JOLOK MENTARI
PAKATAN Harapan alias PH kehilangan kerajaan sudah dua tahun. Perdana Menteri kerajaan PH, Dr Mahathir Mohamad juga telah diganti dengan dua perdana menteri, Mahiaddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob. Mahiaddin menjadi PM hanya 17 bulan sahaja sebelum beliau diganti oleh Ismail Sabri Yaakob pada 21 Ogos 2021 menerusi suatu mini komplot.Pengunduran Mahiaddin sebagai PM, disambut penuh keseronokan oleh PH, kerana mereka mengharapkan jawatan itu akan diisi oleh orang mereka, Anwar Ibrahim. Pengunduran Mahiaddin itu juga dianggap sebagai hukum karma terhadap ahli Parlimen Pagoh itu atas permainan politik khianat. Orang PH melepas geram kepada Mahiaddin dengan menjuah "padan muka."
Malangnya, apa menimpa Mahiaddin itu tidak memberi apa-apa kelabaan kepada PH. Harapan dan impian mereka untuk kembali berkuasa gagal, apabila Ismail Sabri yang mengangkat sumpah menjadi PM bukannya sosok dipuja dan didambakan Anwar. Anwar sekali lagi tidak cukup angka untuk diberi perkenan oleh Yang diPertuan Agong untuk menjadi PM?
Walaupun sudah dua tahun kerajaan PH yang disinonimkan dengan kerajaan Pakatan Hancing, oleh musuh-musuhnya; Umno, Pas dan sekutunya, namun senonimas itu masih belum habis sampai kini. Bau hancing dan hapak masih terhidu. Kehancingan PH itu gagal disamak dan ditahrahkan. Realiti ini mengesahkan kegagalan dan kelemahan PH yang ditunding selama ini, benar, mereka gagal untuk membina kekuatan mereka semula.
Sebelum itu elok kalau kita semak kembali apa menyebabkan kerajaan PH jatuh "berleping" pada Februari 2020 lalu dan kenapa ia digelar sebagai kerajaan hancing. Sejak PH berjaya membentuk kerajaan Mei 2018, ia mula diserang bertubi-tubi oleh UBN yang sangat desperate dan frust apabila kerajaan mereka kalah. UBN, khasnya Umno menjadi seperti harimau yang cedera bangkit dan mengamuk untuk membalas dendam atas apa yang berlaku.
Sebagai parti yang mempunyai pengalaman luas yang terdedah dengan berbagai strategi dan taktik babarian untuk melawan musuh, Umno berjaya melemah dan damage kerajaan PH di mata rakyat. Setiap apa pembaharuan dilakukan kerajaan PH dinafikan demikian rupa. Sebelum itu Umno bijak membina kekuatan dan kerjasama dengan musuh PH, iaitu Pas.
Pertamanya mereka mengambil pendekatan menjalani "tahalul syiasi" dengan Pas. Pas yang menelan pahitnya dengan Umno selama ini bersedia untuk bergabung dengan Umno atas matlamat sama. Pas kecewa dan cemburu dengan kejayaan PH yang mana didalamnya ada rakan yang tidak istiqamah mendokong Tok Dor Hadi, Amanah.
Penggabungan itu diasaskan atas landasan agama dan bangsa, dua elemen yang sangat dekat dan berbekas dan sangat terpancing kepada orang-orang Melayu, yaitu untuk kekuataan agama dan mendaulatkan bangsa. Umno sangat memahami cita-cita Pas dalam hal ini sehingga bersedia untuk meluluskan RUU untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan.
Penggabungan Umno dengan Pas ini satu bahana buat PH dan merupakan ancaman pertama, yang akhirnya memimpin kejatuhan kerajaan PH tanggal 26 Februari 2020. Kerana terlalu seronok dengan kemenangan, PH lupa kepada sumbangan yang boleh diberikan Pas kepada Umno itu. Baik Dr Mahathir maupun Anwar dan lain-lain pemimpin PH tidak pernah cuba untuk membawa Pas bersama mereka membangun kerajaan sekaligus sebagai memperkuatkan kerajaan dan mengurangkan musuh. Mereka jadi tidak kabar. Terutamanya yang berada dalam Amanah, usahkan hendak mempelawa, sebaliknya terus menyindir dan menghina Pas dengan penuh egois.
Apakah ketika itu Mahathir atau Anwar dan Lim Guan Eng masih percaya kepada Amanah yang ditubuhkan untuk menjadi alternatif kepada Pas berjaya mengatasi pengaruh Pas dan mengurus kemaraanya dengan menguasai orang Melayu yang konvensional? Kealpaan ini satu kesilapan PH. Saya yakin kalau Pas diundang dengan penuh diplomasi rahmatan lil alamin, mereka sedia untuk mendokong kerajaan PH.
Serangan bertubi-tubi dilakukan oleh Umno dan Pas yang sesudah kedua parti terbesar orang Melayu itu membentuk Muafakat Nasional (MN). Apa dinamakan piagam MN ditanda tangani dengan mengambil semangat piagam Madinah di zaman Rasulullah. Mengalir air mata buaya si pendeklamator piagam itu.
Bertolak dari situ mereka bukan sahaja mengadakan himpunan untuk mengajak rakyat Melayu bersama mereka, tetapi mengaktifkan serangan dalam media massa. Medsos menjadi medium utama untuk mereka mempersenda, merendah dan memperleceh kerajaan PH serta memberi gambaran buruk dan bahaya kerajaan PH kepada rakyat. Untuk ini berbagai grup cyber trooper diwujudkan. Slogan atau gelaran Pakatan Harapan sebagai Pakatan Hancing dilemparkan. Dengan gelaran itu maka wujud dan bertebaranlah logo dan banner kerajaan PH sebagai Kerajaan Hancing dalam medsos
Usaha untuk mengekang sang singa yang luka sangat minimum. Dr Mahathir lebih mengambil pendekatan menggunakan kuasa untuk memastikan Umno tidak bangkit dengan memberi kesusahan kepada mereka. Tindakan terhadap Umno bukan melembutkan parti itu untuk memberi peluang satu penggal kepada PH, sebaliknya diterjemahkan umum cuba berlaku kasar.
Siasatan, tangkapan dan dakwaan terhadap beberapa pemimpin Umno dilaksanakan. Daripada ketua cawangan, ketua bahagian hingga kepada presiden Umno dihadap ke mahkamah. Bahkan terdengar ura-ura Dr Mahathir bersetuju kalau Umno dihapuskan (haram). Ini tidak pelik kerana beliau telah melakukan pada tahun 1987, mengharamkan Umno selepas kedudukannya tercabar ketika berhadapan dengan Tengku Razaleigh Hamzah.
Mula PH berasakan strategi dan taktik menggunakan kuasa oleh Dr Mahathir itu dapat mengukuhkan kerajaan PH. Mereka menyangka Umno akan lemau dan ghuyup. Namun itu hanya sangkaan sahaja. Kekuatan semangat dan tindakan melawan oleh UBN tidak menjadikan komponen itu lemah. Dengan pengalaman, sisa kewangan yang banyak, Umno terus menyerang kerajaan PH. Dr Mahathir dan PH terlupa yang Umno ada sembilan nyawa.
Najib Razak sebagai bekas perdana menteri dan presiden Umno membuat silap mata dengan melepaskan jawatan kepada Ahmad Zahid Hamidi sebagai tanggungjawab atas kekalaan BN. Dan Umno juga diswastakan seketika kepada pemimpin yang dilihat bersih. Namun realitinya dalam masa sama baik Najib Razak dan Zahid Hamidi tidak pernah diam mendalangi aktiviti dan perancangan untuk menyerang kerajaan PH dan bergerak mencari jalan melawan kerajaan PH hingga tumbang.
Tindakan dan taktik Umno itu mula membuahkan hasil apabila parti itu berjaya memenangi tujuh daripada sembilan pilihan raya kecil.
Dalam usaha ini Najib berjaya. Palitan noda sebagai penjenayah skandal 1MDB, skandal kewangan terbesar di dunia, tidak begitu diterima rakyat. Beliau bijak untuk mengabui mata dan mendapat empati rakyat dengan menggunakan latar belakangnya sebagai bangsawan dan anak kepada bekas perdana menteri kedua Abdul Razak Hussein.
Menerusi taktik itu beliau berjaya, sehingga isu skandal 1MDB dihadapinya tidak dihiraukan oleh rakyat, rakyat tidak melihat dosa seburuk fitnah liwat ke atas Anwar, bahkah rakyat melihat tindakan drastik menyiasat dan mengheretnya ke mahkamah sebagai dendam dan satu kezaliman. Rakyat jadi simpati kepadanya sampai memanggilnya sebagai "bossku."
Dalam hal ini Najib bijak kerana memahami kelemahan dan cara orang Melayu berfikir dan sikap inferioriy (rendah diri) yang ada kepada orang Melayu yang tunduk dan sujud sawi kepada bangsawan. Sifat kehambaan yang dimiliki oleh orang Melayu ini diambil kesempatan sebaik-baiknya. Kerana itu ke mana beliau pergi dikerumuni bagaikan gula dihurung semut.
Fenonema dibentuk Najib ini tidak dipedulikan oleh kerajaan PH. Para pemimpinnya tidak pernah membuat analisa dan prediction sesuatu yang buruk sedang berlaku kerana asyik mahsyuk dengan kuasa dan jawatan-jawatan yang dipegang. Mereka yang pertama kali jadi menteri, jawatan dalam GLC atau sekadar jadi ahli pertubuhan peladang tidak menghidu dan menyedari bahawa ada orang mengintip dan memanjat rumah untuk mencuri dari atap lantaran "kebabokan" kuasa dan syok pekena baju korporat yang ada lambang GLC atau agensi kerajaan.
Kerana kelalaian itu akhirnya kerajaan hilang, dicuri disiang bolong. Apa yang sudah berlaku itu takdir yang tidak perlu ditangisi. Asal kapas menjadi benang, dari benang dibuat baju. PH sepatutnya bingkas untuk membaiki kelemahan dan menjanakan kembali kekuatan seperti sebelum tahun 2018. Tetapi sayang ia tidak berlaku begitu, sebaliknya PH jadi berantakan sesama sendiri. Kekalahan dan kehilangan kerajaan menjadi mereka bingung, hilang maruah diri, terketar-ketar, melungu dan tidak tahu meneladani apa yang dilalui Umno dengan Pas yang bersatu selepas tewas.
Bersatu yang menjadi komponen intim, keluar daripada PH. Bukan itu sahaja, sisa Bersatu pula menubuhkan parti baharu Pejuang dan Muda. Rakan strategik dari Sabah pula (Warisan) mula menjadi besar kepala dan pemimpinnya ikut berasa dia layak menjadi perdana menteri sama.
Apabila disenaraikan perkara atau pun isu yang dijaja oleh Umno dan Pas sehingga hancurnya kerajaan PH, ia menumpukan kepada serangan memburukkan kerajaan PH. Pertamanya mereka menggelarkan kerajaan PH sebagai kerajaan hancing. Mereka persenda dan meremehkan kerajaan PH sebagai kerajaan yang bernajis.
Mereka bukan sahaja setakat menjenamakan kerajaan PH sebagai kerajaan hancing, tetapi disertakan jenis-jenis najis itu serta bau dan sifat-sifatnya sekali, antaranya;
1. Kerajaan PH adalah kerajaan dikuasai DAP. DAP telah menjadikan Keadilan dan Amanah sebagai alat untuk berkerajaan. Bahkan penubuhan Parti Amanah Negara itu dibidani oleh DAP. Keadilan dan Amanah dianggap kaldai DAP.
2. Kerajaan PH tidak bernuansakan Melayu, buktinya lebih separuh anggota kabinet dalam kerajaan itu dimonopoli oleh bukan Melayu. Pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, kementerian yang menjadi nadi satu lagi bukti DAP menguasai kerajaan itu dan ia dimakan.
3. Apabila kerajaan itu dimonopoli bukan Melayu, menyebabkan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam terjejas. Kononnya banyak kepentingan Melayu terhapus dan kaum lain mendapat manfaat besar. Salah satu bukti diberikan, ialah aset Tabung Haji dijual sedangkan ini adalah fitnah. Apa sebenar berlaku PH berjaya memulihkan prestasi TH.
Setengah daripada apa yang diratib dan dijadikan modal hanya suatu persepsi dan fitnah yang mentah. Tetapi kerana ia dimainkan dengan begitu rapi dan bersistematik, dimake-up dan diwangikan dengan ayat Quran dan Hadith konsisten menyebabkan rakyat terkeliru dan mempercayainya.
Kehancingan dalam PH, bukan terhenti dan disamakkan selepas itu, sebaliknya ia masih berlaku sehingga hari ini, walaupun kerajaan itu sudah hilang. Yang jelas, PH berpecah belah, tidak solid seperti menghadapi Piraum ke-14 lalu. Dr Mahathir yang memimpin Bersatu komponen keempat dalam PH, telah menubuh parti baru, Pejuang setelah parti asal Bersatu dibawa lari oleh Mahiaddin yang tergila untuk jadi perdana menteri. Ini memberi dampak yang buruk.
Tidak cukup dengan kerenah Dr Mahathir, "buah cempedak di luar pagar" Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang baru mencebur diri dalam politik juga menubuh parti sendiri. Tindakan ini menjadikan yang kecil bertambah kecil. Sementara tiga parti komponen asal, Keadilan, DAP dan Amanah pula bertelagah sesama sendiri dalam hal-hal tertentu dan saling tuding menunding atas apa yang berlaku. Pertelagahan mereka itu ada kalanya dikesani akan keretakan pakatan itu. Situasi ini semua menyebabkan "kehancingan" PH yang digelar oleh Umno dan Pas dulu masih kekal dan berbau sampai kini.
Dalam menanti Piraum ke-15 tugas utama dan berat PH ialah cuba membersihkan najis hancing tadi. Mereka kena jawab dengan fakta dan konsisten terhadap beberapa tuduhan atau persepi yang dilempar itu. Antaranya kena sangkal tentang dakwaan kerajaan PH dahulu diperalat oleh DAP, kerajaan yang dimonopoli bangsa bukan Melayu, kerajaan yang gagal dan sebagainya.
Dan juga tentang beberapa kerugian dan penghapusan hak Melayu di sepanjang 22 bulan itu. Walaupun itu hanya tuduhan dan persepsi tetapi ia menjadi stigma kepada orang Melayu menyebabkan mereka sangsi untuk memilih PH. Perkara ini tidak boleh dijawab secara simplistik tetapi biarlah menyakinkan. Kegagalan membersih najis ini bakal memberi kesan buruk kepada PH dalam piraum ke-15 nanti.
Antara apa yang perlu dimuhasabah oleh parti komponen ialah kemantapan parti masing-masing. Ini termasuklah wibawa pemimpin yang ada. Kalau pemimipin tidak ada wibawa, keahlian parti pun lebih kurang dua pasukan bola sepak sahaja, jangan mimpilah. Jika parti perlu mendapat tarikan baru dengan menukar pemimpin, tukarlah tidak perlu rasa sayang dan hormati kawan.
Manakala yang ghairah merebut jawatan dalam parti pula, jadi perebutan itu untuk menambahkan kekuatan parti jangan jadikan pertarungan itu usaha untuk membelah duakan parti. Semua yang bertanding hendaklah bertanggungjawab jangan pula bila tewas dalam perlawanan ambil keputusan bercuti untuk berniaga. Bila sebuah pembinaan rumah itu siap janganlah pahat dan gergaji terus berbunyi.
Dan bagi yang sudah selesai membuat pemilihan dan menukar kepimpinan, pemimpin baharu hendaklah menawarkan gagasan dan wawasan tersendiri jangan terus diselubungi kepimpinan lama yang berhenti keana dipaksa peraturan. Jika tidak berubah rakyat akan tahu kalau ia hanya sebuah sandiwara. Idea untuk mewujudkan khemah besar berhentilah kerana definasinya gagal difahami oleh umum. [wm.kl.1:06 pm 21/04/2022]
No comments:
Post a Comment