Wednesday, April 15, 2015

GST : HADIAH TERBAIK BN UNTUK RAKYAT 1 MALAYSIA ...



Oleh AZAMIN AMIN 


KETIKA ini, semua sedang membelek harga. Lihatlah di mana-mana, sini sana bercerita. Tidak kurang yang menggelang kepala.Ada yang tidak dapat menahan, melepaskan geram di depan kauter bayaran. Bukan rekaan, semua babak ada di depan.

Tapi itu sedikit cubit pun tidak mencairkan atau mengertak kerajaan yang konon tegas dengan pendirian sama seperti tema, rakyat didahulukan.

Bantahan dibalas dengan tangkapan. Tidak sedikit pun menjadi kuman bahkan kerajaan Barisan Nasional yang menang di Persekutuan, tetap pertahan 'good and service tax' (GST) untuk kemudahan dan keuntungan buat rakyat di masa depan.

Seperti 'pekak badak', segala rintihan hanya dibakul sampahkan.

Tidak cukup dengan itu, mempromosi di dalam iklan, GST untuk kebaikan.

Sesekali membuat ugutan dan ancaman, kerajaan akan rugi dan kurang pendapatan.

Siapalah, rakyat marhaen yang keluh kesah mahu diberi perhatian.

Tiap kali dasar kerajaan yang dilaksanakan tanpa mengendah rungutan, akhirnya rakyat yang menanggung beban. Rakyat yang telah membuat pilihan, kononnya BN menjaga kebajikan.

Natijahnya, janji manis hanya di pinggiran.

Kalau rakyat, yang dilabel seperti tidak tahu apa-apa dengan pendirian dan hala tuju kerajaan, tokoh ternama dan yang pernah mentadbir negara telah memberi amaran dan membuat permintaan. Itu pun tidak dipedulikan di bawah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak.

Tangguh demo rakyat

Tangguhkan GST demi rakyat, kata bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yang arif ekonomi itu. Tidak cukup dengan itu, amaran mantan Perdana Menteri yang berpengalaman, Tun Dr Mahathir, jika GST dilaksanakan maka undi rakyat menjadi taruhan.

Semua telah meluahkan. Seperti melukut di tepi gantang. Tidak menjadi kesan.

Maka April, diucapkan selamat datang kepada rakyat, bulan beban berganda muncul dengan suasana yang dukacita dan sengsara. Tarikh keramat kerajaan BN melancarkan GST untuk kepentingan dan kewangan.

Sebelum tarikh kejadian, rakyat sudah dibebani pelbagai tanggungan. Minyak naik, barang naik. Minyak turun, barang kekal naik. Dan naik lagi sebelum GST dilaksanakan.

Sebelum dilancarkan, bagai menggila, tambang pengangkutan pula mengikut sama.

Kereta api, teksi dan bas meletakkan tambang tinggi.

Alasan ilmu hisab mudah, kos semakin naik. Kos naik, gara-gara GST akan muncul, membawa wabak yang cukup derita.

Di tengah-tengah gawat, GST bakal menyapa, di kala rakyat bersusah payah mencari dana dan menampung keluarga, kerajaan tanpa cebis rasa segan silu, membeli kapal terbang peribadi untuk keselesaan, pemimpin yang dikasihi. Ubah suai sahaja, menelan belanja RM28 juta, apatah lagi harga membelinya.

Di kala kepala ramai yang pusing, IMDB membuat rakyat semakin pening. Duit kerajaan, dilabur bilion ringgit dan lebur dalam jumlah yang sama. Hutang dan wang entah ke mana.

Bekas Menteri Pelancongan dan Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Syeikh Fadhil juga mula bersuara kecewa dengan kerajaan sedia ada, meminggirkan rakyat luar bandar dan hairan bagaimana bilion ringgit diserah pada hanya seorang yang dipercayai yang akhirnya menjadikan kerajaan rugi.

Seksa rakyat tak tertanggung lagi. Susu bayi dari RM17.90 naik sehingga RM19.80. Khidmat keluaran duit sendiri pun dikenakan GST. Telefon bimbit dan kad prabayar naik harga.
Buku untuk pelajar. Komputer riba dan segala kelengkapannya juga turut serta.

Pertanyaan dibalas tangkapan

Rakyat sudah tidak betah. Bertanya soalan kepada kastam yang menetapkan harga kenaikan. Barang murah, rakyat susah tetap naik harga.

Sardin, mee segera tanpa kecuali. Jawapan diharap dari atas tangga, melayan rakyat di bawah sana. Gagal menjawab, rakyat membantah.

Natijahnya, hadiah berganda, rakyat ditahan dan diancam dengan segala jenis akta yang mula disalahguna kuasa.

Penyudahnya, rakyat juga merana disoal dan diletakkan di penjara.

Terdahulu, sebelum GST, rakyat sudah mengeluh. Masakan tidak, pengurangan subsidi oleh kerajaan terhadap barang keperluan dan bahan bakar yang selama ini dikecapi rakyat.

GST pula muncul dan akan menambah beban kehidupan rakyat terutamanya kepada golongan menengah dan golongan miskin di bandarbandar dan di luar bandar di seluruh negara.

Lafaz pemimpin negara yang menyatakan negara sedang menuju ke arah negara maju itu sukar diterima oleh rakyat apatah lagi ketirisan demi ketirisan wang negara dari saban tahun malah 'hilang' begitu sahaja.

Yang bertanggungjawab tidak dihadapkan untuk menerima hukuman.

Ketirisan sebanyak RM28 bilion setahun sebagaimana yang dilaporkan oleh Lapuran Ketua Audit Negara tahun 2008, adalah contoh yang membuat rakyat merasa lemas.

Kini 2015, pelbagai ketirisan dan hutang yang yang semakin meningkat, rakyat yang dijadikan 'tebusan'. Harga yang mahal terpaksa dibayar rakyat, akibat penyelewengan wang kerajaan. Sesuatu yang sudah dimulakan, pasti sukar diundurkan semula. Sama seperti kebimbangan yang dizahirkan
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) sukar ditarik balik sekiranya sudah dilaksanakan kerana melibatkan kos yang tinggi.

Rafizi dalam forum bertajuk 'GST Sejauh Manakah? Pelaksanaannya Menyelesaikan Krisis Ekonomi' berlangsung di Universiti Malaya menyatakan bahawa GST sangat tidak adil kerana golongan miskin mendapat kesan yang tidak seimbang seperti golongan kaya.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar Pemuda PAS Malaysia Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus pula menyokong penuh cadangan Persatuan Hospital Swasta (APHM) supaya kerajaan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan GST keatas ubat-ubatan, peralatan perubatan dan sumber perkhidmatan luar bagi hospital swasta.

Sebarang caj terhadap perkhidmatan dan barangan perubatan akan mengakibatkan kos perubatan akan turut meningkat dan ia akan menjejaskan kehidupan rakyat.

Ya, seperti sudah jatuh ditimpa tangga, rakyat yang menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan rawatan, berdepan pula dengan kadar caj yang tinggi berpunca dari GST.

Dengan kata kasar - anda tidak boleh sakit, jika tidak ada duit!

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr Zakaria Abdul Rashid tidak menolak dengan inflasi yang meningkat secara konsisten mutakhir ini, pengenalan GST akan menekan rakyat.

GST, bukan sahaja dibahas pakar ekonomi, turut dibincang dari sisi agama. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang pada Oktober 2014 membuat keputusan mengharuskan pemerintah mengutip GST selagi terdapat keperluan dan maslahah untuk negara dan rakyat.

Namun fatwa yang dibuat setelah dibentangkan dengan laporan kumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapat pandangan kritis daripada pelbagai pihak.

GST haram?

Antaranya, Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mencabar fatwa yang mengharuskan tindakan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menolak keharusan langkah itu, beliau sebaliknya berpendapat tindakan itu "haram" dilakukan.
Khairuddin merupakan doktor falsafah dalam bidang pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata pelaksanaan GST tidak menepati syarat pengharusan cukai dalam Islam.

"Islam hanya membenarkan cukai untuk menampung keperluan negara, jika berlaku keperluan mendesak bukan akibat ketirisan dan pemborosan serta hanya untuk golongan berkemampuan,"katanya.

Dahulu, tawaran Pakatan Rakyat pada 2013, untuk mengurangkan harga minyak, menghapuskan tol dan lain-lain tawaran, ramai yang seolah-olah tidak percaya.

Ada yang berkata, kalau itu semua berlaku, dari mana kerajaan dapat mengumpul dana dan memberi kemudahan kepada rakyat semua.

Igauan ngeri berlaku lagi, setelah dipilih rakyat, BN menggunakan semahumahunya mandat, dengan 'menghadiahkan' pelbagai dasar secara berperingkat dan GST yang paling nyata dan paling dekat. Rakyat yang terima akibat!

No comments:

Post a Comment