Tuesday, May 10, 2022

Kuarters guru terbiar: Mana jalan penyelesaiannya?

 


Isu berkenaan kuarters-kuarters guru yang terbiar telah acapkali dizahirkan termasuklah disuarakan sehingga peringkat Dewan Undangan Negeri maupun peringkat Parlimen.

Malah kuarters-kuarters yang terbiar tersebut amat membimbangkan kerana ia telah disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab sebagai lokasi penagihan dadah serta juga aktiviti tidak bermoral.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dato’ Johari Abdul berkata, dalam kawasan Parlimen Sungai Petani sahaja terdapat tiga kuarters guru dibiarkan terbengkalai, kosong serta tidak terurus tanpa sebarang tindakan sewajarnya oleh pihak kerajaan.

“Sebelum ini pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui menteri dalam jawapan balas kepada saya menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mengambil alih kuarters-kuarters tersebut namun begitu sehingga kni tiada sebarang tindakan yang diambil.

Kuarters guru terbiar: Mana jalan penyelesaiannya?
Ahli Parlimen Sungai Petani, Dato’ Johari Abdul

“Kerajaan telah menghabiskan jutaan ringgit bagi pembinaan kuarters-kuarters tersebut, sebaliknya ia terbiar tanpa diurus dan merugikan dana yang begitu banyak serta menyakitkan mata memandang.

“Sebetulnya, kuarters-kuarters tersebut boleh dimanfaatkan oleh kerajaan dengan menjual unit-unit terbabit pada kadar harga yang murah kepada rakyat yang memerlukan kediaman dari terus membiarkan ia dalam keadaan yang amat menyedihkan,” ujar beliau ketika dihubungi.

Tegas beliau lagi, isu ini harus diselesaikan secepat mungkin kerana ia telah berlarutan begitu lama dan memberi banyak impak negatif bukan saja kepada kantung kerajaan tetapi juga kepada rakyat marhaen yang amat memerlukan kediaman bagi keperluan keluarga masing-masing

No comments:

Post a Comment