Thursday, December 3, 2015

AMANAH Gesa Parti Pembangkang Bersatu & Tinggalkan Politik Purbakala


 
Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menggesa parti-parti politik khususnya pembangkang di negara ini agar mempamerkan pendekatan politik rasional dan bijaksana dalam mendepani cabaran politik negara dewasa ini.

Di dalam satu kenyataan media yang dieluarkan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Tn Hj Salahuddin Ayub, beliau juga turut meminta parti-parti berkenaan meninggalkanlah pendekatan politik purbakala yang hanya berasaskan dendam, emosi, merasa parti kita saja yang kuat sehingga hilang pertimbangan untuk mengenali antara kawan dan lawan.



"Sekiranya semua parti-parti pembangkang bersetuju untuk berlawan satu lawan satu dengan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang maka pendekatan politik yang berasaskan kepada maufakat, perundingan dan persefahaman mestilah segera diusahakan dalam masa terdekat."

Tanpa merujuk dan mengaitkan mana-mana kenyataan pemimpin parti politik, namun Salahuddin dipercayai mengulas tindakan Pesuruhjaya Perak, Haji Razman Zakaria yang sebelum ini telah membuat kenytaaan media bahawa PAS akan merebut 22 kerusi di Perak.

Razman di dalam kenyataannya menyatakan, PAS tidak akan menyertai Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) dan beliau mengesa supaya PKR membuat keputusan sama ada mahu bersama dengan parti Islam itu atau bertindak sebaliknya.

Hal yang sama juga berlaku di Johor apabila Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed mahu Parti Keadilan Rakyat (PKR) tentukan sikap sama ada mahu bersama PAS atau Pakatan Harapan.

PAS Johor mengumumkan akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN ) dan semua kerusi Parlimen pada pilihanraya umum akan datang, jika PKR tidak mengadakan perbincangan dengan mereka mengenai peruntukan kerusi, lapor MStar.

Menurut Salahuddin, AMANAH yang telah memberikan komitmen bersama parti-parti dalam Pakatan Harapan sentiasa terbuka dan bersedia untuk memberikan segala pengalaman dan kebolehan yang sedia ada untuk mencapai kejayaan yang menjadi harapan seluruh rakyat di negara ini.

"Adalah menjadi kewajipan kepada AMANAH dan Pakatan Harapan untuk memenuhi aspirasi rakyat yang kehidupan dan nasib mereka semakin ditekan dengan pelbagai masalah ekoran kegagalan pentadbiran kerajaan BN," tambahnya.

Hasrat untuk bertanding semua kerusi dengan tidak memperhitungkan faktor-faktor kemenangan adalah ibarat "pucuk dicita ulam mendatang" bagi Umno BN, ujarnya.

No comments:

Post a Comment