Tuesday, May 10, 2022

PAS, Umno dah tak tidur sebilik, ceraikan lafaz talak tiga

 


mykmu.net
8/5/2022
Bagi mengelak salah faham tentang status kewujudan Muafakat Nasional (MN), Veteran Umno menyarankan supaya kerjasama antara Umno dan PAS itu “dimatikan secara rasmi,” kata Setiausahanya Mustapha Yaakub.

Justeru pihaknya mendesak agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengeluarkan kenyataan secara rasmi yang (menyatakan) MN sudah mati dan telah berkubur.

“Veteran Umno sedari dulu mahukan MN dibubarkan bagi mengelak ia dipersendakan dan dipoimikkan.

“PAS yang dengan angkuh sombong meninggalkan Umno dalam MN telah memilih untuk bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) masih lagi menaruh harapan dan sering membangkit isu MN.

“Kenyataan Takiyuddin Hassan (setiausaha agung PAS) yang terbaru jelas menunjukkan PAS mempermainkan MN,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, dilaporkan Takiyuddin berkata penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh PAS dan Umno adalah formula terbaik

Katanya, ini kerana penyatuan ummah itu bukan hanya terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh disertai oleh mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam Muafakat Nasional.

“Oleh sebab itu, PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, parti bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang,” katanya.

Bagaimanapun Zahid pula menegaskan kerjasama kedua-dua parti itu melalui MN perlu dilupakan pada pilihan raya umum Ke-15 (PRU15).

Tegasnya, Umno telah beberapa kali memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung di dalam piagam MN namun tidak disepakati.

Sehubungan itu veteran Umno mahu pucuk pimpinan parti menghentikan sandiwara PAS dan dengan segera mematikan MN.

“Dengan cara itu juga ianya boleh menyelamatkann maruah PAS dari dituduh ‘gila talak’.

“Umno dan PAS telah berpisah dalam MN. Tidur tidak sebilik lagi.

“Jadi jangan digantung tidak bertali. Lafazkan talak. Ceraikan talak tiga,” kata Mustapha lagi. 

No comments:

Post a Comment