Wednesday, May 18, 2022

Altantuya minta polis siasat Razak Baginda jika ‘sesuatu’ berlaku kepadanya, mahkamah diberitahu

 


freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-May 18, 2022 6:00 PM
Altantuya Shaariibuu memberitahu polis dia datang ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan wang yang dijanjikan Abdul Razak Baginda kepadanya.

SHAH ALAM: Warga Mongolia yang dibunuh, Altantuya Shaariibuu menyatakan dalam laporan polisnya supaya menyiasat Abdul Razak Baginda sekiranya berlaku apa-apa ke atasnya, Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Pegawai Penyiasat Tonny Lunggan berkata, ia adalah salah satu sebab mengapa penganalisis politik itu ditahan pada 7 Nov 2006.

Dia memberi keterangan dalam saman kecuaian yang difailkan terhadap Razak, kerajaan dan dua anggota polis oleh keluarga Altantuya.

Dalam prosiding sebelum ini, Koperal Nurwazlihawa Ibrahim berkata, beliau menerima laporan daripada Altantuya di Balai Polis Tun HS Lee di Jalan Bandar, tengah hari 19 Okt 2006.

Laporan dua muka surat itu berkata, Altantuya telah datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa Razak dan mendapatkan wang yang dijanjikan kepadanya dan akan kembali ke Mongolia selepas itu.

Dia berkata, Razak telah mengancam nyawa dan memeras ugutnya melalui beberapa “surat bodoh”.
Tonny Lunggan.
Tonny hari ini memberitahu mahkamah bahawa polis tidak dapat merekodkan kenyataan Altantunya kerana dia telah hilang selepas itu dan kemudian dilaporkan meninggal dunia.

“Laporan perlu disiasat kerana dia hilang selepas itu. Lebih-lebih lagi apabila sepupu Altantuya, Namiraa Gerelmma, turut mengaitkan Razak dalam laporan polisnya,” kata saksi ke-26 itu dalam kenyataan saksinya.

Beliau berkata, polis menahan Razak pada 7 Nov dan penganalisis politik itu membuat laporan polis pada 23 Okt bahawa Altanyuya membuat kekecohan di luar rumahnya di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 17 Okt.

Tonny berkata, Razak juga menyatakan dalam laporan itu bahawa pada 20 Okt, seorang lelaki dan dua wanita warga asing berada di luar rumahnya dan membuat kecoh.

“Razak, dalam kenyataannya yang dirakamkan pada 30 Okt juga mendedahkan bahawa dia telah memaklumkan kepada Azilah (Hadri) mengenai kekecohan yang berlaku pada 17 Okt lalu,” kata Tonny.

Beliau berkata, siasatan kemudian mendedahkan Azilah dan Sirul Azahar Umar tidak pernah mengenali Altantuya.

“Adalah jelas bahawa Razak terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam perbicaraan kes saman kecuaian yang difailkan bapa Altantuya, Setev, isterinya Altantsetseg Sanjaa dan anak Altantuya, Mungunshagai Bayarjargal.

Kepada soalan Sanget Kaur Deo, yang mewakili keluarga itu, Tonny berkata, beliau tidak tahu mengapa Razak membuat laporan pada 23 Okt sedangkan Altantuya pergi ke rumahnya pada 17 Okt.

Plaintif menamakan Razak, kerajaan serta bekas pegawai polis, Sirul dan Azilah sebagai defendan dalam saman itu.

Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya dan menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk tuntutan tanggungan.

Altantuya dibunuh antara 10 malam pada 19 Okt 2006 dan 11 pagi keesokan harinya di hutan Puncak Alam, Selangor. Dia ditembak di kepala sebelum badannya diletupkan dengan bahan letupan.

Razak, yang merupakan pembantu kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Najib Razak, didakwa bersubahat dengan Azilah dan Sirul, tetapi dia kemudian dibebaskan tanpa pembelaannya dipanggil.

Sirul dan Azilah, yang merupakan anggota polis daripada Unit Tindakan Khas telah disabitkan kesalahan pada 2009 oleh Mahkamah Tinggi kerana membunuh Altantuya.

Mereka berjaya membatalkan sabitan di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada 2015 menukar sabitan dan menjatuhkan hukuman mati. Sirul melarikan diri ke Australia sebelum keputusan dibuat.

Sirul, yang ditahan di pusat tahanan Australia, mahupun Azilah, yang dihukum mati di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.

Perbicaraan di hadapan hakim Vazeer Alam Mydin Meera bersambung.

No comments:

Post a Comment