Rata-rata dalam kalangan mereka sudah muak dan tidak mahu
ambil peduli tentang politik dan masalah yang dihadapi negara
PETALING JAYA: Pelbagai kemelut yang menjadi isu mengaitkan pemimpin negara telah menyebabkan rakyat tidak ambil endah dengan situasi politik yang berlaku.
Perkara itu terbukti apabila rata-rata orang ramai yang ditemui krew FMT memberitahu, mereka sudah muak dengan perkembangan politik di Malaysia yang disifatkan semakin teruk.
Seorang jurujual, Zulfadli Sulaiman berkata, dia berharap pemimpin-pemimpin dalam negara ini lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap masalah rakyat di bawah.
“Hal ini sangat penting bagi menjamin masa depan generasi muda. Walaupun saya dah muak dengan politik di Malaysia ini, namun, sebagai anak muda, saya masih berharap pemimpin-pemimpin dalam negara kita akan ambil peduli dengan kebajikan rakyat,” katanya.
Berbeza dengan Syikin Abdul Ruzi, yang merupakan seorang eksekutif akaun apabila menyatakan pandangan dengan mendakwa, pemimpin sekarang mudah terlibat dengan rasuah dan penyelewengan tidak seperti pemimpin terdahulu.
Katanya, tidak kiralah daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang, situasi yang berlaku itu disebabkan mereka mahu menjaga kroni dan hanya ingin menjaga periuk nasi masing-masing.
“Kita boleh nampak kadang kala pemimpin kita ini berkhidmat hanya untuk menjaga kepentingan mereka. Kalau tak buat kerja nanti kena pecat. Yang jadi mangsa ini rakyat di bawah.
“Saya berharap pemimpin-pemimpin kita ini ubah sikap mereka dan ambil peduli terhadap rakyat dan bukannya berkhidmat atas alasan untuk menjaga kepentingan dan kedudukan mereka sebagai pemimpin sahaja,” katanya.
“Kalau macam sekarang ini saya lihat politik Malaysia ini makin teruk dan lagi-lagi macam sekarang ini kena Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Kerajaan kita ini dia lebih kepada orang atas dan rakyat di bawah ini sakit kerana terpaksa kerja siang malam untuk cari duit. Kalau macam politik Malaysia ini saya dah tak nak ambil tahu,” katanya.
Tambah Ayie lagi, kejatuhan nilai ringgit pada masa ini membuatkan rakyat semakin tertekan.
“Kalau macam sekarang ini dah terasa sakit, macam dulu RM50 dah rasa banyak tetapi sekarang ini RM50 dah rasa macam RM5 sahaja,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment