Tuesday, December 1, 2015

KEHADIRAN TUN M DI PAU 2015 DAN KEBUDIMANAN ZAHID HAMIDI


shahbudindotcom

 

 
 
 
Tidak dipastikan sama ada Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor sudah menghantar surat jemputan atau belum kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

Kali terakhir Ku Nan bercakap mengenainya ialah pada 26 November lalu dengan mengatakan masih mempertimbangkannya.

Dalam masa yang sama, Ku Nan juga membuat andaian awal bahawa Tun Mahathir berkemungkinan besar tidak menghadirinya berikutan pendiriannya yang kerap menghentam parti kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengatakan UMNO tetap akan menjemput Tun Mahathir untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO kerana parti tetap menghormatinya.

Hari ini, tanpa mengira beliau dijemput secara rasmi atau tidak, Tun Mahathir memperakukan kehadirannya dengan mengatakan jemputan terbuka Zahid Hamidi itu sudah memadai untuk beliau menghadirinya.

"Saya tak terima lagi surat jemputan, tapi saya anggap kenyataan Zahid itu sebagai suatu jemputan dan tak hantar jemputan pun saya tetap akan pergi," kata bekas Perdana Menteri itu lagi.

Soalnya kenapa Ku Nan dan ibu pejabat UMNO terlalu perlahan dalam membuat kerja? Bukankah menjemput bekas Presiden UMNO seperti Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi ke majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO merupakan suatu tradisi yang perlu dihormati dan dikekalkan?

Apakah Ku Nan sengaja melengah-lengahkan surat jemputan itu dengan harapan Tun Mahathir tidak menghadirinya?

Mujurlah masih ada pemimpin budiman dalam kepimpinan UMNO seperti Zahid Hamidi yang pantas memberikan kenyataan dan melakukan jemputan terbuka terhadap Tun Mahathir.

Di ketika Ku Nan seolah-olah tidak mahu Tun Mahathir hadir, banyak pemimpin lain hanya berdiam diri, manakala Najib mungkin lebih berharap agar bekas Perdana Menteri itu tidak menghadirinya, Zahid sebaliknya perlu dihargai atas sikap budimannya itu. 

Jika semasa perhimpunan nanti, tidak ada mana-mana pemimpin UMNO yang memperdulikan Tun Mahathir atau seperti tidak meraikan kehadirannya, Zahid Hamidi seharusnya sekali lagi menunjukkan kebudimanan hatinya ketika itu nanti.

Sebagaimana beliau mengakui turut mengunjungi Tun Mahathir di kediamannya sebaik dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk meminta pedoman dan nasihat daripada bekas Perdana Menteri itu, Zahid sememangnya layak dihargainya atas sikap budiman dan hormatnya yang tidak luntur itu.

No comments:

Post a Comment