Sunday, October 4, 2015

SAYA DATANG UNTUK MENGHASUT - MAHATHIR


 shahbudindotcom

 




Tanpa berselindung dan secara berterus terang, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad berkata, kehadirannya dalam majlis hi-tea  anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka adalah untuk menghasut semua orang.

Hari ini, saya mengaku datang ke sini adalah untuk menghasut semua orang. Kita tidak perlu takut walaupun berada di bawah pemerintahan yang menakutkan, katanya di hadapan kira-kira 500 yang hadir di majlis itu.

Lantaran itu, selain meneruskan serangannya dengan menyifatkan kepimpinan Najib Razak sebagai zalim dan menghantar orang pergi menunaikan haji dengan duit curi, Tun Mahathir juga menghuraikan bagaimana untuk menyingkirkan Najib daripada jawatannya.

Menurut Tun Mahathir, Najib dianggap zalim kerana memecat, menakutkan serta menukar orang-orang tertentu yang sedang menjalankan tugas menyiasat dirinya.

Katanya, Najib bukan tidak mahu berundur tetapi takut untuk berundur berikutan bimbang ditangkap jika tiada lagi kuasa dalam tangannya.

Sehubungan itu, tambahnya, jika Najib kekal lagi sehingga pilihanraya akan datang, beliau perlu dikalahkan di kawasan pilihanrayanya di Pekan tetapi dalam masa yang sama memastikan UMNO terus menang dalam pilihanraya.

Bagi Tun Mahathir, perkara itu tidak mustahil mampu dilakukan memandangkan Najib pernah menang dengan hanya 241 undi saja pada pilihanraya tahun 1999

Beliau seterusnya mahu pengundi Pekan menjadi lebih bijak dengan mengutamakan kepentingan negara serta menolak sebarang bentuk wang tunai yang cuba diberikan oleh Najib kepada mereka.

Selain itu, beliau juga mengajak agar tekanan massa terus dipertingkatkan terhadap Najib.

Katanya, Najib perlu disingkirkan tetapi mesti lebih ramai yang berani bersuara dan "saya tetap nak lihat Najib letak jawatan."

Apabila Khairuddin seorang yang membuat laporan polis, tentulah dia akan menjadi mangsa...cuba 1,000 atau 100 ribu membuat perkara yang sama, Timbalan Pendakwa Raya pun sukar mahu mendakwa. Kalau mahu dipenjara pula, berapa lama mahu disimpan orang seramai itu, jelasnya lagi.

Tun Mahathir juga mendedahkan undang-undang Sosma yang sedang dikenakan kepada Khairuddin adalah suatu undang-undang yang boleh membawa seseorang itu dipenjarakan seumur hidup.

Apabila Khairuddin ditahan dibawah Sosma, saya baca undang-undang itu dan mendapati pesalahnya boleh dipenjara seumur hidup. ISA pun tak seteruk itu.

Apa dianya Sosma ini...source dari Ma (Rosmah), katanya sambil disambut ketawa para hadirin.

Secara keseluruhannya, majlis hi-tea anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka amat berjaya dengan dewan penuh orangramai yang mahu mendengar ucapan daripada Tun Mahathir meskipun mereka perlu membayar RM80 untuk menghadirinya.

Dengan semangat yang dipercikkan oleh Tun Mahathir melalui kata-katanya, sudah mula terdengar ura-ura lebih banyak majlis seperti ini akan diadakan di bandar-bandar lain di seluruh negara selepas ini.

Beberapa hadirin dari pelbagai negeri yang hadir secara terbuka menyatakan mahu membawa Tun Mahathir ke negeri mereka pula untuk tujuan meneruskan tekanan dan memaksa pengunduran Najib daripada jawatannya.

Selepas mendengar ucapan dan penerangan Tun Mahathir, khususnya berkaitan 1MDB, wang RM2,600 juta dan keyakinan nilai ringgit serta pasaran saham boleh dipulihkan selepas pengunduran Najib, rata-rata yakin apa yang berlaku sekarang bukan lagi masalah UMNO, tetapi sudah menjadi masalah kepada negara.

Tun Mahathir ketika tiba dan mula masuk ke dewan hotel de palma, ampang.


Tun Mahathir ketika sessi soal jawab dengan diapit oleh Sanusi Junid dan Syed Saifuddin.

Aziz Yassin, Ibrahim Ali dan Mad Aris Yusof adalah antara jemputan yang hadir.

Tamrin Ghafar, Aziz Yassin dan Zor Aziz sedang berbual-bual sementara menunggu Tun Mahathir selesai sessi sidang akhbar dengan wartawan.

Sebahagian hadirin yang hadir untuk mendengar ucapan Tun Mahathir.

No comments:

Post a Comment