Wednesday, April 15, 2015

GST : RAKYAT SUSAH, PEMIMPIN SENANG ...



Oleh Zulkifli Yahaya 



"RAKYAT perlu sedar bahawa apabila Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan maka Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) yang dilaksanakan sejak tahun 1972 dan 1975 akan dimansuhkan.

Ini bermakna pengguna hanya perlu bayar cukai pada kadar 6 peratus bagi barangan dan perkhidmatan tertentu mengikut kadar penggunaannya di bawah sistem GST, berbanding 16 peratus bagi SST. Perubahan sistem ini dijangka akan mengurangkan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan dalam pasaran."

Itu yang kerajaan canangkan ke seluruh pelosok negara sebelum pelaksanaan GST pada 1 April 2015. Malah Menteri Penerangan Dato' Ahmad Maslan dengan penuh keyakinan berkali-kali menerangkan umumnya rakyat Malaysia akan nikmati penurunan harga barangan dan perhidmatan selepas pelaksanaan GST.

Tanggal 1 April 2015, media sosial diviralkan dengan resit belian rakyat Malaysia berbelanja dan terkena GST.

Tiada penurunan. Masingmasing memaparkan imej resit GST dengan penuh sinis terhadap kerajaan BN. Sumpah seranah yang dihamburkan usah dikira banyaknya.

Pada tarikh tersebut juga, Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Abdul Razak hilang kehormatan dirinya. Bayangkan halaman Facebook Najib Razak yang mempunyai penggemar 2.7 juta, dicemari dengan kutukan bertalu-talu rakyat yang marahkan pelaksanaan GST.

Kemarahan utama rakyat terhadap Najib dan kerajaan BN ekoran pelaksanaan GST adalah kerana penipuan kerajaan. Umum rakyat tidak berminat untuk menghitung peratus SST atau GST. Ramai yang tidak minat matematik.

Mereka percaya apabila diberitahu kehadiran GST akan menyebabkan harga barangan turun. Malangnya harga barang naik. Pergi berbelanja di pasaraya, kedai runcit, restoran, kedai minyak – semua tempat ada GST. Maknanya mereka kena bayar lebih. Mana cakap menteri bahawa harga barang turun?

Kesan dari kenaikan harga barang dan perkhidmatan akibat GST akan menyebabkan berlaku lagi kenaikan harga pada peringkat kedua. Kenaikan harga minyak yang sedikit pun boleh jadi alasan untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang lain. Apatah lagi pelbagai barangan dan perkhidmatan lain yang menjadi kos/modal mereka. Ramalan penganalisis ekonomi bahawa berlaku inflasi yang tak dapat dielakkan dalam tempoh beberapa tahun pertama pelaksanaan GST akan jadi kenyataan.

Di luar bandar rakyat tertekan dengan kejatuhan harga getah, padi yang berpenyakit dan kemerosotan hasil pertanian.

Para peniaga besar tertekan dengan kejatuhan nilai Ringgit. Kos sara hidup rakyat terus bertambah. Rakyat Malaysia umumnya sedang hidup dalam tekanan dan himpitan.

Tekanan terhadap rakyat berlaku di tengah-tengah pemimpin negara boros berbelanja. Perdana Menteri baru saja meraikan perkahwinan anak perempuannya. Majlis perkahwinan berkonsepkan bunga-bungaan itu dijangka menelan belanja jutaan ringgit.

Siapa yang membiayainya? Rakyat baru saja didedahkan dengan pembelian jet peribadi yang langsung tiada keperluan di saat ini kerana jet sedia ada masih elok untuk digunakan.

Menurut Naib Presiden KeADILan, Rafizi Ramli, kerajaan membayar RM109 juta lebih mahal untuk membeli jet tersebut. Katanya, kos keseluruhan RM564 juta bagi pesawat model ACJ320 itu adalah lebih tinggi daripada harga sebenar jika dibeli terus dari pemilik asalnya Air Luther AG.

GST dipaksakan untuk rakyat di saat terbongkarnya skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Hutang 1MDB sahaja didakwa mencecah RM42 billion.

Rafizi Ramli mendedahkan anak syarikat 1MDB melaburkan sejumlah RM3.81 bilion daripada RM4 bilion dipinjam dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

New York Times, London Times dan Sarawak Report melaporkan Jho Low terlibat dalam pengurusan berbilion ringgit duit 1MDB. Tun Dr Mahathir dengan sinis melontarkan pertanyaan, siapa dianya Jho Low yang begitu dipercayai oleh Najib.

Pegawai Malaysia yang dilantik mengurus dana 1MDB mengaku mereka diarah oleh Jho Low yang mendakwa ia mendapat kepercayaan penuh dan arahan dari Najib.

"Gambar-gambar Jho Low dan kelakuannya, umurnya yang amat muda serta cara hidupnya tidak menggambarkan peribadi yang menyakinkan orang ramai. Tetapi dia dilapor membeli rumah di New York dan Hollywood beratus juta ringgit.

Kemudian rumah-rumah ini dijual kepada anak tiri Najib dengan harga ratusan juta ringgit bagi setiap satu kerana kononnya Jho Low telah jumpa rumah yang lebih indah di Hollywood yang harganya lebih tinggi," cerita Tun. Banyak lagi kong kalikong di sebalik 1MDB yang sehingga kini tidak terjawab

Penentangan terhadap skandal dan penyelewengan kerajaan BN dijawab dengan tekanan Akta Hasutan.

Mereka memperkudakan polis untuk bertindak terhadap para pemimpin yang lantang bersuara. Sederet pemimpin Pakatan Rakyat telah disumbat ke lokap dan digari. Mereka dilayan seperti Botak Chin.

Dengan bertindak demikian, mereka percaya rakyat takut untuk bangkit menyatakan kebenaran – pemikiran yang barangkali menyamai Bintang Tiga sewaktu berkuasa selama tiga bulan sepuluh hari. Di tengah keangkuhan itu BN lupa bahawa mereka sudah tiada mandat dua pertiga di parlimen.

Lupa juga bahawa sokongan yang diterima dari rakyat Malaysia pada PRU13 lalu cuma minoriti, iaitu 47 peratus.

Kini GST benar-benar menyesakkan nafas rakyat di tengah-tengah kecurangan kerajaan yang memerintah negara. Jika situasi ini berlaku di negara demokrasi lain, selain Malaysia, maka kerajaan yang memerintah sudah ditumbangkan. Di sini, kerajaan belum tentu tumbang. Dengan duit GST yang "disamun" dari rakyat, BN akan kembali menyumbat mulut rakyat dengan BR1M atau pelbagai bantuan lain menjelang PRU.

Adakah kali ini, di zaman makin ramai rakyat yang cerdik BN boleh menipu lagi untuk mendapatkan sokongan. Adakah rakyat masih belum serik dengan pelbagai penyeksaan yang dikenakan oleh pemerintah terhadap mereka?

Bekas Perdana Menteri sendiri, Tun Mahathir, membayangkan bahawa Umno-BN akan kalah PRU14. Maknanya dia sendiri yakin bahawa parti yang memerintah sangat teruk. Dalam catatan sejarah Malaysia, selama 22 tahun memimpin kerajaan pelbagai kebejatan berlaku.

Hari ini orang yang melakukan kebejatan itu sendiri menolak kepimpinan kerajaan yang ada.

Takkanlah dalam situasi tersebut rakyat biasa masih belum mahu sedar-sedar juga? Cukupcukuplah lebih separuh abad menyokong BN wahai sebahagian besar orang Melayu. Kuaklah longkong tempurung yang selama ini menutup pemikiran tahu. Sekurang-kurangnya sedar bahawa derita kamu adalah kerana BN.

No comments:

Post a Comment