Tuesday, May 10, 2022

Iring anak Ahli Parlimen tanpa arahan, dua anggota trafik dipindah bahagian : umno punya hal

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati tiada arahan dari pihak atasan mahupun pihak polis Pulau Pinang berhubung tindakan dua anggota polis trafik yang mengiringi anak seorang Ahli Parlimen baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dalaman yang dijalankan pihaknya mendapati tiada arahan rasmi atau tidak rasmi daripada mana-mana pegawai kanan, ibu pejabat atau Kontinjen Pulau Pinang untuk tugasan itu dilaksanakan.

Justeru katanya, kedua-dua anggota berkenaan telah ditukarkan ke bahagian pentadbiran sehingga siasatan tatatertib berkaitan kes berkenaan selesai.

”Kertas siasatan tatatertib telah dibuka dan siasatan terperinci dijalankan bagi memberikan keadilan.

”Sehingga siasatan selesai, kedua-dua anggota trafik tersebut telah dilucut sementara daripada menjalankan penugasan hakiki dan ditempatkan di bahagian pentadbiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, semalam.

Difahamkan, prosedur operasi standard (SOP) Prosedur Atur Gerak dan Membuka Laluan Trafik memerlukan proses kelulusan permohonan secara rasmi kepada jabatan dan ia perlu dilakukan dalam masa tujuh hari waktu bekerja kecuali kecemasan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai terbabit salah laku bertentangan dengan SOP yang ditetapkan.

Menerusi klip video yang tular di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu, dua anggota polis trafik dirakam mengiringi kenderaan yang didakwa dipandu oleh seorang anak Ahli Parlimen.

Paparan video berkenaan mendapat kecaman netizen yang tidak berpuas hati dengan individu berkenaan yang menggunakan khidmat anggota polis trafik bagi meredah kesesakan di Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment