Thursday, May 14, 2015

1 MDB & UMNO : KAKI JUAL HARTA MELAYU ???

TRX – 1MDB: Mengapakah tanah kuota Melayu dijual?

Belum pun reda kontroversi penjualan tanah Tun Razak Exchange (TRX) milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Lembaga Tabung Haji dengan harga tinggi, seorang pemimpin PAS mempersoalkan siapakah bertanggungjawab menjual tanah yang sudah diperuntukkan kepada Bumiputera pada zaman pentadbiran Tun Abdullah Badawi itu.

Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad (gambar, kanan) turut membangkitkan harga sebenar tanah TRX di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, yang sebelum ini dimiliki Pelaburan Hartanah Berhad, PHBB (dahulu dikenali Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad).

"Mengapa dan siapa yang 'mengarah' dan 'memastikan' agenda menjual 'trophy asset' milik PHBB seperti ini, dijual juga akhirnya kepada 1MDB?" soal bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu dalam wawancara bersama The Malaysian Insider.

"Dikatakan tanah yang diperuntukkan kepada PHBB itu berlaku pada era Tun Abdullah Badawi dengan tujuan untuk membangunkan tanah tersebut, supaya daripada segi agihan kekayaan negara, masih ada lagi ruang dan peluang Bumiputera memiliki saham dalam hartanah yang 'prime' seperti bakal diterbitkan PHBB dalam pelaburan dan saham dan portfolio seperti REIT atau Real Estate Investment Trust yang komplian-syariah."

Media melaporkan sebelum ini, 1MDB hanya membayar RM64 sekaki persegi ketika membeli 30 hektar tanah di tengah-tengah pusat bandar raya daripada Putrajaya, kira-kira empat tahun lalu.
Dzulkefly mempersoalkan pampasan atau gantian tanah yang diberikan Putrajaya kepada PHBB.

"Kalau tidak silap saya Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin ada membangkitkan perkara ini, tetapi isunya mati di tengah jalan sehingga kini, atau 'aborted' begitu sahaja. Apakah beliau tidak diizinkan membangkitkan perkara ini?

"Saya berikan peluang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjawab dan membuat penerangan terlebih dahulu, sebelum menyatakan pandangan dan kritikan saya," katanya.

Minggu lalu, ketika hangat kontroversi pembelian 1.56 ekar tanah TRX oleh Tabung Haji dengan harga RM188.5 juta, Khairy yang juga menteri belia dan sukan membangkitkan perkara sama.
"Apakah benar perancangan awal sebelum tanah TRX dijual kepada 1MDB, adalah untuk kerajaan menjual tanah ini kepada Pelaburan Hartanah Berhad, iaitu sebuah syarikat di bawah Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera yang ditubuhkan untuk meningkatkan pemilikan hartanah di kalangan mesyarakat Bumiputera?" soal Khairy dalam satu kenyataan mewakili Pemuda Umno.

TRX, pada mulanya dikenali Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur, diumumkan pertama kali pada 2010.
Pada 2012, Najib yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB mewujudkan jawatankuasa kerja khas untuk menyelia TRX agar disiapkan dalam tempoh 15 tahun.
Tiga tahun kemudian, pada 2015, sayap hartanah 1MDB, 1MDB Real Estate, akhirnya mengumumkan usaha sama membangunkan Lifestyle Quarter di TRX, selepas berjaya mendapatkan usaha sama bersama gergasi pembinaan Australia, Lend Lease.

Lend Lease, seperti diumumkan rundingannya pada Mac tahun ini, memiliki 60% pegangan saham, manakala bakinya dimiliki 1MDB Real Estate.

Meskipun tanpa sebarang butiran perjanjian kewangan bersama Land Lease yang dikeluarkan, sama ada Land Lease menyuntik dana ke dalam usaha sama itu, harga sekaki persegi dibayar untuk tanah dan sumbangan 1MDB Real Estate.

Sehingga butiran itu didedahkan, sukar melihat ia sebagai perjanjian yang baik untuk 1MDB.

Walaupun TRX seharusnya dibangunkan sebagai hab kewangan, pembangunan yang dapat dilihat kini adalah pusat membeli belah, hotel dan menara kediaman.

Tarikh dijangka siap bagi fasa ini adalah di antara 2017 dan 2018. Nilai pembangunan kasar (GDV) untuk suku tersebut adalah RM8 bilion, sejumlah kecil daripada keseluruhan RM40 bilion anggaran GDV bagi keseluruhan projek TRX.

Pembangunan stesen Mass Rapid Transit (MRT) terbesar negara juga dijangka siap pada 2017.

TRX seharusnya mempunyai 25 bangunan dengan 3,800 kawasan unit kediaman, dan Najib sebelum ini mendakwa 250 syarikat terbaik dunia akan membuka rangkaian mereka di daerah kewangan tersebut.

1MDB mengumumkan hari ini penjualan tapak Signature Tower di TRX kepada syarikat pemaju Indonesia, Pt Kumpulan Mulia, pada harga RM665 juta, seminggu selepas kontroversi tercetus mengenai pembelian tanah oleh Tabung Haji.

Tanah untuk pembinaan Signature Tower itu pada asalnya ditolak Tabung Haji walaupun ditawarkan harga RM578 juta.
Keputusan Tabung Haji membeli tanah seluas 0.64 hektar pada harga RM188.5 juta mengundang kemarahan pelbagai pihak sehingga memaksa dana bakal haji itu mengumumkan akan menjual semula tanah itu secepat mungkin.

No comments:

Post a Comment