikan persetujuan kepada calon PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail. Bantahan PAS bertitik tolak daripada ketidakpuashatian beberapa pemimpin tertinggi terhadap langkah Kajang walaupun ia adalah strategi politik yang bijak. Muktamar Pas yang ke-60 secara majority tanpa usul dan undian mendesak PAS supaya tidak campurtangan dalam isu penukaran Menteri Besar. DYMM Tuanku Sultan Selangor dengan menggunakan kebijaksanaan dan kuasa budibicara baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 (Perlembagaan Selangor) telah melantik Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor.

 2015 menyaksikan sekali lagi kelicikan pemimpin baru PAS membangkitkan krisis Perlembagaan di Selangor apabila Muktamar ke 61 meluluskan usul menamatkan hubungan politik dengan DAP tetapi kekal bersama PKR dalam Pakatan Rakyat diterima tanpa bahas. Walaupun terdapat perwakilan mendesak untuk dibahaskan usul tersebut, ia adalah satu tuntutan yang sia-sia kerana keputusan telah dibuat oleh pimpinan tertinggi. Di sinilah letaknya kelemahan apabila kuasa dipusatkan kepada pemimpin dan bukan jemaah samaada Presiden atau Mursyidul Am, sedangkan Allah mengarahkan bermesyuarat bagi menyelesaikan sesuatu perkara dan bertanya kepada yang pakar. Apatah lagi Muktamar adalah badan tertinggi dalam PAS, sudah pasti keputusan penerimaan usul tersebut tanpa bahas dan undian tidak boleh diubah dan juga telah menafikan hak ahli melalui perwakilan. Inilah yang boleh berlaku sekiranya Perlembagaan party sendiri gagal difahami dan diamalkan oleh pimpinan tertinggi. Keadaan menjadi celaru apabila usul aneh tersebut kini cuba diubah dengan penolakan perletakan jawatan ahli di dalam Kerajaan Pulau Pinang.

 Tiada pertikaian tentang Perlembagaa Pas kerana ia adalah syarie kerana dasar PAS adalah Islam dan 4 sumber hukum utama iaitu al-Quran, As-Sunnah, Ijma dan Qias juga adalah hukum tertinggi party. Maka setiap peruntukan Perlembagaan PAS pasti memenuhi hukum syara'. Oleh itu, ahli dan pemimpin PAS seharusnya menghormati dan mematuhi usul tersebut. Jadi, PAS sendiri berhadapan krisis Perlembagaan party.

 Akibat usul tersebut, DAP telah mendesak PKR memilih samada DAP atau PAS untuk bersama yang menunjukkan hubungan politik PAS-DAP telah putus. Permuafakatan PAS, DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat adalah longgar kerana Pakatan Rakyat tidak berdaftar dan tiada apa-apa Perjanjian Bertulis dibuat. Pulau Pinang adalah negeri Pakatan Rakyat 2 party iaitu PKR dan DAP, sedangkan Selangor melibatkan ketiga-tiga party. Dengan usul tersebut, maka secara konstruktifnya, Pakatan Rakyat di Selangor telah terbubar, namun tidak di Pulau Pinang.

 Menurut Perlembagaan Selangor yang berasaskan konsep westminster constitutional system, sesebuah kerajaan dibentuk berasaskan prinsip kepercayaan dan majority. Asas pembentukan kerajaan di Selangor adalah dengan perlantikan Menteri Besar yang pada pendapat DYMM Tuanku Sultan mendapat kepercayaan atau sokongan majority ADUN Selangor. Peruntukan relevan Perlembagaan Selangor adalah pada:

 LIII(2)(a)" Duli Yang Maha Mulia hendaklah pertamanya melantik menjadi Menteri Besar, untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seorang ahli Dewan Negeri yang pada pendapat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majority ahli Dewan itu".

 Dengan terputusnya hubungan politik PAS-DAP, secara konstruktifnya kerajaan Pakatan Rakyat tidak lagi mendapat sokongan kedua-dua party kerana Pakatan Rakyat hanyalah persefahaman politik tidak berdaftar dan bergerak secara convention. Tidak mungkin Pakatan Rakyat bertahan apabila 2 party dalam pakatan tiada lagi hubungan politik. Mengeruhkan lagi keadaan apabila DAP menggesa PKR memilih salah satu party.

 Menteri Besar Selangor secara konstruktif juga dilihat telah hilang kepercayaan majority ADUN kerana perlantikan beliau adalah berpremiskan permuafakatan party-party Pakatan Rakyat. Sebarang keputusan yang perlu dibuat melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) juga mustahil dicapai kerana pertembungan 2 party wujud dalam mesyuarat EXCO. Perjalanan pentadbiran kerajaan negeri yang berpusatkan kepada EXCO pasti menjadi sukar kerana secara convention, seseorang EXCO adalah lantikan party. Kepercayaan rakyat pula diberikan kepada Pakatan Rakyat melalui agenda ABU (anything but UMNO). Perpecahan hubungan politik PAS-DAP pasti menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat umpama kapal Titanic yang terbelah dua menunggu karam.

 Berdasarkan kepada keadaan politik dan kedudukan undang-undang, krisis kepercayaan kerajaan yang dipilih melalui demokrasi mungkin lebih baik diselesaikan dengan pembubaran DUN Selangor dan pilihanraya diadakan. Menteri Besar menurut peruntukan LIII(6) Perlembagaan Persekutuan boleh memohon perkenan DYMM Tuanku Sultan bagi membubarkan DUN "Jika Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan majority ahli Dewan Negeri, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan Majlis Mesyuarat Kerajaan melainkan jika, atas permintaannya, Dewan Negeri dibubarkan oleh Duli Yang Maha Mulia".

 Komposisi party politik di dalam DUN Selangor adalah PAS:15, DAP:15, PKR:13, UMNO:12 dn Bebas:1. Kedudukan Menteri Besar Selangor Pakatan Rakyat sekarang daripada PKR perlulah mendapat sokongan salah satu party samaada PAS atau DAP. Dengan PKR mempunyai jumlah ADUN yang paling kecil, maka Menteri Besar sudah tiada kepercayaan majority ADUN kerana perpecahan politik PAS-DAP. Di samping itu, DYMM Tuanku Sultan menurut peruntukan LXX(2) Perlembagaan Selangor "Duli Yang Maha Mulia boleh memprorog atau membubarkan Dewan Negeri'.

 Maka, jika keadaan krisis politik Pakatan Rakyat ini berterusan sehingga menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, kerajaan negeri tidak lagi menjadi stabil. Dengan itu, sewajarnya kuasa yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat daripada rakyat kini dikembalikan kepada rakyat untuk rakyat diberikan hak memberikan mandat baru. Usah jadikan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat. Tegakkan demokrasi dengan adil.

 Elakkan krisis Perlembagaan yang menyaksikan agenda penyingkiran Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Menteri Besar Kelantan Datuk Muhammad Nasir berulang menjadi sejarah hitam negara. ~Faiz Fadzil~ 11 Jun 2015.

No comments:

Post a Comment