Monday, January 27, 2014

BUKAN SETAKAT RAKYAT, SULTAN PUN DEPA JUAL ...

Kantoi!! MB Terengganu Guna Istana Untuk Melawat Antartika

Usaha Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) menggunakan nama istana bagi lawatan ke Antartika terbocor apabila Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) menafikan penglibatan mereka dalam ekspedisi berkenaan.

Yayasan berkenaan sebaliknya menuntut Ahmad Said segera membuat permohonan maaf kepada Tuanku Sultan Mizan atas tindakan berkenaan.

"Kita menuntut Ahmad Said memohon maaf kepada YDSM dan menyebutkan siapakah sebenarnya yang menganjurkan lawatan beliau itu dan berapa kos sebenar lawatan itu," kata Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi.

YDSM pada Ahad menafikan mereka menjadi penganjur kepada lawatan Ahmad Said ke Antartika.

"Lawatan itu bukan anjuran YDSM dan ia tiada kaitan dengan program yayasan," kata Setiausaha Kerja YDSM, Mohd Azrul Ismail dalam satu kenyataan.

Pejabat Menteri Besar Terengganu mengumumkan lawatan 15 hari pada 16 Januari lalu, atas anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama YDSM.

Kenyataan itu turut menyebut lawatan kerja berkenaan bertujuan membantu kerajaan dalam menubuhkan pusat kajian bersama Instituto Antarctico Chileno.

“Lawatan ini membantu Malaysia dalam kajian perubahan iklim yang sejak akhir-akhir ini menjadi semakin tidak menentu.

“Lawatan eksplorasi saintifik ini merupakan lawatan susulan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke Antartika pada Oktober 2011 dalam usaha melihat lebih banyak universiti tempatan terlibat dalam kajian di sana,” kata kenyataan itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Yahaya Ali, berkata isu penganjur bukan perkara pokok kerana lawatan ke Antartika itu tidak membawa pulangan.

"Ketika kita ajak rakyat berjimat, menteri besar pula dilihat mahu menghabiskan duit tanpa faedah. Apa faedah rakyat Terengganu terima daripada lawatan ke Artartika. Kita bukan hadapi salji, yang kita hadapi adalah banjir," kata Yahaya kepada The Malaysia Insider.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata dua perkara memerlukan penjelasan daripada kerajaan negeri Terenganu khususnya menteri besar iaitu amanah dan bercakap benar yang sepatutnya menjadi etika setiap pentadbir dan pemerintah.

“Penggunaan dana milik rakyat untuk suatu aktiviti yang dipertikaikan keperluan dan kemunasabahannya mengundang persoalan amanah kerajaan negeri dalam menguruskan harta milik awam,” katanya.

Sebelum ini, DAP turut mempertikaikan lawatan kerja Ahmad Said dengan menyifatkan ia sebagai satu “pembaziran besar” yang tidak bertepatan dengan keadaan rakyat yang sering diingatkan untuk “mengikat perut”.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua mempersoalkan rasional di sebalik lawatan 15 hari yang akan diketuai oleh Ahmad Said itu.

“Bagaimana lawatan 15 hari menggunakan kapal persiaran mewah memberi faedah kepada Malaysia? Jika saintis Malaysia terlibat dalam kajian perubahan iklim, mereka boleh mengkaji kesan pembalakan yang berlaku di Malaysia.

“Mengapa kita perlu membelanjakan wang pembayar cukai kepada kajian yang tidak membawa cabaran kompetitif,” katanya.

Syed Azman berkata, bukan sekadar lawatan kerja ke Antartika itu mengejutkan, penafian penglibatan YDSN ini lagi mengejutkan rakyat.

"Ini satu pembohongan kepada seluruh rakyat," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, katanya, beliau yakin rakyat Terengganu tidak akan membiarkan pembohongan sebegini didiamkan begitu saja.

"Saya yakin rakyat, tanpa mengira latar belakang politik, tidak akan membiarkan perkara ini begitu saja," kata Syed Azman yang juga AJK PAS Pusat itu.

Kedudukan Ahmad Said sentiasa tidak stabil sejak mula dilantik sebagai menteri besar selepas pilihan raya umum 2008 lalu.

Ini kerana, kepimpinan Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh untuk meneruskan jawatannya sebagai menteri besar namun pihak istana tidak mahukannya.

Selepas beberapa sesi rundingan, akhirnya Ahmad Said yang bersetuju dilantik menjadi menteri besar dalam keadaan menerima bantahan daripada Umno sendiri sehingga pihak istana digelar sebagai "natang" iaitu istilah untuk binatang mengikut loghat Terengganu.

Apabila Tuanku Sultan Mizan dilantik sebagai Yang Dipertuan Agung, satu Dewan Pangkuan Di Raja Terengganu (DPDRT) dibentuk bagi menggantikan baginda kerana anakanda baginda masih terlalu muda untuk menjadi pemangku sultan.

Sehubungan itu, Ahmad Said terpaksa bertanggungjawab bukan kepada seorang raja bahkan sembilan anggota DPDRT dalam mentadbir Terengganu.
Ia menimbulkan pelbagai persepsi kerana banyak projek dan kawasan balak serta lombong terlepas daripada tangan rakyat biasa kepada pihak tertentu.

Selepas pilihan raya umum 5 Mei lalu, kedudukan Ahmad Said semakin tidak stabil berikutan PR hanya kurang dua kerusi untuk menyamai kerusi BN.

Dalam pilihan raya itu, PAS mendapat 14 kerusi manakala PKR mendapat satu kerusi manakala BN pula menguasai majoriti 17 kerusi. ~tmi

No comments:

Post a Comment