Wednesday, May 18, 2022

Tepung gandum naik harga, roti canai mungkin lebih mahal


freemalaysiatoday.com
Ahimsya Karu
-May 19, 2022 11:01 AM
Tepung gandum yang merupakan bahan utama dalam roti canai, dikatakan bakal berdepan masalah kekurangan bekalan.

PETALING JAYA: Harga roti canai, yang merupakan makanan kegemaran rakyat Malaysia, mungkin meningkat susulan kenaikan harga tepung gandum.

Berdasarkan beberapa laporan berita, harga bahan itu dilaporkan sudah meningkat dan terdapat kekurangan bekalan di kedai runcit.

Ini biarpun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilaporkan berkata, larangan eksport gandum dari India tidak akan menjejaskan bekalan komoditi itu di Malaysia kerana ia mengimport 80% gandumnya dari Australia dan bakinya dari Amerika Syarikat, Kanada dan Ukraine.

Ketika ini, roti canai dijual pada harga RM1.20 hingga RM1.70 sekeping.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan berkata, harga tepung gandum mengalami kenaikan sebelum larangan eksport dari India.

Katanya, seguni tepung gandum seberat 25kg yang sebelum ini dijual pada harga RM45, kini berharga RM65.

“Jika ini tidak dikawal, saya bimbang akan ada sedikit kenaikan harga produk berasaskan gandum oleh 9,000 ahli Presma.”

Beliau juga bimbang pemborong mungkin mula menyorok tepung gandum untuk menaikkan harga, tetapi ahli Presma akan cuba sedaya upaya mengelakkan berbuat demikian.

Beliau menggesa kerajaan mencari jalan menyelesaikan masalah itu, seperti menambah senarai negara pengeluar gandum untuk Malaysia mengimport komoditi itu.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), J Suresh berkata, restoran akan terjejas dengan perkembangan terbaru itu.

“Walaupun restoran menaikkan harga baru-baru ini, ada kemungkinan untuk berlaku kenaikan lagi.”

Katanya, restoran mungkin mencari alternatif untuk tepung gandum, jika harga terus meningkat.

No comments:

Post a Comment