Sunday, October 11, 2015

Ini Puncanya, Ramai Yang Sertai AMANAH Kerana Dihalau PAS




[tmi]- Mereka yang tidak lagi diterima kepimpinan PAS tetapi kekal dalam parti Islam itu, kini dituduh menyertai kumpulan serpihan Parti Amanah Negara (Amanah), seolah-olah ia perkara paling keji dalam dunia dilakukan mereka.

Tetapi, tindakan tersebut hanya membuatkan lebih ramai menyertai Amanah, yang ketika ini mempunyai 50,000 ahli dalam masa kurang sebulan selepas dilancarkan, dengan 60% daripadanya bekas pemimpin PAS, menurut timbalan presiden parti baharu itu, Salahuddin Ayub.

Menceritakan betapa Amanah digunakan untuk "menyerang" ahli yang tidak disenangi mereka, bekas ketua penerangan PAS Pahang Suhaimi Md Saad (gambar, kiri) berkata, beliau mendapat tekanan kiri dan kanan daripada PAS kononnya beliau menyertai Amanah.

Beliau tidak menyertai Amanah dan masih ahli PAS, tetapi katanya tekanan mula diterima sejak 2013 apabila beliau mengalahkan ketua Pemuda PAS ketika itu, Nasrudin Hassan sebagai naib yang dipertua PAS kawasan Indera Mahkota.

Sejak itu beliau dilabelkan sebagai penentang ulama dan disisihkan oleh pihak yang menguasai pucuk pimpinan PAS sekarang, iaitu golongan ulama yang menyingkirkan golongan progresif bagi menduduki majoriti jawatan tertinggi parti pada pemilihan Jun lalu.

Apabila barisan Kabinet PAS Pahang dibentuk selepas Muktamar PAS ke-61 baru-baru ini, nama Suhaimi terus ditiadakan daripada barisan kepimpinan negeri.

Beliau mendakwa pemimpin PAS memboikotnya, termasuk kedai buku dimilikinya.

Namun, Suhaimi mengambil sikap berdiam diri dan tidak menjawab sebarang serangan terhadapnya.

Beberapa hari lepas, berlaku lagi kejadian tidak disenangi membabitkan rutin bulanan beliau yang selama 3 hari dalam sebulan akan keluar dari Pahang memberikan kuliah di masjid dan surau seluruh negara.

Sejak perpecahan berlaku dalam PAS katanya, kuliah yang dijadualkan untuknya berkurangan daripada 8 kepada 3 sahaja kini.

"5 kuliah lagi bagi alasan nak susun balik, kebetulan ada ustaz lain nak masuk, dan macam macam alasan lain.

Aku bersangka baik," tulis Suhaimi di laman Facebook miliknya.

Salah satu daripada pembatalan kuliah itu dibuat melalui telefon apabila beliau hanya dihubungi ketika sudah hampir tiba di tempat dijadualkan berceramah, sebuah masjid di Muadzam.

"Mereka kata, ustaz dah 'join' Amanah dan tak bersama PAS," kata pihak penganjur kepada Suhaimi yang menyebabkan beliau terkejut.

"Apa!!! Saya masih ahli PAS," Suhaimi melahirkan rasa terkejutnya melalui tulisannya di akaun media sosial itu, memecah kebisuannya selama ini.

Bercakap kepada The Malaysian Insider, Suhaimi berkata beliau tidak berhasrat untuk menyertai Amanah.

"Jika saya sertai Amanah bermakna tuduhan terhadap saya betul dan itulah yang dikehendaki pihak yang memfitnah saya," katanya.

Kebencian PAS terhadap Amanah berpunca daripada hakikat yang pemimpin parti serpihan itu dulunya rakan seangkatan pemimpin konservatif parti Islam.

Tetapi, mereka lebih progresif dan memilih untuk meneruskan kerjasama dengan bekas PAS yang kini menjadi musuh, iaitu DAP yang sekular dan PKR di bawah Pakatan Rakyat yang kini tidak lagi berfungsi.

Apabila kumpulan progresif menubuhkan Amanah, mereka dilabelkan sebagai "pengkhianat" oleh PAS, yang berikrar tidak akan bekerja sama dengan mereka lagi.

Apa yang berlaku kepada Suhaimi turut juga dialami seorang lagi pemberi kuliah, Roslan Ismail, yang juga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Bukit Besi, Terengganu.

Katanya, pada 1 Oktober, beliau menerima surat makluman diberhentikan daripada memberi kuliah di Surau Darulsalam, Paka tempat beliau berceramah sejak puluhan tahun lalu.

Ekoran itu, pada 2 Oktober, Roslan menyerahkan borang permohonan untuk menyertai Amanah, kepada naib presiden parti itu Datuk Dr Mujahid Yusof di Kuala Terengganu.

Apa yang dihadapi Suhaimi dan Roslan turut dialami ramai ahli dan bekas pemimpin PAS di seluruh negara.

Kerana perbezaan pendapat, mereka disisihkan pemegang jawatan PAS sekarang yang menang melalui kempen agresif menyerang pihak yang berbeza pendapat.

Ekoran itulah sambutan dan penyertaan ke dalam Amanah menjadi fenomena di seluruh negara.

Surat Dari Ust Suhaimi Md Saad

Surat untuk semua yg mengenali saya...

Assalamualaikum....

Buat Sahabat sahabat Surau Taman Sri Penggaram
Dariku: Ust Suhaimi Saad

Semalam (9 okt 2015) sebelum kuliah maghrib di Simpang 3, saya singgah di Surau TSP untuk solat asar berjamaah.
Ada beberapa jamaah yg sedikit terkejut dengan kemunculan saya.

Kini daripada 8 kuliah di Batu Pahat kini tinggal 1 kuliah. Inilah harga yg terpaksa saya bayar atas fitnah yg dipanjangkan pada ahli PAS di Batu Pahat.

Saya ke Surau TSP bukan untuk merayu supaya saya dibenarkan kuliah, Saya ke surau TSP untuk membersih nama saya.

Sebolehnya saya nak jumpa semua yg keliru dan dikelirukan tentang diri saya, Hanyalah En Misran dan Pak Syed yg dapat mendengar penjelasan saya semalam

Prinsip saya, bila turun kekuliah bukan sekadar memberi ilmu, tapi yg terlebih penting ialah silaturrahim.
 
Kita bukan hanya akrab dlm ruang solat, tetapi lebih jauh dari itu.

Firman Allah..
Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara.
(Al-Hujurat)

Saya sedikit kecewa kerana kemelut yg melanda PAS diheret sehingga menghancurkan persaudaraan sesama kita.

Sebolehnya saya tak mahu terlibat dengan kemelut dalaman parti ini. Ianya sangat rumit.
 
Sebab itu saya banyak diam dan tak sentuh isu ini dlm kuliah di Surau atau dimeja sembang antara kita.

Amat mengejutkan saya dituduh sudah meninggalkan PAS dan bersama Amanah.

Seharusnya tuduhan ini dirujuk pada saya, Saya masih Ahli PAS yg saya sertai sejak 1987.

Kenapa saya dituduh dan tak diberi peluang membela diri.
Bukankah kita mendokong perjuangan menegakkan syariat Islam, yg mengandungi Hudud, Qisas dan Takzir. 
Hukum Syariat itu mengajar kita bukti adalah penting dan tertuduh mesti diberi ruang seluasnya untuk membela diri.

Jika dalam hal sekecil ini pun kita gagal menunjukkan akhlak bagai pendokong syariat.

Bagaimana utk kita dokong hukum tg lebih besar dari itu jika yg kecil ini kita gagal menurut lunas akhlak Islam

Tanyalah saya dulu, Sahkan dulu tuduhan ini.

Bukankah Allah telah berfirman...

Wahai orang orang yg beriman, jika datang pada kami satu berita yg dibawa oleh orang orang yg fasik, selidikilah dulu (tabayun) supaya kamu tak menghukum secara yg salah nanti kamu menyesal,
Al Hujuurat.

Dalam dakwah ini saya dah biasa disekat, dirampas microfhon dihalau dari masjid oleh YB UMNO tapi saya tak kecewa sebab yg buat ini adalah pendokong parti sekular.
 
Mereka tidak berakhlak sebagaimana dasar parti mereka juga tak menekankan berakhlak Islam.

Tapi saya dihalang untuk kuliah di Batu Pahat oleh org yg mendokong perjuangan Islam yg bukan saya kenal sehari dua.

Saya ahli PAS di halang oleh orang orang PAS yg sepatutnya menjunjung akhlak Islamiah.

8hb Okt saya dah bertolak untuk ke TSP dan tatkala sampai Muadzam, saya hantar mesej saya akan sampai jam 3 utk kuliah muslimat.

Tiba tiba saya dihubungi dan di maklumkan kuliah saya di TSP di KIV, Alahai dah 2 jam saya memandu kenderaan menuju Batu Pahat, Terpaksa berpatah balik.

Saya rasa bagaikan saya dianiaya oleh ahli Parti yg saya sokong.

Suka saya jelaskan pendirian saya. Saya masih Ahli PAS walaupun sessi ini saya tak dilantik apa apa jawatan sessi (2015- 2017).
 
Alhamdulillah saya redha sebab jawatan adalah amanah, Utk sesi ini Allah tak bebankan saya dengan amanah yg berat ini.

Walaupun tanpa jawatan, kerja dakwah mesti diteruskan. Dari dulu saya tak pernah ulas apa apa yg melibatkan kemelut parti dlm kuliah saya di mana mana surau dan masjid, sbb saya tahu yg mendengar bukan semua org PAS, ada UMNO, atas pagar dll.

Saya tak pernah menyerang, menyindir mana mana kumpulan dan mana mana pimpinan PAS dlm kuliah saya.

Saya berpendirian menyerang dalam kuliah mana mana pihak termasuk yg keluar PAS tak akan menguntungkan dakwah. Sbb depan kita dlm kuliah bukan hanya ahli PAS.
 
Malah kita sebenarnya membuka pekung PAS dengan laungan pengkhianat, tebuk kapal, munafik haraki jika medan kuliah umum digunakan utk tujuan ini.

Akhirnya PAS di lihat, busuk dan menjijikkan


Dakwah ini adalah kewajipan org berilmu, Saya berlepas diri depan Allah jika nanti ditanya kenapa kamu tak menyampai dakwah ini, Inilah Jawapan saya..

"Ya Allah, ampunilah hambamu Ya Allah, bukan aku tak sampaikan agamamu tapi aku dihalang dari menyampaikan dakwah ini"

Lebih kecewa bila saya tahu fitnah ini datang dari agamawan dlm PAS

Atas nama agama dia tipu ahli PAS yg tak mengetahui apa apa. Agamawan seharusnya lebih berhati hati dalam menerima maklumat.
 
Maklumat yg salah dari agamawan akan menyebabkan arang awam juga bertindak salah.

Saya tak akan maafkan org yg fitnah saya dan saya juga tak akan maafkan orang yg memanjangkan fitnah ini.

Terima kasih wahai sahabat atas apa yg kalian dah buat pada saya.

Pun begitu saya tidak sekejam orang yg menganiayai saya, Saya maafkan jika anda datang berjumpa saya.
 
Sbb saya pun nak tahu tangan ghaib mana yang bertindak merugikan perjuangan Islam ini.

Maafkan saya atas luahan perasaan ini, Saya luahkan bukan tujuan untuk memohon berkuliah kembali, Sekadar utk membersihkan nama saya.

Tindakan terdesak ini tidak mengguntungkan dakwah dan tidak menguntungkan PAS, Pesan saya Islam diamalkan dengan ilmu. Bukan dengan emosi dan semangat.

Pun begitu bila kita berjumpa dimana mana kita tetap bersaudara, Jangan putuskan silaturahim antara kita.
 
Jika berpeluang saya akan terus mengunjungi surau TSP BUKAN untuk berkuliah tetapi utuk meneruskan silaturrahim antara kita yg telah terbina sekian lama

Terima kasih atas bantuan sepanjang perkenalan kita.
 
Selamat maju jaya buat Surau TSP.

Suhaimi Md Saad
Nom. Ahli PAS 0256874

No comments:

Post a Comment