Thursday, December 3, 2015

Hari tambang naik Malaysia





Oleh Young Syefura Othman


Hari pertama kenaikan kadar tambang hampir semua pengangkutan awam di Lembah Klang, bagaimana perasaan warga kota? Hampir sebulan kadar tol dinaikkan, sudahkah pengguna lebuh raya terbiasa bangun awal pagi untuk menggunakan jalan alternatif?


Pada 15 Oktober lepas, 12 syarikat pemegang konsesi lebuh raya menaikan kadar bayaran tol di kawasan Lembah Klang sekitar 25% hingga ke 80%.

Dan bermula 2 Disember ,kadar baru tambang bagi pengangkutan awam termasuk Komuter, LRT, Monorel dan bas yang naik sekitar 20% hingga 140% mula dikuatkuasakan.

Sekarang timbul kadar tambang ERL pula akan dinaikkan sebanyak 57% dan kadar bayaran tol PLUS akan dinaikkan sebanyak 5% setiap 3 tahun bermula 2015.

Apa sudah jadi dengan Manifesto Barisan Nasional (BN) semasa PRU13? Sudah menjadi capati?

Kesemua kenaikan harga ini menunjukkan kerajaan BN sudah tidak waras, tidak punya hati dan perasaan terhadap kesusahan rakyat di bawah.

Kenaikan kos pengangkutan yang mendadak seperti ini sudah tentu membebankan rakyat, khususnya golongan kelas menengah dan rendah.

Langkah ini juga menunjukkan kerajaan sekarang ini sudah keliru dan hilang punca.

Katanya kenaikan kadar bayaran tol bagi menangani masalah kesesakan jalan raya dan bagi menggalakkan rakyat lebih menggunakan pengangkutan awam tetapi jika tambang pengangkutan awam juga naik tinggi, apa lagi pilihan yang rakyat ada untuk pergi bekerja atau menjalankan urusan harian.

Jika Kerajaan BN memikirkan, penduduk bandar bukan fokus pengundi mereka dari segi politik, fikirlah ramai penduduk bandar sebenarnya adalah pengundi di luar bandar atau setidaknya mempunyai keluarga di luar bandar.

Cuba bayangkan dialog ini, "Ayah, ibu, maaf kiriman duit saya kurang bulan ini. Datuk Seri Najib Tun Razak sudah naikkan harga tambang".

Jika ada yang merasakan ini hanyalah masalah golongan penduduk bandar, fikirlah bukan sahaja kos pengangkutan individu yang naik malahan kos pengangkutan untuk perniagaan juga akan naik dan menyebabkan harga barang dan perkhidmatan juga akan naik.

Adakah semua kenaikan harga ini adalah hasil dari makmal untuk mengkaji kos sara hidup rakyat Malaysia yang ditubuhkan di bawah Pemandu?

Adakah usaha kerajaan untuk menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Menu 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia benar-benar dapat mengurangkan beban kewangan rakyat?

Adakah dengan menambah RM50 bayaran BR1M pada tahun depan cukup untuk menampung semua kenaikan harga ini?

Sebenarnya banyak kenaikan harga ini dapat dielakkan jika BN benar-benar peduli tentang keadaan rakyat.
Jumlah bayaran subsidi dan bantuan tunai termasuk BR1M yang dijangka pada tahun 2016 adalah sebanyak RM11billion.

Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding jangkaan kutipan GST pada tahun 2016 sebanyak RM39 billion.

Jumlah pampasan kerajaan bagi memastikan kadar pengangkutan awam kekal dan tidak naik tidak mungkin lebih daripada RM28billion, lebihan dari kutipan GST yang sudah membebankan rakyat terlebih dahulu.

Amatlah wajar jika sebahagian dari lebihan kutipan GST itu digunakan untuk mengurangkan beban kewangan rakyat terutamanya dengan memberi subsidi kepada pengangkutan awam.

RM2.6 billion pun sudah mencukupi sebenarnya.

Janganlah guna duit rakyat untuk berjoli sana sini.

Janganlah guna duit rakyat untuk tutup lubang hutang dan korupsi.

Kembalikan terus hasil rakyat kepada rakyat!

No comments:

Post a Comment