Sunday, May 8, 2022

Ketua Menteri Melaka Dipaksa Letak Jawatan?


MELAKA: Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman tidak menafikan wujud paksaan pihak tertentu supaya Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali menandatangani surat peletakan jawatan dalam masa terdekat.

Ketika dihubungi hari ini, Rospandi bagaimanapun tidak mahu mendedahkan pihak yang dikatakan dalang dalam isu berkenaan.

"Yup, yes (ya). Awak pun tahu ler (dalang)," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Senator Datuk Mohd Ridhwan, pula berkata, Barisan Nasional (BN) Hang Tuah Jaya sebelum ini sudah bersetuju untuk berpegang kepada janji yang dinyatakan dalam manifesto BN Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, yang menamakan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka.

"Kita berpegang dengan janji yang dibuat kepada rakyat Melaka itu, namun isu paksaan supaya Sulaiman menandatangani surat untuk melepaskan jawatan dalam tempoh terdekat di luar pengetahuan saya," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, ketika dihubungi enggan mengulas dakwaan terbabit, manakala Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Wira Hasan Abd Rahman pula akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan dalam tempoh terdekat.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, dilaporkan berkata lima Ketua UMNO bahagian di Melaka sebulat suara mempertahankan Sulaiman sebagai Ketua Menteri sehingga habis penggal.

Lima bahagian itu adalah Jasin, Alor Gajah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka lapor Berita Harian

No comments:

Post a Comment