Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran bahawa kerajaan yang membiarkan keganasan politik berleluasa mengundang risiko digulingkan melalui cara yang sama. Katanya, beliau berkata demikian atas perhatiannya bahawa situasi politik pada masa ini "mewujudkan generasi yang bertindak ala samseng".

"Kalau awak (kerajaan) menggalakkan keganasan politik, saya merasakan kerajaan itu tak lama akan menjadi kerajaan kerana ia juga akan dijatuhkan melalui keganasan.

"Ini kerana hate politics atau politik kebencian telah mewujudkan generasi yang bertindak ala samseng.

"Ini saya rasa orang politik kita perlu menentukan penyokong mereka dikawal kerana kadangkala apabila mereka tidak mengawal penyokong mereka, ini yang berlaku," katanya dalam satu forum di Shah Alam hari ini.

Menurut pemerhatiannya lagi, ini berbeza dengan keadaan politik semasa pilihan raya sebelum ini.

"Kita tengok dahulu pilihan raya macam pesta semua keluar bersama-sama.

"Pihak pembangkang dan parti kerajaan sama-sama berjalan tak ada masalah. Sekarang tak boleh," katanya.
Beliau seterusnya menggesa agar proses membina negara dijadikan keutamaan oleh penyokong dan ahli politik selain daripada berkempen untuk parti masing-masing.

"Selepas habis pilihan raya, kita patut duduk sama-sama tanpa mengira parti sekalipun, bina negara ini sama-sama," katanya.

Ingatan itu disampaikan Musa pada forum "Politik Samseng: Di Mana Maruah Kita" yang berlangsung di Auditorium Kompleks Media Kumpulan Karangkraf, Shah Alam petang tadi.