Tukar logo burung helang : KFA buat kerja bodoh sombong
KFA sengaja alih isu.
KUALA LUMPUR - Isu pertukaran logo Hijau Kuning dengan menggunakan burung helang sebagai lambang terbaru dilihat sebagai kaedah Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melarikan diri daripada berdepan realiti sebenar terhadap persiapan sambil lewa pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Perdana musim ini.
Jelas Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah, tindakan KFA itu bagaikan mencurah minyak ke dalam api kerana selain kecewa melihat tiada pengambilan pemain-pemain ternama bagi musim terbaru, apa yang mereka lakukan seperti tidak kena caranya kerana mahu menghapuskan identiti Kenari yang sudah cukup sinonim dengan pasukan bola sepak Kedah.
Baginya, penggunaan burung helang sebagai lambang terbaru sebagai alasan kononnya lebih gagah langsung tidak memberikan sebarang manfaat dan seolah-olah mahu mengetepikan peninggalan yang dibawa bapa pembangunan bola sepak Kedah, Allhayarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd. Akil apabila menghapuskan logo lama.
''Persoalan utamanya sekarang mengapa tiba-tiba pengurusan baru KFA memperkenalkan logo baru ini tanpa berbincang terlebih dahulu dengan kelab penyokong Kedah dan kelab-kelab gabungan lain apabila terus diluluskan dalam Kongres KFA 2013.
''Bagi saya apa yang mereka buat seolah-olah mahu mengalihkan perhatian peminat-peminat bola sepak Kedah terhadap persiapan pasukan yang dilihat begitu longgar bagi berdepan musim terbaru.
''KFA di bawah pengurusan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir telah memperuntukkan sebanyak RM 10 juta tetapi jika dilihat daripada para pemain yang mereka ambil, jelas sama sekali tidak berbaloi dan ia boleh dilihat semasa beberapa perlawanan persahabatan yang telah dibuat, " katanya ketika dihubungi, semalam.
Hasmadi juga menarik minat dengan pemilihan pemain import yang mencetuskan tanda tanya kerana langsung tidak diadakan sebarang pemilihan dan mereka semua diambil begitu sahaja.
''Saya sedikit hairan dengan apa yang KFA lakukan dalam soal pengambilan pemain import, ketika kebanyakan pasukan lain mengambil kesempatan menguji para pemain berulang kali bagi mendapatkan pemain yang betul-betul terbaik, Kedah pula sebaliknya.
''Mereka langsung tidak diuji sama ada dalam perlawanan persahabatan atau latihan, tetapi diambil terus begitu sahaja dan kami semua tertanya-tanya mengapa boleh terjadi sebegitu, apa yang kami bimbangkan nanti semua pemain ini sekadar tangkap muat sahaja di dalam pasukan, " katanya.
Apa yang menjadi rintihan penyokong Kedah itu ada benarnya kerana tiada sebarang pemain besar berjaya dibawa masuk selain hanya mampu mengekalkan Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari dan Khyril Muhymeen di dalam pasukan serta memanggil pulang beberapa muka lama.
Bekas pertahanan import Selangor, Adam Griffiths menjadi salah seorang pemain import Kedah selain Adriano Pellegrino, Billy Mehmet dan Jose Franco Gomez.
Menjelaskan lagi isu penukaran logo, dia mengingatkan KFA agar sama sekali jangan menolak ke tepi perasaan para penyokong Kedah yang tidak pernah berbelah bahagi memberikan sokongan kepada pasukan walaupun terpaksa bersaing dalam Liga Perdana.
No comments:
Post a Comment