Thursday, June 11, 2015

Antara PM, Tun M dan RM



Maka apa yang disebut dialog Nothing2Hide – bagi siapa yang tidak faham bahasa penjajah, terjemahannya ialah 'Tiada Apa Nak Disorok' – itu hanya gah publisiti. Belum bermula sudah berakhir!

Tidak kira apa alasan yang diberi, mungkin faktor keselamatan, mungkin sebab lain, tindakan Ketua Polis Negara mendapat pujian. Ada andaian dan kebimbangan sesuatu tidak baik bakal berlaku. Andaian itu tidak semestinya benar.

Secara peribadi, kalau pun tidak kerana arahan polis, pada hemat saya dialog berkenaan tidak perlu dibuat. Isunya, 1MDB, memang relevan dan sentiasa hangat. Tetapi dialog anjuran Sukarelawan Guaman (SukaGuam) itu, tidak akan memberi apa-apa makna.

Sekiranya tujuan dialog terbuka ialah untuk menjawab soalan-soalan yang ditimbulkan mengenai syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu, belum tentu semua akan terjawab dan dapat menutup kontroversi.

Hakikatnya ialah sebelum ini Najib sendiri telah bercakap di TV dalam wawancara khas untuk memberi penjelasan. Beberapa hari lalu, Menteri Kewangan Ke-2, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pula muncul di skrin, juga untuk menjawab soalan mengenai isu sama.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif, Arul Kanda Kandasamy pun telah beberapa kali membuat kenyataan media, memberi fakta dan angka mengenai syarikat yang dilanda hutang mega RM42 bilion itu.

Tetapi baik PM @ Menteri Kewangan, Menteri Kewangan Ke-2, hatta CEO kesemuanya gagal memberi jawapan yang memuaskan. Seperti yang diakui semua, apa yang dianggap penjelasan itu sebenarnya menimbulkan lebih banyak soalan.

Jadi apa perlunya orang berkumpul di PWTC untuk dialog pagi Jumaat itu? Belum pasti pertemuan itu betul-betul akan menjawab soalan yang selama ini ditanyakan oleh pihak-pihak tertentu, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad.

Apakah PM akan betul-betul bersedia menjawab pertanyaan daripada mantan PM yang pasti datang dengan angka dan fakta terkini mengenai syarikat yang dilanda hutang itu?

Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat mungkin berniat murni untuk cuba menjernihkan keadaan menerusi dialog Nothing2Hide. Tetapi belum tentu semuanya berani didedahkan pada dialog berkenaan.

Kalaulah yang disoal lain, tetapi yang dijawab adalah benda yang telah diberitahu sebelum ini, lebih baik dialog tersebut tidak diadakan. Semuanya hanya membuang masa, malah mungkin menambahkan lagi kemarahan umum.

Ada cadangan daripada Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil supaya TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang tengah menyemukakan Najib dengan Tun M.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula mencadangkan PM dan mantan PM bersemuka tanpa orang tengah. Malah, ramai pula yang mencadangkan PM dan Dr M berdialog di TV.

Semua berniat baik, tetapi cadangan seperti itu hanya membuang masa, kecuali pihak yang ditanya betul-betul dapat menjawab apa yang ditanya dengan jelas dan memuaskan hati pihak yang bertanya.

Hatta, sekiranya PM menjelaskan dengan terperinci dan menjawab semua persoalan dan seribu satu macam kaitan – antaranya Jho Low – itu pun belum pasti dapat memuaskan hati ramai orang.

Kita sekarang berada pada tahap di mana apa sahaja penjelasan dan jawapan kerajaan mengenai 1MDB, akan dianggap sebagai auta @ bohong. Bawalah berkarung dokumen, orang akan menganggap sebagai sampah.

Maka dalam keadaan begitu tidak perlu dipertemukan PM dan Tun M. Perihal 1MDB yang setakat ini dianggap kantoi dengan hutang berbilion-bilion RM, kita serahkan sahaja kepada pihak dan agensi yang telah diamanahkan untuk menyiasat.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ketua Audit Negara, Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC) dan Bank Negara masing-masing bersedia menjalankan siasatan terhadap syarikat berkenaan.

Jalankan siasatan dengan terperinci, tanpa prejudis, dan jangan mengambil masa terlalu panjang. Apa yang ditemukan dalam siasatan nanti hendaklah didedahkan kepada umum. Mudah-mudahan orang akan percaya!

No comments:

Post a Comment