Tuesday, May 10, 2022

ARAHAN NAJIB SUATU BENTUK UGUTAN – SAKSI 1MDB

 


Rakan kongsi urusan KPMG Malaysia Datuk Johan Idris menyifatkan arahan Datuk Seri Najib Razak kepada firma audit itu supaya melengkapkan dan menandatangani auditnya terhadap penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi 2013 dalam tempoh dua minggu, sebagai satu bentuk ugutan.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan semula ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi hari ini.

Saksi pendakwaan ke-14 itu ditanya mengenai mesyuarat pada malam 15 Dis 2013 di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, di sini.

Sri Ram: Anda diminta mengesahkan bahawa minit mesyuarat tidak menunjukkan terdapat sebarang tekanan yang dikenakan oleh tertuduh, Najib, terhadap anda pada mesyuarat ini. Anda berada di sana, ada tekanan?

Johan: Saya katakan (sebagai) ugutan… Ugutan kepada kami untuk membuat kesimpulan dan menandatangani penyata audit 31 Mac 2013.

Sri Ram: Daripada siapa? Johan menjawab, Najib.

Pada peringkat ini, peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed membantah jawapan saksi itu kerana perkataan ‘ugutan’ tidak pernah ditimbulkan oleh saksi dalam mana-mana jawapannya.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta pembelaan mengemukakan hujahan.

Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa KPMG masih belum menandatangani audit untuk penyata kewangan 1MDB bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2013, kerana 1MDB masih belum memberikan maklumat yang diminta KPMG sejak April 2013.

Berdasarkan minit mesyuarat yang Johan sendiri menaipnya, beliau menyatakan bahawa Najib telah meminta KPMG menandatangani audit itu selewat-lewatnya pada 31 Dis 2013.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan bersambung. – Bernama

No comments:

Post a Comment