Monday, December 21, 2015

SABARLAH TOK HIM, UMNO TENGAH SYOK MENGGODA PASANGAN BARU....


shahbudindotcom


Kesian Ibrahim Ali dan Perkasa, mereka nampaknya semakin dipinggirkan oleh UMNO sekarang ini.

Walaupun seringkali menyatakan tidak memihak kepada mana-mana parti, tetapi umum mengetahui kecondongan aliran NGO itu, malah majoriti ahlinya adalah anggota UMNO. 

Dalam pilihanraya lalu pula, Perkasa secara terbuka menyokong UMNO dan Ibrahim Ali sendiri diberi laluan bertanding sebagai calon Bebas yang disokong parti itu di Pasir Mas.

Sebab itu, Ibrahim Ali atau Tok Him nampak begitu kecewa dengan ketidakhadiran pemimpin UMNO dalam persidangan tahunannya kali ini yang diadakan di Pusat Islam dan dirasmikan oleh bekas menteri, Sanusi Junid.

Kekecewaan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu dapat dirasakan apabila beliau menyindir kegagalan wakil  UMNO hadir ke persidangan tahunan Perkasa ini, meskipun dijemput melalui undangan secara pos dan "by hand", mungkin disebabkan pemimpinnya sibuk dengan persiapan menyambut Krismas.

Aduhh...makan dalam sindiran Tok Him kali ini!!

Mengaitkan sebuah parti politik Melayu dan Islam yang sarat dengan ungkapan wassatiyah dan maqasid syariah dengan sambutan Krismas barangkali agak keterlaluan, tetapi ia sebenarnya lebih menggambarkan kesal hati dan kekecewaan Tok Him yang amat dalam terhadap UMNO.

Tetapi Tok Him, bersabarlah  dan jangan kecil hati dengan ketidakhadiran pemimpin UMNO itu.

UMNO mungkin tidak lagi memandang atau memberi banyak perhatian kepada Perkasa sekarang ini kerana sedang sibuk dengan urusan "menggoda"  Pas untuk dijadikan rakan kerjasamanya yang baru.

Bak orang sedang "jatuh cinta" dan "gila menggoda" pasangan baru, tentulah buah hati  lama sudah tidak diberi perhatian lagi.

Ia adalah perkara normal serta lumrah dan Tok Him tidak sepatutnya terlalu kecewa.

UMNO juga mungkin tidak hadir kerana tahu pemimpin Pas sudah menghadiri persidangan Perkasa itu dan merasakan tidak perlu untuk turut sama hadir. 

Lagi pula, agak belum sesuai lagi UMNO dan Pas untuk tampil bersama di khalayak umum - maklumlah bertunang belum, nikah juga belum.

Di waktu yang sama, tidak mustahil UMNO beranggapan kehadiran Pas, yang sedang "digoda"  untuk menjadi pasangannya, boleh disekalikan sebagai mewakili kehadirannya juga.

Maknanya, Pas hadir macam UMNO hadir, di lain kali mungkin UMNO hadir mewakili Pas pula.

Apa pun, sabar dan janganlah kecil hati Tok Him...kalau orang dah tak suka, macam tak biasa....intai-intailah mencari pasangan baru juga.

No comments:

Post a Comment