Sunday, April 12, 2015

MAHATHIR TIBAI NAJIB, MUKHRIZ KENA TUMBUK ???

Setelah Mukhriz Didesak Letak Jawatan, Apakah Pula Tindakan Drastik Mahathir Selepas Ini?

Shahbudin Husin,


Episod pertembungan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Perdana Menteri, Najib Razak nampaknya semakin sukar ditemui jalan penyelesaian dan titik tengahnya. Najib ingin terus kekal dan tidak mahu mengalah manakala Tun Mahathir pula tetap mahukannya berundur.

Selepas Najib muncul di televisyen untuk menjawab semua kritikan dan serangan Tun Mahathir terhadapnya, bekas Perdana Menteri itu kemudiannya tampil lagi untuk mempertahankan hujah serangan dan kritikannya.

Nadanya bercakap mengenai 1MDB, Jho Low, Sirul, sokongan terhadap Najib, keyakinan BN dalam pilihanraya akan datang, jelas tidak berganjak sedikit pun daripada sebelumnya.

Bahkan jawapan-jawapan Tun Mahathir, terutama mengenai janji Jambatan Bengkok, lebih memalukan Najib kecuali jika Perdana Menteri dapat membuktikan tidak pernah membuat janji itu.

Begitu juga tuntutan Tun Mahathir agar dibentuk sebuah suruhanjaya yang benar-benar bebas bagi menyiasat segala salah laku dan kecurangan yang didakwanya berleluasa dalam 1MDB, ia sebenarnya adalah cabaran sekali lagi buat Najib.

Walaupun diserahkan kepada Ketua Audit Negara untuk melakukannya kepada 1 MDB, sebagaimana kata bekas Menteri Kewangan, Tun Daim semalam, ia masih menimbulkan konflik kepercayaan umum kerana jabatan itu terletak di bawah Kementerian Kewangan di mana Najib adalah juga menterinya.

Sebelum ini Lim Kit Siang dan Ibrahim Ali juga pernah menyuarakan perlunya sebuah Surunjaya Bebas atau Diraja dibentuk bagi menyiasat selepenuhnya urusan 1MDB.

Dalam serangannya, Tun Mahathir juga terus mempertikaikan siapakah sebenarnya Jho Low yang didakwanya begitu berkuasa berurusan dengan wang berskala besar bagi pihak 1MDB sedangkan dia bukan kakitangan kerajaan atau sebahagian daripada kerajaan.

Tindakan Tun Mahathir terus melontarkan pertanyaan mengenai Jho Low tidak lain ialah kerana Najib dalam temubualnya baru-baru ini masih enggan dan mengelak untuk menjawab mengenai peranan serta hubungannya dengan ahli perniagaan Cina yang didapati gaya hidupnya penuh warna-warni bersama selebriti Hollywood itu.

Di ketika Tun Mahathir makin agresif melakukan serangan dan semakin ramai pemimpin UMNO tampil menyatakan sokongan kepada Najib, pertembungan itu kini memasuki episod baru apabila Mukhriz Mahathir pula digesa meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah.

Adun Bukit Lada, Ahmad Lebai Sudin dilaporkan berkata, jika Mukhriz tidak berani menyatakan sokongan secara terbuka kepada Najib, maka beliau seharusnya meletakkan jawatannya.

Katanya, jawatan Menteri Besar yang disandang Mukhriz itu dilantik oleh Najib dengan sokongan Adun BN dan beliau seharusnya terhutang budi dengan Perdana Menteri.

Mukhriz juga, dakwa Ahmad Lebai Sudin, dalam mesyuarat UMNO Kedah hari ini memberitahu, beliau akan menunggu hasil siasatan audit mengenai 1MDB sebelum mahu menyatakan sokongannya kepada Najib.

Perkembangan ini memperlihatkan Mukhriz dalam keadaan serba salah. Tetapi, sebagaimana budaya biasa dalam UMNO, tidak mustahil lebih ramai yang akan tampil mendesaknya berundur berikutan kemelut antara Tun Mahathir dengan Najib ini dengan hasrat tersembunyi "mungkin ada untung" yang boleh diraih daripadanya.

Ia mungkin akhirnya menyebabkan sama ada Mukhriz akur untuk berundur sebagai Menteri Besar Kedah atau Tun Mahathir sendiri akan mengambil tindakan drastik yang di luar jangkaan sesiapa.

Mengenali watak Mukhriz, tidak mungkin beliau akan memberi sokongan terbuka kepada Najib tetapi dalam masa yang sama membelakangkan pendirian bapanya. Beliau lebih mungkin sealiran dengan bapanya dan sedia mengambil risiko kehilangan jawatannya.

Meletakkan jawatan untuk memberi sokongan kepada bapanya secara automatik akan melonjakkan lagi kekuatan Tun Mahathir untuk terus menekan Najib kerana ia akan menyebabkan Kedah kembali ke pangkuan PR dalam pilihanraya akan datang ini.

Jika semasa era Pak Lah dahulu, Tun Mahathir mengambil tindakan keluar UMNO untuk menambahkan tekanannya, tidak mustahil beliau akan bertindak serupa sekali lagi atau mengambil tindakan lain yang di luar dugaan untuk terus menekan Najib.

Kali ini ia mungkin bermula dengan pengunduran Mukhriz dan kemudian disusuli dengan tindakan lain oleh Tun Mahathir sendiri.

Dengan kecenderungan Najib untuk terus berkeras dan bertahan pada jawatannya, Tun Mahathir tentunya tiada pilihan selain mengambil sesuatu tindakan yang akhirnya akan memperlihatkan UMNO dan BN benar-benar goyang dan "senget sebelah" sebelum pilihanraya akan datang.

Ini kerana jawapan yang Tun Mahathir kehendaki tetap satu dan tidak mungkin berubah - Najib mesti berundur!! 

No comments:

Post a Comment