Thursday, October 22, 2015

Mahukah PAS dan Amanah bertahkim pada ulama muktabar?


 
Oleh Zainal Salleh

 
Post Pic
 

[ULASAN]
Sebagai ulama, Dr Yusuf al Qaradhawi pasti tidak mahu membuat sebarang rumusan tentang perkara yang beliau tidak mempunyai maklumat lengkap; lebih-lebih lagi bersabit soal kemelut politik di negara asing seperti Malaysia.

Justeru jika ada perbedaan pandangan dalam soal siasah di mana-mana negara Islam termasuk Malaysia, sudah pasti beliau akan mengambil sikap selamat seperti yang ditetapkan oleh al-Quran. 
 
"Dan apabila ada dua golongan orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara kedua-duanya. Jika salah satu daripada kedua-duanya menzalimi golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali kepada perintah Allah.
 
"Jika golongan itu telah kembali (pada perintah Allah), maka damaikanlah antara kedua-duanya dengan adil, dan berlakulah adil. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil." (Al Hujurat ayat 9).
 
Sehubungan itu dalam proses memahami duduk perkara sebenar  persaingan politik di antara PAS dengan Parti Amanah Negara (Amanah), sudah tentu proses menyaring maklumat berhubung isu berkenaan menjadi langkah utama oleh ulama tersohor itu. 
 
Lantas rumusan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, bahawa oleh kerana Dr Yusuf tidak membangkitkan soal halal haram penubuhan Amanah dalam konteks dakwah dan politik Islam Malaysia, maka penubuhan Amanah adalah halal dan wajar, bolehlah dianggap agak terburu-buru.
 
Dalil yang digunakan oleh Salahuddin ialah, apabila naib presiden partinya, Datuk Dr Mujahid Yusuf mengunjungi Presiden Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu perkara berkenaan tidak berbangkit maka tidak ada ruang untuk mempersoalkan kewajaran penubuhan Amanah dalam iklim politik Malaysia.
 
"Datuk Dr Mujahid Yusuf telah bertemu sendiri dengan Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi di Doha, Qatar pada 17 Oktober. Dalam pertemuan itu tidak disebut langsung tentang haramnya wujud sebuah parti Islam lain selain daripada PAS. 
 
"Bahkan kami berbincang perkara prinsip tentang kejelasan fikrah Islam, kerana bimbang terjerumus kepada pemikiran awal ISIS atau seumpamanya. 
 
"Lalu Prof Dr Yusuf Al Qaradhawi menyokong usaha untuk membetuli salah faham ini di kalangan pengamal politik Islam," kata Salahuddin dalam kenyataannya.
 
Timbalan Presiden Amanah itu menyatakan demikian sebagai reaksi  kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang bahawa Dr Yusuf al Qaradhawi menganggap haram menubuhkan sebuah parti Islam lain di Malaysia selagi masih ada PAS.
 
Mungkin Haji Hadi sudah mendahului Dr Mujahid berhubung dengan Dr Yusuf mengenai isu pengwujudan dua buah parti Islam di Malaysia. Namun mungkin juga komen yang diberikan oleh Dr Yusuf itu lebih bertolak daripada kaedah hukum berjemaah belaka.
 
Hujah Dr Yusuf kepada Naib Presidennya dalam Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu mungkin lebih am sifatnya. 
 
Bahawasanya lebih banyak mudarat daripada manfaat di segi politiknya jika umat Islam Malaysia dibelah bahagi oleh dua entiti politik. Maka keadaan itu mungkin mengakibatkan status parti baru itu menjadi haram.
 
Haji Hadi pula melambungkan kemungkinan hukum penubuhan Amanah itu haram demi membuka ruang seluas-luasnya bagi umat Islam Malaysia mengamati semua kemungkinan akibat usaha mewujudkan persaingan sesama pengundi Islam dalam politik Malaysia yang sedang bergelora kini. 
 
Perkara ini perlu dipertimbangkan semasak-masaknya kerana sudah tentu juga Dr Yusuf juga tidak mahu menimba maklumat yang salah daripada mana-mana pihak yang "merujuk dan mengadu" kepada beliau dalam isu ini. 
 
Sudah pasti pendirian Dr Yusuf ini berpandukan peringatan Allah dalam Surah Al-Hujurat, ayat keenam:
 
"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu".
 
Dr Yusuf memerlukan lebih banyak maklumat sahih berhubung  persoalan dua entiti politik Islam yang kini mengorak langkah untuk menundukkan di antara satu dengan lain dalam medan politik Malaysia. 
 
Di satu segi tentu Dr Yusuf lebih cenderung untuk mempercayai naib presidennya dalam Kesatuan Ulama Sedunia. Bagaimanapun beliau juga wajib mendengar hujah daripada Dr Mujahid. Lantas tidak perlu menghukum apabila menerima ziarah anak bekas presiden PAS itu. 
 
Namun kedua-dua pihak perlu mendekati pakar rujuk Islam kontemporari itu dalam forum yang lebih terbuka yang disertai kedua-dua pihak. 
 
Maka adalah wajar bagi PAS dan Amanah berusaha mempelawa Dr Yusuf ke Malaysia dalam satu multaqa atau apa jua forum yang munasabah supaya boleh beliau membuat penelitian lebih rapi dan rumusannya sendiri. 
Apakah ada cara lebih baik daripada bertahkim dengan ulama muktabar seperti Dr Yusuf? 
 
Mungkin Dr Yusuf juga mahu memilih untuk membentangkan isu politik Islam yang agak rumit melanda umat Islam Malaysia ini di peringkat Kesatuan Ulama Sedunia terlebih dahulu untuk mencari penyelesaian yang lebih adil dan tuntas demi memastikan keharmonian politik Islamiah tidak tercemar di Malaysia. 
 
Atau, adakah baik PAS mahupun Amanah merasakan bahawa ulama mereka masing-masing sudah memadai untuk membimbing umat Islam Malaysia menyusur denai politik mereka "kerana itu adalah paling menepati waqi atau realiti politik" di negara ini kini?
 
Jika demikian, tidakkah itu satu keangkuhan yang terpesong daripada matlamat berpolitik dalam Islam?

No comments:

Post a Comment