Friday, April 3, 2015

GST : KURANG BEBAN @ TAMBAH BEBAN ???

Fenomena Selepas Banjir Besar Kelantan - Antara realitinya masih ramai tidur dalam khemah..!!


Kami baru pulang dari menziarahi semula daerah-daerah banjir di Kelantan. Sedih melihat begitu ramai mangsa banjir yang masih terkapai-kapai duduk di khemah plastik yang tidak bertingkap.

Dunia sudah melupakan bencana yang 3 bulan lalu menggemparkan negara. Tiada kata untuk kami gambarkan betapa deritanya mereka. Bayangkan 3 bulan tiada hujan dan lumpur banjir dahulu kini menjadi debu yang menyesakkan.

Kami melangkah masuk ke kemah dalam gambar ini sekitar jam 1 tengahari. Ramai penghuni kemah yang ke sekolah menghadiri mesyuarat PIBG.

Ibu muda bersama bayinya berusia 4 bulan dan beberapa warga emas adalah antara yang sempat kami temubual di kemah yang macam ketuhar panasnya ini.

Waktu berjalan di lorong antara kemah sudah dapat kami rasa bahang bakaran plastik dan kanvas itu. Sebaik sahaja zip dibuka, wap panas dalam kemah segera menyerbu ke muka kami.

Mata kami terus tertumpu ke sebuah buaian di mana ada seorang bayi sedang bertarung dengan haba dengan bantuan kitaran udara panas oleh kipas angin.

Kami gagahkan diri melangkah ke dalam setelah diizinkan oleh ibu muda dan suaminya yang 'berlenggeng' kepanasan itu..

Sebaik sahaja masuk, kami terus menuju ke arah bayi dibuaian yang hanya berusia 4 bulan dan diselimutkan dengan tuala basah. Situasi itu telah dideritai sejak 3 bulan lalu (dia berusia 21 hari ketika banjir).

Panasnya amat mengejutkan kami apabila kami sentuh semua perkakas dan plastik dinding kemah yang dijadikan bilik (bukan yang dipanah mataharipun). Semua mereka terpaksa menahan bahang panas yang telur mentah pun boleh masak.

 
 
Sejak banjir, sudah 3 bulan mereka tidak dapat pergi menoreh getah kerana jembatan runtuh. Untuk pusing ikut jalan jauh tidak berbaloi pula modal perjalanannya. Kenderaan menoreh juga sudah rosak atau dihanyut banjir. Tambahan pula susu getah kurang kerana musim kemarau dan daun muda.

Sekitar 90 % rumah di Dabong Musnah. Pihak Majlis Daerah yang membawa kami meninjau kawasan banjir tidak dapat memberi statistik sebenar status pemulihan yang sudah dijalankan. Kami lihat progress pembinaan semula tidak lebih dari 20 %. Bakinya masih terlantar di kemah kemah sementara.

Semuga GST tidak menambah derita mereka. Malah kami berdoa dan menyeru agar pihak berkuasa tidak sekali kali lupakan mereka ini. Jangan sampai dana GST yang dibayar oleh rakyat dengan penuh radang minda ini TIDAK SAMPAI kepada mereka. Jika ini berlaku maka tidak dapat kami bayangkan sebesar mana dosa kita semua menanggungnya.

Kami terkesima sebenarnya. Nak makan pun tak lalu memikirkan kesengsaraan mereka. Sedikit sebanyak wang tunai yang kami ada kami hulurkan walaupun kami rasa langsung tidak mampu meringankan beban mereka.

Ada juga yang menyarankan agar kami aturkan sesuatu untuk membina semula rumah sementara buat mereka. Kami sekitar 200 orang pernah berkampung seminggu di sana sebelum ini dengan 2 buah bas, beberapa jentera dan 15 kenderaan lain.

Untuk berada di sana buat membantu tenaga hampir mustahil dengan begitu banyaknya rumah yang harus di bina. Lagipun sebelum ini isu utama ialah status tanah. Kami pula ada tanggungjawab menjaga anak-anak dan mengurus sekolah AIP di sini.

Namun begitu, YAB MB Kelantan dalam ucapannya di Majlis Bicara Musibah mengatakan kerajaan negeri sudah tidak kisah lagi dengan isu tanah. Semua mangsa diizinkan untuk membina semula rumah mereka walaupun atas tanah yang berstatus menumpang. Jelas sekali kerajaan negeri kesukaran untuk membantu mereka semua dengan kadar segera.

Malangnya rata-rata mangsa mengatakan tidak ada wang di tangan untuk membina semula rumah mereka. Makan pun menggunakan sisa sumbangan NGO yang memang mencukupi bahkan berlebihan banyaknya. Kain baju terpakai sampai terbuang-buang.

Tidak tahu bagaimana untuk menceritakan semuanya. Beribu ribu gambar dan video yang kami ambil. Semuga kita dapat lakukan sesuatu untuk membantu mereka, khususnya menghadapi ramadhan dan aidilfitri tidak lama lagi.

 

Satu jalan yang kami fikirkan ialah untuk segera menggerakkan tabung pembinaan rumah agar masing-masing boleh membina semula rumah mereka itu. Kami sudah cuba sedaya mampu. Begitu juga Raja Shamri yang masih istiqomah membantu mereka. Malangnya jumlah rumah dan mangsa yang perlu dibantu terlalu banyak.

Jika ada yang ingin menyumbang melalui RPWP boleh ke menu Akaun bank di page kami www.prihatin.net.my .

Pastikan anda hantar mesej pemakluman melalui Whatsapp atau telegram ke nombor telefon dan email yang dinyatakan untuk tujuan audit, akad dan doa. KITA NAMAKAN IA "HARAKAH RAMADHAN MANGSA BANJIR".

Lahaulawala quwwatailla billah.

WARGA PRIHATIN

No comments:

Post a Comment