Monday, October 5, 2015

TPPA

 

Amin Ahmad

Akhirnya Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) disimpulkan di Atlanta, selepas perbincangan bermula sejak lebih lima tahun lalu.
Dalam sidang akhbar sempena pengumuman ini, beberapa menteri perdagangan negara terlibat menyatakan, TPPA ialah rundingan yang mencabar dan juga bercita-cita tinggi untuk mengurangkan birokrasi secara global dan menetapkan peraturan dagang di abad ke-21.
Bagaimanapun, wacana yang menonjol berkaitan TPPA cenderung negatif.

Bantahan Beberapa bantahan yang ada boleh dikelaskan seperti berikut:
1) Kerahsiaan
Ini adalah aspek paling utama mengapa TPPA dibantah. Logiknya, jika ia baik, maka mengapakah kandungan mengenainya tidak boleh diakses?
Beberapa dokumen berkaitan TPPA yang dibocorkan tentulah memberi gambaran buruk terhadap rundingan ini.
2) Kedaulatan
Dakwaan seterusnya merujuk kepada cabaran kedaulatan negara kerana sebarang perselisihan antara pelabur dan kerajaan mengenai pematuhan kepada perjanjian ini boleh dibicarakan mahkamah arbitrasi antarabangsa untuk diselesaikan.
3) Keadilan
Seterusnya, TPPA dipertikai kerana didakwa bakal menguntungkan syarikat besar, menjejaskan peluang tenaga kerja tempatan, dan monopoli melalui hak paten dan hak cipta khususnya dalam bekalan ubat-ubatan.
Untuk menyokong kenyataan ini juga, kajian antisipasi Rashmi Banga, ahli ekonomi kanan di UNCTAD yang menyatakan imbangan dagangan (trade balance) akan jatuh di mana import akan mengatasi eksport sekitar RM5 billion.
Kerana kesimpulan TPPA yang dicapai belum ditandatangani sehingga negara-negara mengesahkannya di dewan legislatif masing-masing, semua bantahan ini perlu diperhalusi.
Tambahan pula, jika hujah-hujah yang dikemukakan sebenarnya bukanlah bersifat anti-TPPA, tetapi cenderung bersifat anti-perdagangan.
Sisi positif
Sejak rundingan TPPA bermula, sangat jarang berita positif ditemukan. Ini mungkin kerana faktor kerahsiaan, tidak ada akses terhadap kandungan yang dibincangkan.
1) Kerahsiaan

Apabila kenyataan media semalam menyebut kesimpulan yang dicapai masih belum ditandatangani kerana memerlukan pengesahan di dewan legislatif negara terbabit, kita mengharapkan kerajaan persekutuan Malaysia akan membentangkannya untuk dibincangkan secara terbuka.
Saya menanggap, kerahsiaan sebelum ini berpunca kerana tidak ada yang konkrit memandangkan belum ada kesimpulan bersama dicapai, hanya usul-usul tertentu sahaja.
2) Penyertaan
Malaysia sebenarnya perlu menyertai rundingan ini, bukan menolak atau menarik diri kerana hanya dengan itu kita boleh mengetahui kandungan terperinci, membuat saringan dan memberi maklum balas dalam proses rundingan.
3) Kedaulatan
Dakwaan kedaulatan negara terjejas dengan ISDS berbunyi agak naif. ISDS ialah mekanisme yang dimasukkan di dalam perjanjian pelaburan antarabangsa untuk memastikan komitmen perlindungan pelaburan bersama dihormati.
ISDS wujud sejak dekad 1960-an dan sehingga kini dimasukkan ke dalam lebih daripada 3,000 perjanjian antarabangsa. Daripada jumlah ini, hanya 50 melibatkan Amerika Syarikat sementara 1,400 melibatkan Kesatuan Eropah.
Ia bersifat neutral, sebagaimana seharusnya sifat tribunal atau mahkamah, dibentuk untuk mendengar dan menghakimi secara adil dan saksama kes-kes yang dibawa. Ia undang-undang antarabangsa, justeru berbeza dengan undang-undang domestik.
Sehingga akhir 2014, sebanyak 356 kes disimpulkan. Daripada jumlah ini, 37 peratus (132 kes) diputuskan memihak kerajaan/pemerintah berasaskan merit atau hujah perundangan. Kes yang memihak pelabur pula masing-masing 25 peratus (87 kes) melibatkan pampasan wang dan 2 peratus (7 kes) tanpa pampasan wang.
Selain itu, 28 peratus (101 kes) diselesaikan bersama dan 8 peratus (29 kes) tidak diteruskan.
Gambaran seolah-olah syarikat boleh menggugat kerajaan/pemerintah sewenang-wenangnya tidak berasas, lebih didorong kepada sikap anti-perdagangan.
4) Pertumbuhan
Dengan jumlah pasaran mencecah 800 juta orang dan mewakili 40 peratus ekonomi dunia, tidaklah merugikan untuk Malaysia berunding. Tambahan pula, kita memang mempunyai hubungan dagang dengan negara-negara terlibat di mana nilai import kita mencecah lebih RM200 billion dan eksport pula mencecah lebih RM300 billion.
Kita tidak harus mengutamakan imbangan dagangan berbanding jumlah dagangan (volume of trade). Jelas, dalam kajian antisipasi Rashmi Banga menunjukkan jumlah import-eksport akan meningkat.
Import yang lebih tinggi bukanlah masalah besar. Ia menunjukkan ada permintaan yang banyak terhadap barangan luar. Barangan import ini mungkin lebih mahal jika tidak ada TPPA. Ia mungkin dalam bentuk teknologi yang boleh membantu menjana lebih banyak barangan eksport pada masa akan datang.
Pasca-kesimpulan TPPA
Ia bukanlah sebuah perjanjian perdagangan bebas yang ideal tetapi tentunya lebih baik daripada banyak dasar anti perdagangan yang ada. Penganjur perdagangan bebas juga berbelah bahagi, terutama dalam hak paten dan hak cipta.
Memang, dalam persaingan perniagaan, tidak semua pihak beruntung. Perdagangan bebas bukan bertujuan memenangkan mana-mana pihak secara khusus, sebaliknya bertujuan membuka peluang kepada semua.
Berdasarkan kesimpulan yang dibuat, puluhan ribu cukai di semua negara terlibat akan sama ada dikurangkan atau dihapuskan. Sebaik sahaja pengesahan dibuat, ia pasti akan memberi wajah baru kepada tahap perdagangan di semua negara ini.
Secara bersihnya, negara kita tetap akan beruntung dengan ekonomi lebih terbuka.

No comments:

Post a Comment