Tuesday, May 12, 2015

PM NAJIB : LAHABAU BETOI DAP SABAH ...

Sabah_Najib

 Oleh STEPHEN WONG


Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Sabah hanya sebuah gimik politik semata-mata dan tidak langsung memberi keyakinan dan harapan kepada rakyat Sabah.

Bagi pendapat saya, rakyat Sabah seolah-olah dihina apabila Najib mengulangi kenyataan 'Sabah masih deposit tetap BN' ditambah pula dengan pujian melangit Menteri Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Rahman Dahlan kepada Najib sebagai 'hanya satu-satunya' Perdana Menteri yang banyak menyumbang kepada pembangunan Sabah. Saya ingin buktikan bahawa kenyataan ini tidak benar dan mengelirukan.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Matunggong baru-baru ini seperti yang dilaporkan laman-laman web media tempatan, penduduk kampung tidak mampu untuk membayar kos sambungan dan deposit untuk menikmati bekalan air bersih dan terpaksa bergantung kepada sungai yang semakin surut.

Sungai itu juga dilaporkan keruh dan tidak bersih untuk digunakan tetapi penduduk kampung tiada pilihan lain. Perkara ini sangat ironi kerana ia berlaku di dalam kawasan Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili. Ia juga masih berlaku semasa PM melakukan lawatan ke Kota Belut yang mana sangat hampir dengan Kota Marudu dan Matunggong.

Ini hanya salah satu kegagalan kerajaan BN dalam menyediakan keperluan asas bagi rakyat Sabah. Selain Matunggong, terdapat banyak lagi kampung di kawasan pedalaman dan luar Bandar Sabah yang menderita akibat kurangnya infrastruktur dan terpaksa bergelut demi mendapatkan bekalan air bersih dan elektrik.

Saya ingin mengingatkan Najib walaupun telah enam tahun manjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, Sabah masih merupakan negeri yang mempunyai bilangan penduduk miskin teramai malah banyak janji-janji pembangunan yang masih belum terlaksana.

Misalnya janji sejak 17 tahun lalu untuk membina jalan bagi penduduk kampung di Pitas sehinggalah DAP melalui Impian Sabah menjalankan usaha memungut sumbangan untuk membantu penduduk kampung merealisasikan impian mereka.

Dalam perkara lain, bagi Rancangan Malaysia ke-10, kerajaan telah menyasarkan untuk menyediakan 99% bekalan elektrik kepada kawasan pedalaman Sabah manakala 98% pula bagi bekalan air terawat kepada isi rumah di kawasan pedalaman Sabah. Kerajaan juga telah berjanji untuk membina jalan sepanjang 2,540km di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Jika Najib benar-benar ikhlas dengan apa yang diucapkan minggu lalu di Sabah dimana beliau berasa terhutang budi dan mahu membalasnya, beliau perlu menjawab sama ada semua janji-janji ini telah terlaksana.

Selain terus bermain wayang dan terus bertelingkah di dalam UMNO yang menyebabkan rakyat Sabah dan seluruh Malaysia menjadi mangsa, Najib perlu memberi perhatian kepada Sabah secara serius dan membantu untuk menyelesaikan masalah mereka seperti infrastruktur yang lemah dan kemiskinan, bukan hanya sekadar mengadakan lawatan dengan tangan kosong.

(^)  Stephen Wong Tien Fatt  Timbalan Pengerusi DAP Sabah dan Ahli Parlimen Sandakan

No comments:

Post a Comment