Tuesday, December 15, 2015

Hadiah untuk rakyat Malaysia 31 Disember ini – Anina


Jika mahkamah menolak permohonan Najib Tun Razak, ia akan menjadi hadiah paling bermakna untuk rakyat Malaysia.
 



PETALING JAYA: Bekas Wanita UMNO yang dipecat, Anina Saadudin mengajak rakyat Malaysia berdoa bersama-sama agar mahkamah berpihak kepadanya dalam kes saman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 31 Disember ini sama ada menolak atau menerima permohonan Najib untuk mengetepikan saman yang difailkan Anina terhadapnya.

Anina berkata, jika mahkamah memihak kepadanya, ia menjadi hadiah paling bermakna untuk rakyat Malaysia sempena Tahun Baru 2016.

"Mahkamah telah menetapkan bahawa keputusan permohonan Najib untuk mengetepikan saman saya akan diketahui pada 31 Disember 2015.

"Sekiranya mahkamah membuat keputusan untuk menolak permohonan Najib, bermakna ia cahaya terang yang akan menyuluh kehidupan rakyat Malaysia pada 2016.

"Ia bakal menjadi hadiah tahun baru untuk 30 juta rakyat Malaysia….Teruskan berdoa untuk cahaya masa depan rakyat Malaysia," tulisnya di Facebook.

Anina berkata, dia sangat yakin dengan kemampuan peguamnya, Mohd Hanif Khatri Abdulla dalam mengendalikan kesnya itu.

Katanya, dia memberi kepercayaan 100 peratus terhadap peguamnya yang telah melakukan kerjanya dengan teliti, cermat dan bijaksana.

"Saya mendengar setiap bait katanya dan saya merasakan setiap denyut nadi perjuangan beliau. Saya sedar Haniff Khatri telah melakukan yang terbaik dengan sepenuh hatinya.

"Beliau tidak pernah mengecewakan saya…Saya percayakan beliau 100 peratus, beliau akan lakukan sedaya upaya kemampuannya dan apa saja keputusan yang dicapai, ia ketentuan Allah," ujarnya.

Anina pada 28 Ogos, memfailkan saman terhadap Najib dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntut pembayaran balik sejumlah US$650 juta yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.

No comments:

Post a Comment