Sunday, June 21, 2015

PM dan Kabinet berhentilah, jangan membawa malang kepada rakyat lagi


FGV nampaknya akan menjadi satu lagi syarikat yang menjadi tempat mereka yang berkuasa gunakan untuk membuat keuntungan peribadi dengan jumlah yang besar. Ada sahaja syarikat-syarikat yang mempunyai tahap kewangan yang besar ia akan menjadi mangsa mereka yang berkuasa untuk mencuri dan memunggah apa yang dipunyai rakyat dan pemegang-pemegang sahamnya.
1MDB belum selesai lagi kini pandangan rakyat berpindah kepada FGV syarikat yang disenaraikan oleh Felda. Dalam pada peneroka kini terhutang dengan kejatuhan harga saham FGV, syarikat ini sedang mula berhadapan dengan persoalan tentang pelaburannya di Indonesia pula. Felda sememangnya terbilang membuat pelaburan dengan membeli harta dengan harga tinggi. Kita tahulah sebabnya tetapi kenapa tidak ada perasaan dan hati untuk peneroka yang bermatian membina Felda itu dahulu.
Sampai bila rompakan bersiri oleh pemimpin kerajaan yang berkuasa tidak dapat kita ketahui. Ia bergantung samada rakyat dan mereka yang berada dalam Dewan Legislatif Parlimen mampu menyelesaikannya. Kalau tidak silap saya melihat video di pajabat Dr Mahathir, bekas Perdana Menteri itu seolah-olah menyatakan kepada kita yang perhimpunan membantah dan menuntut Najib meletakkan jawatan.
Walaupun Mahathir yang kita tahu selama ini benci dengan perarakan, perhimpunan beramai-ramai itu sudah mula boleh diterima oleh beliau sebagai cara untuk menyelamatkan negara ini dari terus terjerumus ke dalam kehinaan itu. Bagi beliau dan ramai lagi, Najib wajib meletakkan jawatan.
Pembongkaran terbaru tentang FGV ini amat menakutkan rakyat lagi. Kebetulan 1MDB dan Felda adalah dibawah dagu pimpinan Najib dan jika FGV ini menjadi satu lagi isu besar terhadap negara maka kita sudah pasti yang Najib ini sememangnya tidak ada langsung semangat untuk rakyat dan negara. Apa sahaja yang disentuh oleh Najib bakal menerima kehancuran.
Semua sentuhan Najib membawa bala dan bencana. Beliau menubuhkan 1MDB syarikat itu hancur lebur. Dibawanya Felda dibawah jagaannya sekarang Felda dan FGV dalam keadaan tenat dan akhirnya disentuhnya kerajaan, maka kerajaan sekarang terumbang-ambing keadaannya. Semasa Felda berada dalam Kementerian Kemajuan Tanah dan Wilayah dahulu, Felda tidak menghadapi isu besar, malahan tiada isu langsung. Apabila dipindahkan kepada Najib, Felda menjadi miskin dan hampir hancur.
Bagi saya, saya begitu hairan pemimpin seperti ini boleh tidur dengan nyenyak dan tidak ada langsung perasaan untuk orang ramai yang kian hari kian menderita ini. Lebih menghairankan lagi ahli-ahli Jemaah kabinet masih tidak mahu bertindak untuk menahan Perdana Menteri dari melakukan kemungkaran ekonomi yang sangat besar ini. Banyak negara dalam dunia ini terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa ini tetapi tidak sehebat dan seteruk pimpinan kita pada hari ini.
Saya adalah salah seorang yang menulis tanpa henti tentang isu rasuah ini sejak bertahun-tahun dahulu. Saya menulis isu ini kerana ramai yang datang mahukan saya menulisnya kerana perlakuan rasuah sememangnya tidak dapat disorokkan lagi. Saya pernah dicaci oleh pembaca kerana saya menulis tentang isu ini tanpa henti. Tetapi sekarang jelas apa yang ramai meminta saya menulis itu ternyata benar dan betul dan saya akan terus menyeru semua pihak supaya berfikir dan memikirkan hal negara walaupun sedikit.
Sekarang yang mencaci orang-orang seperti saya pun mencaci pimpinan yang tidak berguna ini. Kita elok bertanya dimana kah semua Menteri-Menteri yang mengendalikan kerajaan sekarang? Kenapa mereka berdiam diri seribu bahasa dalam menghadap berbagai isu besar ini? Mana Muhyiddin dan dimana Ahmad Zahid Hamidi dan dimana dia Khairy Jamaludin? Kenapa Muhyidin berani bercakap dalam majlis tertutup sahaja? Kenapa tidak bertindak dan selesaikan isu ini dalam Kabinet?
Nampaknya mereka ini semuanya adalah terdiri dari mereka yang membawa bencana kepada negara. Kenapakah hijab mereka tertutup begitu rapi dan tidak langsung menampakkan tanda-tanda hijab mereka akan terbuka.
Dalam keadaan sekarang pun mereka masih memikirkan hal jawatan dan kepentingan mereka sahaja. Begitu juga dengan Ahli-Ahli Parlimen. Kenapa tidak bertindak membetulkan keadaan ini dengan cepat?
Hendak tunggu laporan Ketua Audit Negara? Boleh kah kita percaya dan jika pun akhirnya sampai laporan Ketua Audit negara segala-galanya sudah hancur lebur. Masalahnya sekarang seluruh kepimpinan negara kita sudah hilang keyakinan rakyat. Apa pun yang Najib katakan untuk membela dirinya, rakyat tetap mempersoalkan kewibawaannya.
Dari sudut moral dan etikanya sesiapa yang sudah hilang kewibawaan mesti meletakkan jawatan. Perdana Menteri dan semua ahli kabinet perlu bersara dan jangan sentuh lagi hal kerajaan dan rakyat ini. Kamu semua pembawa malang kepada rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment