Thursday, October 8, 2015

Amanah ramal tindakan kekalkan Najib untuk menang PRU14 mudaratkan negara


Barisan pemimpin Pakatan Harapan pada sesi soal jawab selepas majlis mengutip dana bagi Parti Amanah Negara di Dewan Persatuan Hainan Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 8 Oktober, 2015.
Seruan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terus kekal memimpin negara demi memastikan kemenangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan memudaratkan negara, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad.

Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, prestasi buruk Najib membahayakan ekonomi selain mendakwa taktik melaga-lagakan keharmonian kaum yang diguna Umno demi kekal berkuasa mengancam keharmonian kaum di negara ini.

"Saya secara peribadi tidak setuju dengan pendekatan menyimpan perdana menteri ini yang secara perlahan-lahan tetapi pasti akan merosakkan semata-mata bagi memberikan kelebihan kepada kita dalam pilihan raya umum akan datang.

"Cara mereka (Umno) menggunakan politik perkauman di bawah Najib sekarang, kita mungkin akan bercakaran sesama sendiri menjelang pilihan raya umum akan datang.

"Rizab negara kita mungkin tinggal separuh dan hutang negara mungkin meningkat 2 kali ganda pada masa itu.


"Saya tak fikir dia patut kekal walau sehari lagi sekalipun. Kalau semalam kita boleh singkirkan dia, kita sudah patut berbuat demikian," kata bekas pemimpin PAS itu pada sesi soal jawab selepas majlis makan malam meraih dana Amanah di Dewan Kuil Thean Hou di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang turut berucap sebelumnya merayu orang ramai memberikan gabungan pembangkang baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan sedikit masa untuk terus maju ke depan.

Menurutnya, pemimpin Pakatan Harapan sudah belajar daripada kesilapan masa lalu apabila mereka dilihat kurang sepakat dan seringkali mengeluarkan kenyataan berasingan mengulas sesuatu isu walaupun pendirian mereka sebenarnya sama.

"Jika saya ini orang awam, saya akan katakan yang mereka ini semuanya badut. Mereka semua sebenarnya menyatakan perkara yang sama iaitu Najib itu teruk.

"Tidak bolehkah kamu sepakat dan keluarkan kenyataan bersama sepakat yang Najib itu teruk," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin.

"Saya harap anda semua berikan kami masa. Saya tidak pernah lari daripada kontroversi tetapi saya yakin inilah masa depan kita, ke arah satu bangsa Malaysia yang sepakat.”

No comments:

Post a Comment