Ezam Mohd Noor, Bekas Senator dan Penasihat Najib |
EZAM Mohd Noor, mantan Ketua Pemuda Keadilan (kini disebut AMK), adalah seorang pimpinan muda yang amat berpengaruh di era reformasi dan selepasnya. Tidak salah jika waktu itu ramai yang berpendapat Ezam bakal mewarisi perjuangan Anwar, bekas bosnya sewaktu bersama-sama di dalam Umno dahulu.
Namun, hayat Ezam dalam arus perjuangan rakyat tidak lama. Beliau akhirnya terpedaya dengan Umno dan menyertai Umno di zaman Pak Lah atas alasannya Umno waktu itu sudah berubah. Baginya Umno waktu itu amat benci rasuah. Umno mahu reform, dan Ezam mahu membantu Umno untuk reform. Beliau tidak belajar dari sejarah bekas bosnya Anwar yang tinggalkan ABIM dan menyertai Umno atas hujah yang sama iaitu ingin membaiki Umno dari dalam. Ini yang disebut oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Presiden Pas waktu itu bahawa tidak akan berjaya 'mencuci najis dari dalam tong najis".
Ezam serah borang sertai Umno kepada Pak Lah |
Apa alasan Ezam untuk menyertai Umno? Katanya, “Ketika saya buat keputusan berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan hasrat untuk kembali kepada UMNO, tidak ada sebarang rundingan atau perbincangan mengenai isu jawatan atau kedudukan saya dalam parti. “Seperti yang pernah saya jelaskan, saya masuk UMNO kerana tertarik dengan dasar yang dibawa oleh Abdullah sejak kebelakangan ini untuk memerangi rasuah secara besar-besaran. “Keterbukaannya itu yang menarik minat saya untuk menyertai UMNO dan ia berbeza dengan pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini yang menolak kepada perubahan,” katanya.
Selepas Pak Lah, Najib ambil alih tampuk pemerintahan negara. Rezeki Ezam semakin bertambah dengan lantikan Senator dan kemudiannya menjadi Penasihat kepada Najib bertaraf Menteri. Ramai yang menjangka tentulah kepimpinan Najib lebih bersih dan telus kerana memiliki Penasihat seperti Ezam, bekas Pengerusi GERAK iaitu satu NGO yang bergerak menentang rasuah.
Jangkaan ramai orang meleset. Rupa-rupanya Ezam diberi kedudukan istimewa di dalam Umno hanyalah untuk dijadikan anjing pemburu kepada Anwar. Waktu itu, di mana saja ada PRK sudah pasti Ezam akan diusung ke kawasan pilihanraya untuk mencaci dan menghina Anwar. Anwar memiliki jiwa yang bersih, sedikit pun Anwar tidak kisah dengan serangan bekas anak didiknya itu. "Saya mahu berdepan dengan PM, bukannya cicak mengkarung", Kata Anwar.
Kepimpinan Najib yang menjadi bos Ezam memperlihatkan satu-satunya PM paling teruk dan kotor di dalam sejarah tanahair. Sejahat-jahat Mahathir, beliau pun respek dengan Najib yang lebih teruk darinya. Kini, Mahahir menyerang Najib dengan berbagai isu seperti 1MDB dan duit di dalam akaun Najib sebanyak RM 2.6 Bilion. Mana suara Ezam? Mengapa Ezam membisu apabila bosnya diserang bertalu-talu dari dalam dan luar negara. Bahkan, Najib terus diserang oleh ahli-ahli partinya sendiri. Ezam sedikit pun tidak membantu Najib, bahkan Ezam terus diam dengan berbagai skandal yang menjelekkan rakyat.
Mungkin, apa yang Ezam mahu sudah tercapai iaitu kedudukan yang selesa di bawah Pak Lah serta Najib. Tugasnya mencaci dan menghina Anwar pun sudah selesai apabila Anwar dipenjarakan. Itulah wajah sebenar Ezam. Beliau hanya berjuang untuk perutnya. Segala janji yang pernah beliau lafazkan untuk membasmi rasuah ternyata gagal. Bahkan, Umno semakin tenat sekarang.
Jelas, Ezam sertai Umno hanya kerana inginkan kesenangan. Aku bersimpati dengan Naib yang terus memelihara Ezam sebaik mungkin namun Ezam jadi bisu, tidak langsung dapat membantu Najib untuk menjawab berbagai persoalan. Najib bersendirian, Ezam entah ke mana selepas apa yang beliau mahu dari Umno telah pun tercapai.
No comments:
Post a Comment