DETIK DAILY
Empat tahun lagi, seperti yang dirancang, Malaysia akan bertukar wajah daripada sebuah negara membangun kepada negara berpendapatan tinggi atau negara maju. Namun, ketika detik yang ditunggu semakin hampir, tindakan kerajaan pula kelihatan semakin songsang.
Dasar-dasar ekonomi yang dilaksanakan tidak membayangkan hasrat kerajaan untuk mempertingkatkan ekonomi rakyat secara menyeluruh, melainkan terfokus kepada kelompok tertentu sahaja yang sudah kaya.
Kelompok yang perlu dibantu yang berada dalam golongan miskin seperi nelayan, petani, penoreh getah, pekebun kecil, boroh kasar dan peniaga kecil semakin terabai, menjadikan jurang antara golongan kaya dan miskin di negara ini semakin melebar.
Pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 23 November lalu menjadi bukti nyata kepada realiti itu.
Hasil daripada pembentangan Bajet 2016 itu menyebabkan Kementerian Pertanian masih terus tidak menghiraukan keperitan para petani yang miskin di negara ini. Pesawah yang miskin dipotong subsidi padi sehingga RM65 juta. Tidak cukup dengan itu, dipotong pula subsidi harga padi sehingga RM80 juta.
Peliknya peruntukan untuk MAHA 2016 dinaikkan sehingga 100 peratus, daripada RM5 juta kepada RM10 juta. Kerajaan mahu memeriahkan lagi MAHA 2016 dengan memanggil artis-artis dari Amerika atau K-Pop dari Korea untuk menghiburkan pengunjung.
Apa yang ada dalam MAHA hanyalah pameran jentera-jentera pertanian yang canggih dan mahal-mahal yang tidak mampu dimiliki oleh petani-petani miskin.
Petani-petani miskin di negara ini masih juga tidak mendapat apa yang mereka ingin capai, malah terus terabai. Pada hal di negara maju, aspek pertanian turut diberikan penekanan penting oleh kerajaan. Malah para petani di negara maju turut berkemampuan meraih pendapatan lumayan sehingga turut berkeupayaan menyumbang cukai yang besar kepada kerajaan, berbanding para petani di negara ini yang terus kekal dalam kemiskinan.
Disebabkan pengabaian kerajaan dalam memajukan sektor pertanian, sesetengah petani di negara kita terpaksa berusaha sendiri untuk menghasilkan baja. Mereka terpaksa mengambil siput-siput gondang untuk dijadikan bahan-bahan baja. Mereka juga tidak diberikan bantuan teknikal dan lain-lain bantuan daripada pihak kerajaan secara serius. Proses nasihat dan rundingan kepada para petani hanya dibuat sambil lewa sahaja.
Ribuan hektar sawah kekeringan. Banyak tali air termasuk yang berada di bawah seliaan KADA hanya tinggal tali sahaja, tetapi tiada air. Ribuan petani terpaksa membeli pam air sendiri kerana masalah pengairan dan penyelenggaraan daripada pihak KADA yang tidak memuaskan.
Ketika Malaysia semakin hampir menjadi negara maju, kehidupan para petani semakin terhimpit sehingga semakin ramai yang menjadi penerima BR1M. Negara maju jenis apakah yang ingin ditempa oleh Malaysia? Apakah benar Malaysia negara maju jika majoriti rakyatnya miskin?~Editorial Harakah
No comments:
Post a Comment