Adun Kedah naik gaji 50 peratus  
Ku Abd Rahman pada sidang media semalam.

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah mencadangkan kenaikan gaji dan elaun semua Adun sebanyak 50 peratus bermula 1 Januari 2016.

Perkara itu dibentangkan Exco Industri dan Pelaburan, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail pada Sidang Dun Kedah di sini, semalam.

Beliau berkata, kenaikan itu turut melibatkan Speaker Dun, Timbalan Speaker Dun dan exco kerajaan negeri yang kadarnya kini disifatkan terlalu rendah.

Manakala gaji dan elaun Menteri Besar Kedah pula dicadangkan kenaikan 25 peratus iaitu dari RM14,175.15 kepada RM17,718.95 sebulan.

“Saya buat rujukan dengan negeri lain yang sudah pun buat semakan dan penambahbaikan terhadap elaun dan gaji Adun masing-masing.

“Berdasarkan kajian itu, Sarawak menaikkan gaji Adun dari RM4,500 kepada RM15,000 sebulan; Johor naik 80 peratus; Selangor 88 peratus, Negeri Sembilan 118 peratus dan Sabah 50 peratus,” katanya.

Menurutnya, kali terakhir elaun dan gaji Adun dibuat semakan ialah pada 1 Januari 2004 iaitu 11 tahun lalu.

“Dengan sebab itu, kita mengambil keputusan untuk membuat usul di Sidang Dun dengan mencadangkan semakan saraan dan penambahbaikan untuk elaun dan gaji asas Adun.

“Kalau majoriti Adun mempunyai pilihan lain, misalnya mahu kenaikan lebih tinggi atau diawalkan kenaikan, itu terserah kepada Dewan yang akan membahaskannya nanti,” katanya.

Ku Abd Rahman berkata, kenaikan itu dibuat berdasarkan kesesuaian semasa dan kemampuan kerajaan negeri.

“Sebagai contoh, pada tahun 2005, hasil pendapatan kerajaan negeri ialah RM300.7 juta. Kemudian saya buat perbandingan pada tahun 2013 pula RM537 juta. Ini menunjukkan berlaku peningkatan pendapatan kerajaan negeri sebanyak 72 peratus.

“Bagaimanapun, kita hanya minta kenaikan 50 peratus untuk semua Adun. Implikasi kewangan atas kenaikan itu juga tidak membebankan kewangan kerajaan negeri,” katanya.

Adun Guar Chempedak itu turut menjelaskan bahawa kenaikan gaji dan elaun melibatkan perbelanjaan RM1.3 juta setahun.

“Untuk bekas wakil rakyat yang berpencen pula, kita mencadangkan kenaikan sama iaitu 50 peratus dengan penambahan RM2.57 juta setahun.

“Jumlah keseluruhan perbelanjaan yang terlibat ialah RM3.89 juta. Saya yakin kerajaan negeri mampu melaksanakannya,” katanya.