Monday, January 25, 2016

GKCM bidas kenyataan Tengku Adnan




DETIK DAILY


Kenyataan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa tiada keperluan untuk mengambil tindakan ke atas 14 ketua Umno bahagian di Kedah menimbulkan rasa tidak puas hati Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM).

Pengerusinya, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, jika Umno terus mengamalkan cara sedemikian, maka rakyat sendiri akan sedar dan nampak bahawa Umno sedang mengalami perpecahan dalaman yang teruk.

"Amat jelas tindakan Umno menunjukkan pendirian mereka yang pilih bulu atau selektif, sekali gus menunjukkan perlembagaan Umno dipermainkan oleh mereka yang sedang memegang kuasa. Mereka yang terlibat pula hanya mahu tunjuk hebat dan mahu disayangi Presiden.

"Ku Nan (Tengku Adnan) sendiri tidak faham perlembagaan agaknya. Ketika sembilan orang dari Telok Kemang dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno, ia adalah kerana mereka mengadakan sidang media untuk nyatakan rasa tak puas hati pada pemimpin, kelmarin lain pula kenyataan beliau (Ku Nan)," katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Tengku Adnan berkata, tindakan disiplin tidak akan diambil terhadap 14 ketua Umno bahagian di Kedah kerana mereka bertindak mengikut perlembagaan parti.

Beliau berkata, mereka hanya menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan Pengerusi Umno Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan menyerahkan sepenuhnya kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuat keputusan.

Menurut Kamarulazman, jelas Tengku Adnan dan Lembaga Disiplin Umno mengeluarkan kenyataan berbeza dan GKMC akan mengajak beliau untuk berdebat mengenai isu besar yang melanda kini.~Sinar Harian

No comments:

Post a Comment