Friday, May 8, 2015

1 MDB : PEMUDA UMNO SUDAH CELIK MATA ???

Posted: 08 May 2015 12:38 AM PDT
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) ingin menzahirkan kebimbangan kami berkenaan pembelian sebidang tanah bernilai RM188.5 juta di Tun Razak Exchange (TRX) oleh Tabung Haji (TH) daripada 1MDB.
Pembelian tanah ini dikatakan sebagai pelaburan bagi TH yang melalui proses penilaian yang wajar disetiap peringkat.
PPUM tidak menafikan keperluan TH untuk membuat pelaburan. Pelaburan dalam pasaran modal (pembelian saham) dan sektor hartanah harus dibuat oleh TH bagi menjana pulangan yang dapat diagih kepada para pendeposit TH dalam bentuk dividen.
Yang menjadi pertikaian dalam pembelian tanah TRX ini adalah cara bagaimana transaksi ini dilaksana.
Disini PPUM memohon penjelasan daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF) dan juga TH dalam beberapa perkara:
Soalan kepada MOF
1) Berapakah harga yang dibayar oleh 1MDB untuk tanah keseluruhan TRX dan daripada itu berapa harga yang dibayar oleh 1MDB secara pro rata bagi tanah yang dijual kepada TH sebesar 1.56 ekar ini?
2) Apakah benar perancangan awal sebelum tanah TRX dijual kepada 1MDB, adalah untuk kerajaan menjual tanah inikepada Pelaburan Hartanah Berhad, iaitu sebuah syarikat yang ditubuhkan untuk meningkatkan pemilikan hartanah dikalangan mesyarakat Bumiputera?
3) 1MDB akan menerima RM188.5 juta daripada penjualan tanah ini kepada TH. Duit ini akan diguna untuk tujuan apa?
Soalan kepada TH
1) Tidakkah berlaku satu konflik kepentingan dalam transaksi ini memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail, juga merupakan Ahli Lembaga 1MDB? Apakah wujud konflik kepentingan lain yang melibatkan pegawai kanan TH dalam transkaksi ini?
2) Adakah benar, diskaun yang kononnya diberi oleh 1MDB dalam penjualan tanah ini, sebenarnya ditawarkan kepada TH atas persetujuan TH membayar 100% daripada harga tanah ini sebaik sahaja Perjanjian Jual Beli dimeterai? Adakah TH pernah menyelesaikan pembayaran 100% bagi mana-mana bidang tanah yang dibeli sebaik sahaja SPA ditandatangani sebelum ini?
3) Apa asas penilaian yang dibuat oleh Panel Pelaburan TH yang meluluskan pembelian ini? Apakah benar laporan risiko yang dibuat merumuskan pelaburan ini sebagai berisiko tinggi? Apakah benar pembelian bidang-bidang tanah terkini yang dibuat di kawasan berhampiran dibuat pada harga yang lebih redah daripada apa yang dibayar oleh TH untuk tanah ini?
PPUM menggesa agar soalan-soalan diatas dijawab dengan segera. Tujuan soalan-soalan ini ditanya adalah untuk mendapat pencerahan yang lebih lanjut memandangkan pembelian yang dibuat oleh TH ini telah menimbulkan pelbagai spekulasi yang mengudang kemarahan rakyat.
Umum mengetahui isu 1MDB ini sudah menjadi semakin runcing. PPUM amat risau sekiranya institusi seperti TH digunakan untuk menyelamatkan 1MDB.
Sebarang usaha untuk menyelamatkan 1MDB yang boleh merugikan rakyat tidak boleh diterima.
Jamawi Jaafar
8 Mei, 2015

No comments:

Post a Comment