Tuesday, May 10, 2022

Setakat ini, UMNO ambil haluan kekal bergerak solo: Mat Maslan

 

almarhum tok guru bagitau lama dah : jangan percaya dengan depa tu...

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

UMNO kekal dengan pendirian untuk bergerak solo pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) tanpa sebarang kerjasama dengan mana-mana parti luar daripada Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu berkata setakat ini tiada keputusan dibuat berhubung hala tuju dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) dan selagi tiada ketetapan terbaharu dibuat mereka akan kekal bergerak solo.

“Namun apabila sudah ada keputusan muktamad dibuat nanti, UMNO setiap negeri mestilah patuh terhadap ketetapan itu.

“Setakat ini, UMNO mengambil haluan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor apabila UMNO dan Barisan Nasional (BN) bergerak solo sehinggalah satu keputusan muktamad dicapai nanti,” katanya dipetik laporan BH.

Ahmad menjelaskan tindakan PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan Bersatu menyebabkan parti itu tidak lagi mahu meneruskan sebarang perbincangan dengan menyifatkan hubungan tersebut tidak lagi subur.

“MN belum mati namun tidak subur kerana kejadian (pada PRN) Melaka dan Johor, apabila PAS memilih bersama dengan BERSATU walaupun UMNO sudah membuat tawaran.

“Untuk suburkan kembali (MN) pun kita tak buat keputusan lagi pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT).

“Ini kerana apa-apa keputusan besar perlu dibuat oleh MKT. Setakat ini, masih belum ada sebarang perbincangan, malah mesyuarat baru-baru ini tidak dibangkitkan mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pontian,” katanya lagi.

Terdahulu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh PAS dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik.

Takiyuddin dilaporkan berkata, ini kerana penyatuan ummah itu bukan hanya terhad kepada parti tertentu sahaja, sebaliknya ia boleh disertai oleh mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.

Oleh sebab itu, PAS dilaporkan masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah ini membabitkan semua pihak terutamanya parti Melayu Islam, parti bumiputera dan juga parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

No comments:

Post a Comment