Monday, January 25, 2016

Jangan guna agama untuk tujuan politik atau peribadi


Sultan Nazrin Shah
Sultan Nazrin Shah - Foto Bernama

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali menggunakan agama untuk tujuan politik dan kepentingan peribadi.

Baginda bertitah, agama apabila difahami sepenuhnya merupakan instrumen penyatuan dan keadilan selain dapat melahirkan manusia yang baik.

"Di sebaliknya apabila digunakan selain daripada tujuan untuk menyemaikan roh ketuhanan, apatah lagi apabila dipilih untuk disensasikan secara politik, agama adalah bom jangka yang amat 'explosive', berpotensi mencetuskan porak-peranda dan malapetaka.

"Agama amat suci peranannya.  Malangnya kesucian agama ada kalanya dinodai oleh orang-orang yang kurang memiliki hikmah dan orang-orang yang cuba menyelit nilai, prasangka dan agenda peribadi lalu menjuarai dan mensensasikan sesuatu isu atas nama agama," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Pusat Konvensyen Amanjaya, Bandar Meru Raya, di sini, hari.

Menerusi titah itu lagi, Sultan Nazrin turut menegur pihak-pihak yang sewenang-wenangnya menjatuhkan hukum terhadap status akidah dan tahap keimanan individu lain.

"Status agama seseorang insan, sama ada tergolong sebagai ahli syurga atau ahli neraka ditentukan oleh Ilahi.

"Tugas dan tanggungjawab manusia terutama mereka yang terlibat langsung mengurus dan mengendalikan urusan agama ialah untuk menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar," titah baginda lagi.

Sultan Nazrin turut bertitah meminta supaya golongan ulama dan umara yang diamanahkan menguruskan hal ehwal Islam melaksanakan amanah secara hikmah dan menghormati perasaan insan lain.

Menurut baginda, raja pula bertanggungjawab memenuhi peranan penimbang tara secara adil dan saksama selain bersedia memberi ruang untuk mendengar dan menghalusi sesuatu perkara yang timbul.

"Realiti semasa dan realiti setempat wajib difahami.  Keadilan wajib dilaksanakan, maruah insan lain wajib dihormati," tegas baginda.

No comments:

Post a Comment