Thursday, October 22, 2015

Pembangkang akan cabar penggantungan Kit Siang


MALAYSIAKINI


 


Pembangkang akan memfailkan usul untuk menyemak semula penggantungan anggota parlimen Gelang Patang Lim Kit Siang daripada Dewan Rakyat.

Anggota parlimen Puchong Gobind Singh Deo berkata mereka akan mencabarnya daripada aspek keteraturan prosedur yang digunakan.

Bercakap dalam sidang media di lobi parlimen, beliau berkata pembangkang berpendapat langkah itu bertentangan dengan peraturan tetap parlimen.

Gobind berkata, penggantungan itu sepatutnya dibuat melalui Seksyen 80A Peraturan Tetap, yang menyebut anggota dewan patut dirujuk ke jawatankuasa hak dan pilihan parlimen sebelum penggantungan diputuskan.

Jawatankuasa itulah yang akan mengumpulkan bukti sama ada beliau bersalah atau tidak, kata Gobind lagi.
Lim, ketua anggota parlimen DAP, sah digantung kehadiran ke parlimen selama enam bulan kerana didakwa menghina Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Selepas pengundian dibuat, seramai 107 bersetuju beliau digantung, manakala 77 ahli parlimen membantah dan seorang lagi berkecuali.

Usul kerajaan untuk menggantung wakil veteran dewan itu dibuat mengikut peraturan 27(3) Peraturan Tetap yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Sewaktu menyampai ucapan terakhirnya, Lim menegaskan bahawa beliau tidak berniat untuk menghina Pandikar apatah lagi beliau cukup berpengalaman dengan lebih 40 tahun sebagai anggota parlimen.

Beliau turut menyifatkan dirinya sebagai "mangsa terbaru" daripada membahaskan dakwaan skandal 1MDB seperti mana nasib yang dialami oleh beberapa pemimpin BN yang mempertikai isu itu.

No comments:

Post a Comment