Teng dicabar dedah penyelewengan RM403 juta
Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang dicabar untuk
mempersoal Umno-BN dalam isu kerugian RM403 juta dalam 11 projek awam
ketika kerajaan BN memerintah Kedah sebelum dimenangi Pakatan Rakyat
dalam PRU13.
Pengerusi Bongkar 403, Mohd Firdaus Jaafar berkata, tindakan Teng
mempersoal kononnya kerajaan PAS Kedah berhutang RM2.933 bilion bagi
tujuan projek membela rakyat tidak masuk akal.
Sedangkan isu yang jauh lebih besar adalah bagaimana ketika kerajaan
negeri ditadbir BN, beberapa projek yang dibuat untuk kroni akhirnya
melahirkan kerugian yang besar hingga terpaksa ditanggung oleh kerajaan
PAS yang ada sekarang.
Firdaus berkata, isu penyelewengan RM403 juta itu perlu mendapat
penjelasan daripada pentadbiran kerajaan Umno-BN ketika itu dan pihak
Jabatan Audit Negara perlu membuat siasatan.
Mengulas lanjut, beliau yang ditemui Harakah pada 15 Februari lalu
berkata, apa yang disebut Teng mengenai RM2.993 bilion itu memang benar,
tetapi ia adalah hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno-BN
terhadulu.
Teng mendakwa hutang kerajaan PAS Kedah kini berjumlah RM2.933 bilion.
Dalam laporan akhbar harian, beliau menyatakan, Kedah berhutang
antaranya bagi projek Rancangan Bekalan Air (RM1.9 bilion), Perumahan
Awam Kos Rendah (RM152.75 juta), Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah
(RM372.56 juta) dan pelbagai (RM153.45 juta). Selain itu Teng mendakwa,
kerajaan PAS Kedah juga berhutang dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) dalam pembinaan Kampus KUIN sejumlah RM330 juta.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, kerajaan PAS Kedah terpaksa menanggung
hutang bagi tujuan melaksanakan projek-projek yang membabitkan
kepentingan rakyat khasnya dalam pembinaan Kolej Universiti Insaniah
(KUIN) bernilai RM330 juta yang akhirnya berjaya disiapkan.
“Kita nak buat KUIN, pihak kementerian tidak tolong, jadi kita berhutang
demi kepentingan rakyat khasnya dalam menyediakan pendidikan kepada
rakyat,” katanya.
Tidak seperti semasa Umno-BN memerintah, cadangan untuk menyiapkan KUIN
antara RM2 bilion, dan mereka (BN) berhutang untuk kepentingan kroni,
katanya.
Dalam beberapa kes lain kata Firdaus, BN berhutang bukanlah untuk
kepentingan rakyat, sebaliknya untuk menyediakan projek kepada kroni
yang akhirnya projek itu gagal sama sekali.
Firdaus juga mencabar Teng mengemukakan samada pinjaman yang dibuat oleh
kerajaan PAS Kedah itu kini gagal dimanfaatkan untuk projek rakyat.
“Apakah ada masalah dengan apa yang kita (PAS) buat? Setakat ini projek
yang kita laksanakan tidak menjadi gajah putih,” katanya lagi.
Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai berkata, sebelum ini sebanyak 11
penyelewengan telah dilakukan oleh kerajaan Umno-BN yang mengakibatkan
rakyat Kedah terpaksa menanggung hutang sebanyak RM403 juta.
Katanya lagi, penyelewengan yang dilakukan oleh BN termasuklah projek
loji air Padang Sanai dan Lubuk Buntar yang melibatkan kerugian RM145
juta.
Tambahnya, kerajaan negeri pada zaman BN telah menolak status geran
membina loji pembersihan air di Lubuk Buntar dan Padang Sanai yang
diberikan oleh Kerajaan Pusat, dengan memilih untuk mengambil status
pinjaman. Pembinaan loji pembersihan air Lubuk Buntar yang berkapasiti
25 juta liter sepatutnya bernilai RM25 juta, tetapi harganya menjadi
RM65 juta apabila ditukar status pinjaman.
Sehubungan itu, Firdaus mencabar Teng agar mengetengahkan isu kerugian
RM403 juta sewaktu kerajaan Umno-BN menerajui kerajaan Kedah.
No comments:
Post a Comment