Friday, April 17, 2015

MAHARAJA LAWAK : AFUNDI HASAN MALEK ...

GST: Menteri boleh daftar peserta Maharaja Lawak



Merujuk kepada kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek bahawa rakyat sudah memahami dan boleh menerima pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu.

Beliau membuat kesimpulan mudah itu hanya sekadar berpandukan statistik kementerian yang menunjukkan pengurangan dari segi bilangan aduan pengguna yang diterima.

Saya berasa amat hairan atas kenyataan Menteri ini kerana ia tidak ubah seperti syok sendiri dan menafikan realiti beban berat yang ditanggung oleh rakyat.

Adakah dengan kurangnya aduan itu bermakna rakyat sudah faham dan terima GST?

Setiap hari kita boleh membaca di akhbar, portal berita dan laman media sosial berkenaan keluhan dan aduan rakyat berkenaan pelaksanaan GST ini telah membebankan mereka.

Iklan promosi GST yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui siaran televisyen, radio dan papan tanda besar itu hanyalah seperti kata pepatah “indah khabar dari rupa”.

Jikalau dahulu barang keperluan harian dan makanan yang dibeli itu pada harga tertentu, namun setelah GST harga yang perlu dibayar meningkat naik.

Bukankah itu membebankan rakyat khususnya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana?

Aduan dibuat atas perkara yang melanggari peraturan dan garis panduan pelaksanaan GST. Rakyat sebenarnya marah dan tertekan kerana kerajaan tetap berdegil untuk melaksanakannya walaupun dibantah oleh ramai pihak.

Jadi,amatlah tidak wajar menteri untuk menjadikan jumlah aduan sebagai indikator penerimaan GST.

Hakikatnya, rakyat sudah meluat dan mereka sedar jika aduan dibuat pun kerajaan gagal bertindak dengan sewajarnya bahkan lebih menyebelahi tauke besar.

Seperti contoh, isu kad tambah nilai prabayar, pada asalnya pihak kerajaan menafikan harganya akan naik selepas cukai 6 % GST namun setelah didesak oleh syarikat besar telekomunikasi, akhirnya kerajaan tunduk kepada mereka dan rakyat pula yang menanggung kos tambahan yang perlu dibayar.

Jaminan kononnya akan ada tindakan dan penguatkuasaan besar-besaran itu hanyalah wayang pihak kerajaan untuk melegakan semarak kemarahan dalam kalangan rakyat.

Saya mendesak kerajaan khususnya pihak menteri agar tidak syok sendiri dalam hal GST ini. Cukuplah membuat kenyataan yang mengguris dan memperlekeh rakyat kerana rakyat akan melihat begitu rendahnya mentaliti dan sensitiviti para pemimpin dalam memahami kepayahan mereka bergelut dengan kos sara hidup yang meningkat naik.

Jikalau menteri masih lagi berminat untuk membuat kenyataan sebegitu, saya mencadangkan menteri berundur diri dan mendaftarkan nama sebagai peserta Maharaja Lawak Mega supaya rakyat bolehlah terhibur melihat gelagat menteri di atas pentas nanti. - HARAKAHDAILY 16/4/2015


DATUK MAHFUZ OMAR,
Ketua Penerangan PAS
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

No comments:

Post a Comment