Sunday, May 8, 2022

Ku Li jumpa Amanah Kelantan, ada kerjasama PRU15?

 


Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan sedang menyusun strategi dan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Difahamkan satu pertemuan dan perbincangan awal antaranya dengan pimpinan Amanah negeri sudah diadakan di Kota Bharu, di samping program berbuka puasa bersama, baru-baru ini.

Antara yang hadir adalah Pengerusi Amanah Kelantan Muhammad Hussin, bekas pengerusi Amanah Kelantan, Wan Abd Rahim Wan Abdullah, Ketua Pemuda Amanah negeri Hazmi Hassan dan barisan anggota jawatankuasa Amanah negeri.

Menurut sumber Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li bakal membuat pengumuman penting rentas parti selain program bersama rakyat Kelantan selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Ia adalah inisiatif yang diambil oleh beliau sendiri dan perbincangan dengan pimpinan Amanah sudah menyentuh mengenai perkara ini.

"Ia adalah usaha untuk memastikan PAS tewas pada PRU15," kata sumber yang enggan disiarkan namanya.

Tengku Razaleigh Hamzah

Sementara itu Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed dalam satu tulisan di Facebook memberi gambaran mengenai perkara itu.

"Insya-Allah di Kelantan satu usaha sedang digerakkan untuk mengabung berbagai parti, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan anak-anak Kelantan yang berkebolehan untuk menawarkan satu kerajaan alternatif kepada rakyat Kelantan selain daripada kerajaan PAS.

"Selebihnya terserah kepada rakyat Kelantan untuk kekal bersama PAS atau memilih tawaran yang dihidangkan sebagai satu percubaan untuk berubah.

"Parti politik hanya satu persaingan untuk menawarkan apa yang terbaik yang boleh dilakukan. 

“Agama, perkauman dan pelbagai tawaran hanya perasa dan penghias hidangan yang boleh menyebabkan pengundi terpedaya dan tersilap pilih," katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Razaleigh dan pegawainya berkaitan pertemuan itu.

No comments:

Post a Comment