Sunday, May 15, 2022

PRU: Ismail kata perlu bincang dengan kabinet dulu

 


malaysiakini.com
Haspaizi Zain & Geraldine Tong & Asyraf Malik
Diterbitkan: May 15, 2022 6:18 PM
Ismail Sabri Yaakob berkata sebarang cadangan pembubaran parlimen perlu dibawa kepada kabinet terlebih dulu sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri berkata, dia perlu berbincang dengan anggota kabinet dan perlu mendapatkan mandat kabinet.

"Umno sudah bersedia dari dulu lagi menghadapi pilihan raya umum (PRU), tarikh itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan dari mesyuarat kabinet.

"Parti berbeza dengan kerajaan, kerana parti pun tahu kalau ada cadangan, akan bawa ke kabinet dan luluskan.

“Kalau kabinet sudah memutuskan tarikh, kabinet akan memberi mandat kepada saya untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong, itu saja dari segi prosedur," katanya kepada media di Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail berkata usul pindaan Perlembagaan Umno hari ini adalah bertujuan untuk menangguhkan pemilihan parti.

"Jadi apa yang berlaku hari ini ia dari segi pemilihan dalam parti. Adakah (PRU) tahun ini atau tidak, kita tunggulah," katanya.

Terdahulu hari ini, Umno berjaya meminda perlembagaan parti itu bagi membolehkan pemilihan ditangguhkan selama enam bulan selepas PRU.
‘EGM hari ini tunjukkan perpaduan Umno’

Cadangan pindaan itu mendapat sokongan sebulat suara membabitkan kira-kira 2,58O perwakilan seluruh negara yang hadir bersidang bagi Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM), di Kuala Lumpur, petang ini.

Usul berkenaan dicadangkan Naib Presiden Umno Mohamad Khaled Nordin yang kemudiannya disokong oleh Ismail yang juga naib presiden Umno.

Sementara itu, Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar, berkata EGM Umno hari ini membuktikan perpaduan dalam parti itu.

"Kita lihat dalam perhimpunan agung khas tadi, satu perpaduan telah dapat diwujudkan apabila usul pindaan perlembagaan diterima 100 peratus dan apa yang menariknya apabila perdana menteri sebagai naib presiden telah menyokong usul tersebut.

"Menunjukkan perpaduan dalam Umno ini begitu baik sekali, dan ini menunjukkan apa jua keputusan yang dibuat parti, mendapat sokongan daripada semua lapisan pemimpin," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment