DATUK Husam Musa, nama yang tidak asing dalam dunia politik. Beberapa kali pernah diangkat sebagai pimpinan tertinggi Pas. Pada pemilihan Muktamar Pas baru baru ini, beliau dicalonkan jawatan presiden, namun membuat keputusan mempertahankan jawatan naib presiden.
Bagaimanapun selepas tewas pada pemilihan itu, beliau dikatakan banyak berdiam diri, ditambah dengan kesihatan tidak mengizinkan, bekas anak didik Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ini dikatakan mengasingkan diri daripada dunia politik seketika. Namun, selepas beberapa bulan, beliau muncul membuat teguran terbuka khususnya terhadap pentadbiran kerajaan Kelantan.
Sikap beliau yang dikatakan positif terhadap penubuhan parti Amanah menyebabkan ahli mula sangsi dengan pendiriannya termasuk ada mendakwa beliau berkomplot mahu menjatuhkan kerajaan negeri. Melalui temu bual oleh wartawan Sinar Harian Kelantan, Mohd Zailani Abd Rahman dan Rosmiza Kasim, Husam menjelaskan pendiriannya terhadap isu dibangkitkan, selain mengakhiri spekulasi berhubung statusnya dalam Pas.
Datuk banyak membuat kritikan dan serangan kepada kerajaan negeri. Tindakan itu menyebabkan ada beranggapan Datuk mempunyai agenda menjatuhkan kerajaan Kelantan.
Apa yang saya buat bukan serangan, isu yang saya sudah dan akan saya bangkitkan adalah satu teguran dan kapasiti saya sebagai Adun dan ahli Pas. Jika diperhatikan, apa yang saya lakukan adalah membangkitkan isu polisi kerajaan yang ada kepentingan umum dan beri kesan kepada orang ramai. Saya tidak melakukan serangan peribadi. Mungkin saya ada dokumen lebih terperinci dan bersifat peribadi tetapi bukan tujuan saya menjatuhkan mana-mana pihak atau mengaibkan mereka. Tujuan saya ialah perkara ini dibetulkan, diberhentikan, lebih-lebih lagi apabila saya lihat sejak dua tahun kebelakangan ini. Anda boleh lihat, sejak dua tahun kebelakangan ini saya tidak bersuara. Saya izinkan dan biarkan kerajaan negeri memimpin dengan kepimpinan baharu. Walaupun banyak perkara disalahkan kepada saya dan seakan-akan saya tidak ada sedikitkan nilai kebaikan tetapi saya berdiam diri dua tahun setengah sejak 2014, tetapi bila saya lihat dalam tempoh tersebut berlaku secara bermaharajalela, bukan satu tetapi berulang-ulang dan hampir setiap agensi dan tempat, kecil dan besar. Berulang-ulang tindakan yang merugikan rakyat Kelantan. Jadi, saya mengambil sikap yang diajar kepada saya dahulu, oleh Pas sendiri, sesuatu tidak betul bersifat kepentingan umum, ia boleh dan patut ditegur. Tujuan saya menegur supaya perkara ini dihentikan. Ada yang kata, saya ada agenda menjatuhkan kerajaan Kelantan. Pilihan raya seterusnya ada dalam tempoh dua tahun lagi, kerajaan Kelantan boleh betulkan balik apa-apa kekurangan pada teguran itu untuk menjadi kuat di mata orang ramai. Jika tidak ada orang tegur, perkara ini berlaku berleluasa dari masa ke masa, bertambah luas, menjelang pilihan raya perkara ini didedahkan oleh musuh, pada masa itu Pas tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Menang kalah pilihan raya, perkara pertama adalah pengundi. Pengundi puas hati parti itu akan menang, kalau pengundi marah parti akan kalah. Tindakan yang dibuat kerajaan Kelantan pada pendapat saya jika didedahkan menjelang pilihan raya, pengundi akan marah dan Pas tidak boleh buat apa-apa ketika itu. Inilah perkara boleh mengalahkan Pas, bukan teguran saya. Saya sengaja menegur sekarang di tengah penggal supaya kepimpinan yang ada ini boleh membuat pembetulan. Selain tugas saya sebagai Adun, sebagai orang yang selama ini berjuang bersama Islam, membetulkan penyelewengan walaupun dilakukan sesiapa sahaja. Kalau ada orang kata saya tidak boleh menegur, adakah bermakna Islam mengizinkan penyelewengan disembunyikan kerana ia dilakukan geng kita, oleh parti kita, oleh orang kita. Dia (kerajaan) tidak boleh kata dia tidak tahu kerana tugas yang diperoleh daripada rakyat untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat. Kebetulan saya dapat maklumat dari masa ke masa, Wallahuaklam, orang ramai suka menyalurkan maklumat kepada saya, saya tidak tahu. Mungkin mereka anggap saya ada sedikit keberanian dan kebolehan menegur 'without fear dan fever'. Semasa menjadi ahli parlimen, saya menegur kerajaan BN dalam parlimen dalam isu-isu berkerajaan, termasuk yang saya tegur pada masa itu adalah penebangan hutan di seluruh negara . Masa itu saya bawa data peningkatan suhu mengikut negeri mengikut kadar balak atau hutan simpan yang mereka ada, yang mana pada umumnya negeri, kawasan yang ditebang hutan tidak ada lagi hutan simpan ditukar kepada bandar, suhunya meningkat berbanding 40 tahun dulu. Bila perkara ini berlaku di Kelantan sendiri, di bawah 'hidung' saya, adakah saudara fikir saya boleh duduk diam, ini perjuangan saya. Ini cita-cita saya mahu melihat negeri ditadbir mengikut Islam iaitu khazanahnya dijaga dengan amanah. Kalau diagihkan ia mesti secara saksama, tujuannya mengoptimumkan pengedaran dan pengagihan kepada rakyat, terutama orang miskin, orang yang susah, menderita. Ini Islam. Ini yang diajar oleh Rasullullah. Oleh Abu Bakar Al-Siddiq, Abu Bakar Al-Aziz, oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kalau berlaku sebaliknya saya tidak rela, tinggal lagi ada yang tanya kenapa dilakukan secara terbuka. Banyak jawapan kepada soalan ini. Satu ialah perkara yang dilakukan berleluasa, kalau satu saya diam. Macam isu KPK, 20 ribu ekar yang dikhaskan untuk dana rumah rakyat Kelantan berlaku sekitar 2012 atau 2013 kelulusannya. Pengurusannya 2013/2014. Saudara lihat adakah saya membuat teguran secara terbuka? Tidak ada tetapi bila KPK hendak 'ditutup' operasinya telah dibekukan. Beri kawasan kepada satu syarikat secara jangka panjang, kemudian kuasa seluruh konsesi tadi diberi kepada hanya tiga orang. Jadi seramai-ramai ahli lembaga KPK, menurunkan kuasa kepada tiga orang inilah yang akan ada kuasa walaupun tidak dispesifikkan apakah bidang kuasa. Jadi saya mula bersuara. Kemudian timbul isu memberikan kawasan ladang kepada sebuah syarikat . Saya tulis surat kepada Menteri Besar ketika itu. Kalau tengok balik dalam ucapan dewan MB bagi keyakinan perkara ini tidak akan berlaku. Masa gulung belanjawan pada 2013. Jadi masa saya tulis surat tertutup itu, adakah saya maklum kepada Sinar Harian, kepada media sosial. Tidak ada. Masa itu saya dengan Datuk Ahmad Yakob sahaja. Timbalan pun tidak tahu, isteri saya tidak tahu, Adun lain pun tidak tahu. Kemudian berlalu begitu.
April lalu keluar surat kelulusan baharu pada syarikat yang sama ambil keputusan tahun 2013. Kononnya keputusan itu tidak dibatalkan hanya dibekukan. Apa sikap saya kalau saudara adalah saya? Saudara berjuang kerana mahu melihat rakyat mendapat yang terbaik di bawah nama Islam. Saya masih Adun daripada 32 Adun Pas, kalau saya duduk kampung tidak ada masalah.
Kerajaan terbentuk dengan 11 Exco, dengan tunggaknya saya salah seorang. Saya masih ada kewajipan dari segi agama, dari segi rakyat. Bila berlaku lagi tahun 2015, saya terpaksa buat teguran, masih lagi secara tertutup. Surat saya sebelum Hari Raya Aidiladha (21 September 2015). Apa jawapan? Ada telefon, SMS, keputusan itu dibatalkan, orang datang jumpa saya. Mungkin saya ini terlalu kerdil, tidak ada apa-apa kehormatan, tulis surat pun orang tidak layan. Tulis surat pun orang tidak balas.
Bila syarikat ini mendapat kelulusan dia akan jual kayu balak. Akan tebang semua kecil dan besar. Lori keluar siang malam bawa keluar balak. Ikut maklumat terkini hampir 500 ribu ekar kawasan hutan simpan kekal Kelantan yang sudah dijadikan ladang. Mana dia gajah, harimau, seladang, rusa, bunga-bunga hutan, pokok gaharu asli semula jadi, sungai, flora dan fauna. Semuanya dimusnahkan. Pada hal kita kata, kita khalifah di muka bumi.
Kenapa semasa Datuk berada dalam kerajaan, teguran demikian tidak dilakukan?
Anda boleh tanya bekas pegawai kerajaan yang jujur dan amanah. Bagaimana saya berhujah dalam Jawatankuasa Perhutanan Negeri. Bagaimana saya bawa dalam mesyuarat dalaman Adun dan Exco pada 2012. Bagaimana saya telah maklumkan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebanyak tiga kali, khusus mengenai isu tebang habis untuk menjadikan ladang.
Saya tidak dapat apa-apa kesan positif. Jadi, saya tulis surat kepada Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, mewakili kerajaan negeri hari ini tetapi saya simpan lagi. Saya ingin bagi tahu semua, inilah isu yang saya paling tidak boleh terima dan semua kelulusan ini diberikan menerusi keputusan mesyuarat sahaja dan yang terbaru diberikan kepada sebuah syarikat yang baharu ditubuhkan pada 2014. Kalau kerajaan negeri mahu berlaku jujur, buat carian di Jabatan Hutan, Pejabat Tanah dan Galian berapa kali syarikat itu mendapat kelulusan seperti itu. Kita baca dalam al-Quran yang membawa maksud, "Janganlah kekayaan itu, diagihkan kepada orang yang sudah kaya dalam kalangan kamu." Ini dasar Islam. Itulah sebabnya saya telah bangkitkan isu ini.
Ada yang mengatakan Datuk ada sedikit masalah dengan beberapa pimpinan kerajaan negeri dari dulu sehingga sekarang. Apa penjelasan mengenai perkara ini?
Saya tidak ada masalah dengan sesiapa, saya tidak ada apa-apa perkara yang bertembung. Cuma selepas saya digugurkan, orang ramai menganggap Exco itu buat kenyataan yang sedikit angkuh dalam isu yang berlaku, jadi orang ramai, bukan saya melihat kenyataan bersifat bombastik dan simplistik.
Jadi orang ramai melihat begitu, saya tidak pernah bertembung, kecuali satu isu kawasan pembalakan dalam hutan simpan, itu sahaja. Lain tidak pernah, kami bertembung.
Jadi itu adalah andaian sahajalah Datuk terhadap hubungan Datuk dengan Exco terbabit?
Tindakan individu tertentu untuk menunjukkan bahawa, yang pertama saya menyerang kerana saya tidak puas hati. Kedua, saya menyerang kerana saya mahu jatuhkan kerajaan negeri. Ini semua hendak menghalang saya daripada berdiri membetulkan keadaan. Ini juga nak memberitahu orang ramai saya ada niat tidak baik. Insya-ALLAH saya tidak terganggu.
Boleh lihat mereka menyerang saya tanpa fakta. Saya tetap akan fokus kepada isu berkerajaan. Isu peribadi walaupun saya ada maklumat dan dokumen saya simpan. Saya tidak dedahkan.
Datuk dikatakan Exco yang rapat dengan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dikatakan beberapa isu tidak dibawa kepada Exco tetapi terus kepada Tok Guru dan mendapat kelulusannya.
Saya dengan Tok Guru amat mesra dan rapat tetapi saya tidak pernah gunakan kedudukan rapat saya itu dengan Tok Guru untuk tujuan peribadi dan kerajaan.
Alhamdulillah. Contohnya lebuh raya, untuk rekod saya mencabar siapa yang kata saya dengan Tok Guru sahaja. Buka balik rekod bermula Julai 2011, kertas Exco yang pertama iaitu apabila RMK-10 dibentangkan, senarai peruntukan untuk Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai telah dibuka. Masa itu, ia diputuskan oleh Exco, bukan diputuskan oleh Tok Guru. Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Mohd Amar ada di situ, untuk berjumpa dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, saya pergi merayu untuk peruntukan itu dihidupkan balik. Bila balik, kami sediakan laporan kepada Exco dan ada kertas laporan. Bukan makluman lisan. Yang mana, Exco telah memutuskan untuk membuat kajian, membina sendiri lebuhraya. Sejak itu, dalam Dewan Harian Negeri bincang, lajnah politik, Pas Kelantan, dalam Sidang Dewan pun bincang, dalam Exco berpuluh-puluh kali, sehinggalah satu jawatankuasa khas ditubuhkan dan saya dilantik menjadi pengerusi.
Saya mahu tanya, siapa yang lantik jadi pengerusi jawatankuasa ini. Jawatankuasa ini dibentuk oleh Exco atau Tok Guru. Dalam itu wakil Exco lain (Takiyuddin), selain JKR, konsultan dan lain-lain. Kenapa masa itu tidak timbul, sampai mesyuarat Exco terakhir sebelum PRU. Mesyuarat Exco terakhir saya masih ingat lagi, saya membentangkan kertas kerja iaitu yang pertama, Exco menerima maklum pelantikan sebuah syarikat sebagai kontraktor utama pada April 2013. Saya simpan semua rekod mesyuarat Exco tersebut, jadi 2011 hingga 2013. Mereka tahu proses ini, bukan berlaku sekelip mata.
Tarikh pelancaran batu asas pun diputuskan oleh mesyuarat Exco. Tetapi bila hendak gugurkan saya sebagai Pengerusi Baldah Toiyibbah( syarikat mengurus lebuh raya), tiada orang maklumkan kepada saya. Ada datang bincang dan tanya saya? Bila dia nak singkirkan syarikat yang dilantik, ada tanya saya? Tiada surat (gugur dan pelantikan semula ) sampai sekarang. Tiada orang hubungi saya, tiada orang SMS saya sampai hari ini. Pengguguran saya hanya menerusi kenyataan akhbar. Jadi, kalau nak kata saya menggunakan nama Tok Guru, ini adalah fitnah paling besar. Semasa pelancaran batu asas, kenapa ada pemimpin besar dalam kepimpinan negeri yang tidak hadir. Kenapa dia tidak hadir, hari ini baru saya sebut perkara ini. Sedangkan itu perkara penting yang diputuskan Perhubungan Negeri Kelantan. Ada yang menyatakan kerajaan negeri sebenarnya tidak serius membina lebuh raya ini, sebaliknya cadangan ini bersifat ugutan kepada kerajaan pusat.
Tidak, ini saya buat sepenuh hati. Mula-mula saya dilantik Tok Guru, saya beritahu itu di luar kemampuan saya. Saya tidak pernah terlibat dengan pembinaan lebuhraya tetapi Tok Guru tekan suruh buat kerana baginya, kerana wajib bagi kita membuktikan Islam ada kemampuan, kemampuan memecahkan kepompong orang lain kepada kita. Kedua, bila kita pegang kerajaan Islam ada kemampuan bertanding sama dengan orang lain. Sebab itu, masa majlis perasmian, doa Tok Guru Nik Aziz, "Daripada keyakinan (bulat keyakinan Tok Guru), bukan main-main".
Kami bukan buat kerana politik. Kami buat memang kerana mahu menyiapkan dan melaksanakan. Boleh fikir syarikat dari Korea datang, bukan main-main dia nak tandatangan RM2 bilion. Memang kita serius, tengok siapa yang anggotai jawatankuasa, yang terlibat dalam membina (lebuhraya) utara Selatan, bukan orang biasa, jadi segala-galanya telah diatur, cuma ada sedikit halangan iaitu mengenai kelulusan perlombongan. Tapi kami tidak pernah main-main dan kami menjangkakan ia dapat disiapkan, dan selepas PRU, saya masih lagi membuat kenyataan sebanyak dua kali. Saya sanggup untuk dilantik dan meneruskan tugas saya menyiapkan lebuh raya. Dan ucapan saya itu di hadapan (Exco) Datuk Hanifa di Pasir Mas, saya bagi tahu dalam ceramah dan dikeluarkan oleh pihak media. Saya yakin lebuh raya itu dapat disiapkan, sampai ke hari ini saya yakin. Bahkan jika diberi peluang kepada saya, saya boleh menerima. Insya-ALLAH, saya akan siapkan lebuhraya itu, walaupun lombong itu telah diberikan kepada pihak lain. Saya yakin ada peluang dan jalan untuk siapkan lebuh raya ini.
Jadi, sesetengah yang curiga terhadap Datuk, ada bersikap sinis dan negatif terhadap Datuk. Apakah punca yang menyebabkan ia berlaku?
Itu kena tanya orang itulah kerana sepanjang saya berada dalam Exco, secara dalamnya tidak ada bertentangan, belakang mungkin. Satu yang saya konsisten ialah sejak dalam Exco, saya tidak boleh bertoleransi dengan perkara yang saya anggap tidak baik untuk rakyat, dan apa yang saya kongsi dengan Tok Guru ialah kena buat sesuatu yang cemerlang, tidak boleh memerintah ala kadar dan tidak boleh memerintah kerana hendak sedap sendiri.
Sambungan jawapan kepada soalan: Jadi, sesetengah yang curiga terhadap Datuk, ada bersikap sinis dan negatif terhadap Datuk. Apakah punca yang menyebabkan ia berlaku?
INI saya bukan kata kepada kawan-kawan, boleh dilihat semasa menjadi pengerusi lebuh raya, pihak Korea menjemput saya melawat ke sana, saya tidak melawat mana-mana tempat atas kapasiti saya sebagai pengerusi lebuh raya.
Saya menjadi pengerusi untuk pembinaan stadium baharu, saya tidak melawat mana-mana, saya serah kepada arkitek untuk sediakan reka bentuk. Selepas saya tidak ada, 'orang ni' melawat seluruh Eropah, Itali, Sepanyol untuk melihat stadium, berapa habis belanja.
Saya fokus untuk membuat stadium, tetapi orang lain melawat sana sini, kenyataan untuk buat stadium sudah senyap. Mungkin buat tetapi tidak nampak kesungguhan. Jadi saya tidak tahu adakah kami berbeza dari segi cara kerja, cara kerja yang diminta oleh Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ialah semua Exco kena bekerja penuh dedikasi, amanah dan melakukan sesuatu yang lebih baik daripada musuh kita.
Itu falsafah yang saya dapat daripada Tok Guru Nik Aziz. Saya tidak kata kawan saya yang lain tidak menghayati falsafah sama. Tetapi sepanjang perkhidmatan dalam kerajaan, tidak nampak pula pertembungan dengan saya, di luar mungkin berlaku, saya juga tidak tahu apa sebab.
Semasa berada dalam kerajaan, Datuk ada membuat cadangan dan projek yang didakwa tidak berjaya. Perkara ini menjadi isu yang dimainkan, viral dalam media sosial, contoh projek kambing jamnapari, stadium, kayu gaharu, projek keretapi dan lain-lain?
Yang pertama, adakah saya tidak pernah buat kejayaan. Apabila saya dapat membawa wang tunai dari Felda lebih kurang RM400 juta, kalau dalam syarikat orang itu sudah mendapat penghargaan sebuah kereta. Kemudian, saya berunding dengan Felcra, dapat hampir 20 ribu ekar ladang, yang kerajaan negeri tidak pernah dapat.
Banyak lagi benda-benda lain. Masalah ditinggalkan saya tolong selesaikan, kalau dilihat hari ini pembangunan Bandar Kota Bharu pesat. Alhamdulillah kerana semasa saya menjadi Exco pentadbiran, kami telah siapkan susur atur yang membolehkan pecah sempadan dan kelulusan pembangunan diluluskan dalam tempoh tiga atau empat bulan sahaja.
Sedangkan dahulu tertunggak sampai dua tahun bagi satu kes, kerana itulah Kelantan dan Kota Bharu membangun, mahu buat rumah, bangunan, kedai mendapat kelulusan cepat, sekali gus memberikan hasil kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Merujuk isu kambing jamnapari dan gaharu pula, pertama ia dibangkitkan orang yang merasakan ia adalah senjata untuk merosakkan saya, kerana pernah seorang blogger menulis tentang perkara ini yang kemudian dicetak tanpa nama dan diedarkan.
Sampai kini, jika diperhatikan tulisan tersebut, mereka tidak boleh kata apa yang saya buat salah. Saya ada menyeleweng duit kerajaan? Saya ada curi duit kerajaan? Jawabnya tidak ada, yang salah adalah kerana saya berikan idea dan penternakan bukan di bawah portfolio saya. Saya hanya hanya bentangkan idea dan gagasan bagaimana mahu menggunakan ternakan sebagai satu modal mengurangkan kemiskinan rakyat negeri ini.
Kelantan ini ramai orang miskin, saya mahu tanya balik kerajaan Kelantan, apakah program kemiskinan yang mereka buat kalau kambing jamnapari saya ini tidak berguna? Jangan pandai serang saya sahaja, saya mahu tanya balik, apa yang kerajaan negeri rancang?
Di bawah cadangan masa itu, kita serahkan lima kambing betina sekali dengan kandang. Alhamdulillah, konsultan yang jujur dan dedikasi sampai hari ini dia berkembang. Boleh dilihat di Salor, sampai 40 hingga 50 ekor. Ada yang gagal, tetapi apa pun dalam projek kemasyarakatan, ada peserta yang baik dan tidak.
Saya masih yakin dengan program ini dan saya sedikit pun tidak merasa terkilan mengolah idea ini. Bahkan, melalui Yayasan Darul Hijrah, Insya-ALLAH saya akan lancarkan Skim Wakaf Ternak, saya mahu teruskan program ini. Dalam Islam diharuskan orang mewakafkan ternakan untuk dibela oleh orang miskin. Kami bercadang untuk membuka akaun untuk wakafkan. Gaharu.
Yang saya mulakan gaharu pertamanya di Malaysia, khususnya termasuk Kelantan berjuta-juta pokok tersebut ada di dalam hutan tetapi, kerana ia semula njadi, sifatnya kalau tidak sakit, tidak suntik, ia tidak keluarkan rasin (getah gaharu). Contohnya di Rantau Panjang, ada kilang memproses yang mendapat untung beratus beribu-ribu dan ada juga orang yang pernah menjual anak pokok kepada pimpinan kerajaan pusat dan negeri lain. Dengan sendirinya, ia memperkenalkan gaharu di arena pertanian Malaysia.
Lepas Kelantan perkenalkan Majlis Perhutanan Negara, bincangkan pasal gaharu dan saya hadirinya.
Masing-masing tanya, apa kebaikan gaharu, cara tanam. Sekarang Jabatan Perhutanan sudah anggap ia sebagai satu program, Jabatan Perhutanan Kelantan pun mengikuti kursus gaharu di Thailand. Adakah ia tidak baik, jawabnya baik tetapi ia mengambil masa sehingga tujuh hingga 10 tahun. Jadi, bila saya menjadi Pengerusi PMBK Sawit, saya menerusi mesyuarat lembaga bersetuju, jadi orang perintis industri ini secara komersial, kami peruntukkan kawasan 174 hektar di Belau (Gua Musang) untuk menanam pelbagai jenis spesies gaharu kerana ia dalam percubaan di peringkat komersial. Sekarang beribu-ribu pokok di Belau, sebesar 'paha', adakah ini bukan satu kejayaan.
Bagaimana kesetiaan Datuk dengan Pas bila sering dikaitkan dengan Amanah?
Memanglah, saya Adun Pas. Orang bukan keliru, sekarang ini orang memfitnah saya sebelum muktamar lagi. Siapa yang fitnah dan apa sikap parti terhadap orang yang memfitnah saya. Apa tindakan terhadap orang yang fitnah saya dan rakan-rakan lain.? Fitnah inilah punca segala-galanya.
Kalau Pas hendak kuat, dia (Pas) kena baiki diri dan disiplin. Balik kepada al-Quran dan Sunnah sebagai mizan (timbangan) mana baik buruknya. Mungkin saya berakhir sebagai orang biasa, saya tidak kisah. Ini mungkin penggal terakhir saya. Saya tidak kisah, kerana saya masuk perjuangan ini bukan kerana mahu menjadi pemimpin. Saya masuk kerana idealisme dan gagasan perjuangan. Siapa sahaja yang membawa gagasan itu saya akan sokong. Siapa yang mengkhianati gagasan itu saya akan tegur, sehingga saya jadi orang biasa dan tidak ada apa-apa.
Adakah Datuk mahu kekal selamanya dengan Pas?
Saya kekal dalam Pas sehingga saya mati.
Apa pendirian Datuk dengan kewujudan parti Amanah?
Bagi saya, Amanah boleh jalan terus. Pendirian saya, di Pantai Barat, Amanah wajib bergerak bagi menampung sokongan masyarakat bukan Islam bagi menyokong perjuangan Islam yang telah diterima sejak PRU 2008.
Bayangan masa depan Pas daripada kaca mata Datuk selepas muktamar baru-baru ini?
Saya Adun biasa, saya hanya Yang Dipertua Pas Kubang Kerian, jadi saya nak pemimpin yang baharu ini buktikan kemampuan mereka. Kalau saya komen lebih, macam saya ini hendak menidakkan kemampuan mereka. Kalau pemimpin sekarang ini yakin boleh mempertahankan, berilah mereka peluang dan masa. Di Kelantan, saya tengok (mereka) berpuas hati. Banyak lawatan ke luar negara dilakukan. Masa pertukaran wang asing tinggi, masih ada ke luar negara. Berdasarkan ini saya yakin mereka berpuas hati, rasa tidak ada masalah. Jadi kalau saya cakap lain tidak ada faedahnya, kerana sikap ini boleh dibetulkan oleh orang itu sendiri..
Serangan dan kritikan yang dibuat terhadap Datuk dibuat dengan pelbagai cara, adakah Datuk boleh menghadapi perkara ini dengan baik?
Saya kata tadi, ini mungkin penggal terakhir. Apa yang saya rayu kepada kerajaan negeri ialah, hutan simpan iaitu pemberian untuk ladang-ladang dihentikan. Kalau itu berjaya, saya sudah puas hati di tahap hidup saya yang terakhir dalam berpolitik. Saya tidak mahu lebih daripada itu, saya nak apa yang saya perjuangkan ini menjadi realiti. Sebagai ahli Pas yang berjuang agak lama, saya nak perkara ini dihayati pemimpin Pas yang ada hari ini. Kedudukan saya tidak mustahak.
Ditakdirkan saya tidak dipilih menjadi calon, saya tidak ada masalah. Saya nak pelaksanaan ini direalisasikan barulah kita rasa bangga dengan perjuangan Islam dan boleh gunakan Kelantan untuk berkembang ke negeri lain. Kalau Kelantan boleh buat lebuh raya sendiri, boleh buat stadium canggih dengan bandar baharu, boleh fikir fasal kereta api laju, boleh hidupkan sunnah dan wakaf, tanaman, hasil di bahagikan dengan adil, dapat pendapat lebih besar, boleh jadi macam Singapura. Singapura tiada hasil tetapi kenapa maju dan kaya, kerana nilai kepimpinan dan pengurusan.
Mungkin ada cerita istimewa yang boleh dikongsi sepanjang bekerja dengan Tok Guru?
Banyak yang istimewa, bila saya tidak dilantik sebagai Exco, bila kami jumpa, kami tidak bincang isu yang lepas tetapi satu perkara yang konsisten dengan beliau ialah nak orang bukan Islam didekati dan diberikan kefahaman Islam dengan cara contoh teladan dengan berkerajaan. Sebagai contoh, Tok Guru panggil saya bawa kad kepada (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew minta saya hantar sendiri ke Singapura. Dalam kad itu Tok Guru tulis "Saudara Lee, saya minta saudara untuk mempelajari Islam.
"Jadi orang bukan Islam tidak perlu dimusuhi atau dijadikan musuh. Dalam politik Malaysia, kalau Pas boleh menunjukkan sikap yang baik dengan menunjukkan keadilan, kemasyarakatan Islam.
Pelbagai kaum boleh satukan dengan kekuatan Islam. Itu perkara yang Tok Guru amat tekankan kepada kami semua dan pada saya khususnya. Beliau nak Pas boleh dinaungi semua masyarakat dengan Islam. Ini yang saya nak semua orang faham. Ini yang terkesan kepada saya.
No comments:
Post a Comment