Dewan Rakyat umum Anwar gugur taraf ahli Parlimen.. dan apabila tarafnya digugurkan..
Bagi mereka yang sentiasa ‘sakit hati’ terhadap apa saja tindakan yang dilakukan oleh Saudara Anwar Ibrahim akan merasa begitu ‘lega’ apabila mendapat khabar yang Saudara Anwar tidak lagi menjadi ahli parlimen.
Dilucutkan keahlian parlimennya. Tidak ada lagi Ketua Pembangkang yang akan mempersoalkan isu-isu yang boleh menyebabkan ‘sesak nafas’ pihak-pihak tertentu untuk menjawabnya. Bermakna akan ada pilihan raya kecil kawasan Permatang Pauh tidak lama lagi untuk memilih wakil parlimen yang baru.
Dengan pengumuman yang dibuat oleh Speaker Dewan Rakyat tentang Saudara Anwar itu bermakna akan ‘nyenyak’lah tidur golongan yang sentiasa ‘takut dan bimbang’ terhadap beliau.
Akan ‘berselera’lah golongan ini apabila menikmati apa juga ‘hidangan’ dan tentunya akan ‘berselera’ jugalah agaknya apabila berhadapan dengan sogokan dan wang rasuah yang dihulurkan.
Sebenarnya hanya segelintir sahaja rakyat Malaysia yang begitu gembira dengan ketiadaan Anwar di parlimen berbanding dengan peratusan rakyat Malaysia yang jauh lebih ramai menangisi nasib malang yang menimpa beliau.
Bagi golongan majoriti ini, mereka tetap mengatakan Anwar tidak bersalah. Walaupun seribu tuduhan dilemparkan terhadap Anwar mereka tetap mengatakan Anwar tidak bersalah walaupun keputusan hakim mengatakan yang Anwar bersalah.
Mereka menaruh harapan yang pada suatu ketika nanti Anwar akan keluar dari penjara dan akan menjadi pemimpin mereka juga pada suatu hari nanti sepertimana yang berlaku kepada Nelson Mandela, pemimpin Afrika Selatan itu. Hanya masa dan takdir yang menentukan.
Sememangnya begitu agaknya nasib seseorang pemimpin tulin yang betul-betul mahu mengabdikan dirinya kepada masyarakat yang dipimpinnya. Terlalu banyak menempuh ujian dan halangan.
Ini dapat dilihat dan terbukti apabila dikaji sejarah perjuangan pemimpin besar dunia yang jatuh dan bangun demi untuk kepentingan rakyat dan negara.
Mungkin ada yang merasakan bahawa dengan ketiadaan Anwar parlimen akan menjadi ‘sepi’ berbanding dengan keadaan apabila beliau ‘wujud’.
Tetapi yakinilah bahawa keadaan di parlimen tidak akan banyak berubah dengan kehadiran tokoh-tokoh muda yang baru muncul seperti Rafizi, Nurul Izzah, Tony Pua, Khalid Samad dll.
Kadang-kadang aku terfikir juga bahawa apakah ketiadaan Saudara Anwar ini merupakan satu hikmah yang terselindung.
Apakah mungkin ketiadaan Saudara Anwar ini untuk memberi peluang kepada tokoh-tokoh muda untuk muncul di arena kepimpinan negara yang bersesuaiann dengan Kurun ke 21, kurun anak muda. Mungkin begitu kehendak yang maha kuasa.
Kehadiran Anwar di arena berkemungkinan sentiasa membayangi kemunculan tokoh-tokoh muda untuk menyerlahkan bakat-bakat mereka sebagai pemimpin.
Sehubungan dengan situasai ini, apakah tidak terfikir di kepala kepimpinan Pakatan Rakyat untuk melantik Rafizi atau Nurul Izzah atau Tony Pua sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Saudara Anwar Ibrahim.
Memang tidak berapa lojik dan tidak wajar syor yang aku kemukakan itu.
Jikalau mengikut pertimbangan dan pemikiran golongan lama sememangnya cadangan yang aku kemukakan itu tidak masuk akal disebabkan cara berfikir mereka masih bergantung dan berpaut kepada berfikir cara lama, cara berfikir Kurun ke 20 sedangkan kita berada dalam Kurun ke 21.
Dan tentulah bersesuaian pula agaknya sekiranya Saudara Khairy Jamaluddin diketengahkan sebagai pengganti DS Mohd Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Alangkah ‘seronok’ apabila melihat orang muda ‘bertempik sorak’ dan ‘bersepak-terajang’ di gelanggang parlimen Malaysia, menggantikan ‘orang tua’ yang sudah letih dan tidak bermaya.
Lagi pun sememangnya hasrat yang pernah diucapkan dan diidamkan oleh Saudara Khairy Jamaluddin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia dalam usia yang masih muda.
Samada berjaya atau tidak beliau menjadi Perdana Menteri tentulah keadaan yang menentukan. Berkemungkinan juga Saudara Rafizi Ramli yang mendahuluinya melihatkan keadaan perkembangan cara berfikir masyarakat kini, terutamanya cara berfikir masyarakat Melaysia yang terlalu inginkan perubahan daripada yang lama kepada yang baru dan progresif.
Walau macam mana pun senario yang akan ditempuhi semasa ketiadaan Anwar, nama Anwar Ibrahim tidak akan luput dari ingatan bangsa Malaysia.
Saudara Anwar Ibrahim telah menjadikan dirinya idola dan icon bagi bangsa Malaysia dalam erti kata yang sebenarnya.
Bukan sahaja ‘dimiliki’ oleh orang Melayu tetapi disayangi dan dipuja-puji oleh orang Cina, India, Iban, Kedazan dan seluruh rakyat Malaysia.
Ketiadaannya mungkin mengembirakan segelintir manusia di Malaysia tetapi masih ramai (dan terlalu ramai) yang akan menunggu (dan tetap menunggu) ‘kemunculannya’.
Kuasa Tuhan menentukan segala-galanya...
Ditulis oleh Abu Hassan Adam
Laporan berkaitan..
Dewan Rakyat mengumumkan secara rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim gugur taraf sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh susulan petisyen keluarganya ditolak Lembaga Pengampunan.
Perkara itu diumumkan Timbalan Speaker Datuk Ismail Said pada persidangan hari ini.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam mengeluarkan notis pemakluman keahlian Anwar sebagai ahli Parlimen gugur bermula 16 Mac lalu, sebaik sahaja keputusan petisyen pengampunan berkenaan diumumkan.
"Dalam hal ini, petisyen pengampunan bagi Permatang Pauh diputuskan pada 16 Mac 2015, hukuman penjara bagi tempoh 5 tahun yang dikenakan terhadap Permatang Pauh hendaklah diteruskan," katanya melalui notis berkenaan.
"Dengan keputusan ini, makanya Permatang Pauh hilang kelayakannya sebagai ahli Parlimen pada 16 Mac 2015 iaitu sebaik sahaja petisyen bagi suatu pengampunan itu diputuskan," kata Pandikar.
Sehubungan itu, Pandikar berkata satu pemberitahuan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan perkara itu.
SPR kemudiannya berkata ia akan bermesyuarat pada 8 April menentukan tarikh pilihan raya kecil bagi Permatang Pauh.
Susulan keputusan lembaga pengampunan itu, Anwar kini turut kehilangan jawatan sebagai ketua pembangkang di Parlimen sepenuhnya
No comments:
Post a Comment