PETALING JAYA: Pimpinan atasan UMNO dan Pas perlu sama-sama bersatu menjalin kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN), dan bukan hanya di peringkat akar umbi mahupun negeri.
Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, MN adalah formula penyatuan ummah terbaik apabila dapat menyelesaikan krisis yang berlaku di peringkat dua parti itu sejak puluhan tahun lalu.
Namun katanya, pertembungan dan permusuhan kembali timbul di saat Muafakat Nasional semakin malap dan pudar.
“MN adalah formula terbaik bagi menyatukan orang Melayu Islam kerana sejarahnya yang bertembung sejak puluhan tahun ialah Pas dan UMNO sehingga berlaku solat dua imam, tak makan sembelihan, tak hadir kenduri keluarga khususnya di Pantai Timur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan Pas yang dilihat langsung tidak mencapai apa-apa kemajuan dan tenggelam bersama Perikatan Nasional (PN) berbanding jika bersama UMNO menerusi kerjasama MN.
Sabtu lepas, media melaporkan, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyifatkan penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh Pas dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik.
Bagaimanapun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas melalui gagasan itu perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ini jelasnya, susulan UMNO sudah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada Pas untuk mempersetujui perkara terkandung di dalam piagam MN, namun tidak disepakati.
Mohd. Khairuddin menambah, harapan untuk melihat MN terus subur masih ada di Selangor.
“Hal demikian kerana pimpinan Pas dan UMNO masih sedang mengusahakan dan mengharapkan diberi autonomi untuk dua (parti peringkat) negeri (itu) berunding bagi menghadapi PRU15.
“Cuma perlu diambil perhatian, jika mahu diteruskan MN hendaklah dengan ‘badan’ dan ‘kepala’ sekali jangan hanya ‘badan’ yang mahu ditautkan dan ‘kepala’ mahu diketepikan,” katanya.
No comments:
Post a Comment